Sudah hampir 62 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan, namun sehingga hari ini pasti ada sahaja isu-isu yang mengugat ketenteraman Malaysia.

Sikap ektremis sesetengah individu yang merasakan diri mereka layak untuk berbuat sesuka hati kini telah meragut satu lagi nyawa.

Baru-baru ini, isu kematian Syed Muhammad Danial yang dikatakan dipukul dan dilanggar oleh seorang lelaki berbangsa Cina berpunca dari salah faham yang berlaku antara mereka ketika memandu di kawasan lebuh raya Sungai Besi menghala ke Seremban hangat diperkatakan.

 

 

Kejadian tersebut mengundang rasa marah orang ramai kerana rata-rata tidak berpuas hati dengan penyebab kematian mangsa yang hanya disebabkan dari salah faham kecil.

Pelbagai spekulasi dibuat oleh pengguna media sosial dan dari situ juga tercetusnya isu perkauman yang meleret-leret sehingga yang tiada kena mengena dengan kejadian juga turut berbalah sesama sendiri.

Malah ramai yang seperti sudah dapat menjangka, pasti akan ada sahaja ‘penyelamat’ yang datang menyelamatkan si pembunuh. Seperti isu arwah Zulfarhan, seluruh rakyat Malaysia turut menggesa pihak polis untuk menjalankan siasatan tanpa bersikap pilih kasih mahupun sambil lewa.

 

Mangsa Pun Salah Juga, Suspek Cuma Pertahankan Diri Dan Keluarga

Bagi yang mengikuti kes ini, beratus-ratus perkongsian dibuat oleh orang ramai yang secara langsung telah merumitkan lagi keadaan kerana berbagai jenis cerita tentang punca kejadian cuba dirungkai.

Namun, jika anda bukan seorang saksi yang berada di tempat kejadian, adalah lebih baik anda tidak menyebarkan cerita yang tidak benar.

Menurut saksi yang betul-betul berada di belakang kereta suspek, mangsa dikatakan ingin terlanggar kereta suspek namun sempat mengangkat tangan memohon maaf dan meneruskan perjalanan.

Namun suspek tidak berpuas hati dan bertindak mengejar mangsa dan melanggar kereta mangsa sehingga mangsa terpaksa berhenti di tepi jalan kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.

Namun suspek yang masih berang, bertindak memukul mangsa dengan kayu besbol dan melanggar mangsa dengan sengaja.

Dari sudut lain pula, ada yang mengatakan mangsa turut bersikap kasar dan bertindak memukul bahagian hadapan kereta suspek dan itu yang menjadi punca keadaan bertambah keruh.

Jadi salah siapa? Saya yang boleh tentukan? Jika betul mangsa tidak bersalah, adakah  keadilan akan dicapai untuknya?

Hanya rakaman video dari telefon bimbit isteri suspek sahaja yang mampu merungkai kejadian sebenar bermula dari awal sehingga akhir, bukannya penilaian dari video yang sudah dipotong-potong jalan ceritanya. 

Namun, masih adakah rakaman video tersebut? Atau sudah dibuang kerana ingin membuang bahan bukti yang ada?

Menurut kenyataan dari ahli keluarga mangsa, banyak mesej yang diterima datang dari orang awam yang ingin menjadi saksi bagi membantu siasatan. Namun malangnya ada juga yang takut untuk memberi keterangan kepada pihak polis kerana takut diri mereka dan keluarga terancam.

 

Jika Betul Mangsa Salah, Tak Perlu Sampai Meragut Nyawa!

Tidak dinafikan, pelbagai jenis ragam manusia di jalan raya. Ada jenis pemandu yang tertib dan mengikut peraturan dan ada juga yang suka membuat peraturan mereka sendiri tanpa menghiraukan pengguna yang lain.

Oleh kerana sikap pemandu yang suka membuat peraturan mereka sendiri inilah ramai yang tidak mahu mengalah apabila sesuatu provokasi cuba dilakukan.

Sikap suka menunjuk dirinya seorang samseng juga sering berlaku di jalan raya kerana masing-masing ingin menunjuk kehebatan kepada pengguna yang lain.

Namun yang menjadi persoalan, berbaloikah untuk kita bersikap sebegitu? Sampaikan sanggup meragut nyawa orang lain.

Tidak bolehkah salah faham yang berlaku tersebut diselesaikan dengan cara yang berhemah? Lainlah jika mangsa sendiri telah menyebabkan kenderaan suspek rosak teruk sehingga mencederakan anak isterinya yang berada di dalam kereta.

Kerana itulah kita perlu lebih berhati-hati dan peka ketika berada di jalan raya kerana hanya dalam sekelip mata sahaja nyawa anda dan keluarga boleh melayang begitu sahaja.

Salah orang atau salah kita, berhemahlah. Nyawa tidak boleh dicari ganti dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

 

Tolong Bantu Jangan Hanya Sibuk Jadi Wartawan Jalanan

Mungkinkah arwah Danial mampu diselamatkan jika ramai yang menghulurkan bantuan bagi meleraikan salah faham tersebut?

Namun semuanya sudah terlambat, isterinya juga sudah menjadi janda, dan puteri kecil arwah sudah tidak berbapa.

Jika betul suspek disabit bersalah, dapatkah dia hidup tenteram di atas tindakan bodoh yang dilakukan gara-gara salah faham kecil yang berlaku?

Melanggar mangsa hidup-hidup seolah-olah yang dilanggar hanyalah binatang yang tiada nilai? Orang ramai yang menjadi saksi, adakah mereka juga akan rasa bersalah kerana hanya memegang telefon bimbit dan sibuk merakam di saat arwah Danial dipukul dengan rakus tanpa belas kasihan?

Kemanakah perginya nilai perikemanusian kita? Semoga tiada lagi kes sebegini berlaku dikemudian hari dan hentikanlah perbuatan buli di jalan raya walau sebetul mana pun kita. Kerana, esok lusa kita tidak tahu, kita mahupun anak cucu kita juga boleh menjadi mangsa.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa pandangan anda mengenai isu ini?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN