Jerebu, suatu pencemaran udara yang sering terjadi di negara kita. Boleh dikatakan pencemaran ini akan berlaku setiap tahun. Kalau tidak disebabkan oleh isu pembakaran hutan dalam negara, sudah pasti berpunca dari negara jiran kita Indonesia.

Tetapi sudah pasti ramai yang akan menuding jari ke arah Indonesia. Masakan tidak, setiap kali jerebu besar melanda Malaysia dan Singapura, Indonesia adalah puncanya.

Sumber: Astro Awani

Untuk makluman semua, kejadian jerebu yang paling teruk pernah melanda rantau Asia Tenggara adalah pada tahun 2015. Sebanyak 8 negara terjejas teruk di sebalik jerebu yang melanda. Negara tersebut ialah Indonesia, Singapura, Malaysia, Brunei, Kemboja, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Pandai Pilih Musim Monsun

Ada yang tertanya-tanya, kenapa kejadian jerebu boleh jadi seteruk itu, dan kenapa dari kesemua negara Asia Tenggara, hanya Myanmar terselamat daripada pencemaran? Untuk mengetahui hal ini, kita perlu memahami peredaran angin monsun dan bulan berlakunya kejadian jerebu.

Difahamkan, jerebu yang melanda Asia Tenggara pada tahun 2015 berlaku pada bulan Jun sehingga Oktober. Ketika ini, ia merupakan musim perubahan Angin Monsum Barat Daya (Mei hingga September) yang bertiup dari arah barat daya menuju ke timur laut.

Sumber: Facebook

Disebabkan kejadian pembakaran hutan berlaku di kepulauan Sumatera, tiupan angin monsun ke arah Timur Laut telah membawa gumpalan-gumpalan asap pembakaran memasuki ruang udara Malaysia dan seterusnya negara-negara berjiran.

Apakah Punca Yang Menyebabkan Jerebu?

Terdapat empat punca yang menyebabkan berlakunya kejadian jerebu iaitu aktiviti pembakaran hutan, pengeluaran gas dari kilang, pembebasan asap pemprosesan dari kilang dan pembakaran terbuka dari negara jiran.

Namun begitu, aktiviti pembakaran terbuka dari negara jiran merupakan faktor utama yang menyebabkan masalah ini berlaku. Mana tidaknya, untuk melakukan aktiviti tanaman baru, dibakarnya satu kawasan ladang bagi memastikan sisa tanaman lalu dibersihkan. Difahamkan dengan menggunakan kaedah ini tanah akan menjadi lebih subur.

Sumber: Astro Awani

Kesannya, kita sebagai negara jiran ini yang terpaksa menanggung deritanya. Sesak nafas, batuk, hidung berair, sakit dada, gatal kulit dan sebagainya. Jerebu bukan sahaja memberi masalah kesihatan, dalam masa yang sama memberi kesan negatif kepada ekonomi sesebuah negara.

Misalnya, berdasarkan laporan Utusan Malaysia, jerebu yang melanda Indonesia pada tahun 2015 telah menyebabkan negara tersebut kerugian sebanyak RM140 bilion. Manakala bagi Singapura pula, mereka terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM2.4 bilion.

Bayangkan semua aktiviti di luar bangunan tidak boleh dilakukan. Sudah pasti pihak pemerintah terpaksa mengisytiharkan darurat bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini terjadi kepada penduduk setempat. Sekolah-sekolah terpaksa ditutup, premis perniagaan terpaksa menutup operasi, aktiviti penerbangan terpaksa dibatalkan dan sebagainya.

Kenapa Sampai Sekarang Perkara Sama Tetap Berlaku?

Yang jelas, kelemahan undang-undang di Indonesia menjadi sebab masalah jerebu terus berleluasa saban tahun. Kalau benar tindakan telah dilakukan kepada si pelaku, kenapa sehingga hari ini masalah jerebu masih berulang.

Sumber: Berita Harian

Difahamkan, Indonesia juga tidak mempunyai sebarang prosedur operasi standard (SOP) untuk menangani kejadian pembakaran hutan. Hal ini yang menyebabkan kejadian jerebu terus berulang dari tahun ke tahun. Justeru Indonesia perlu meminda undang-undang yang lebih ketat dan sistem pengurusan kebakaran yang lebih teratur.

Ramai juga dari kalangan kita yang tertanya-tanya, kenapa aktiviti pembakaran terbuka di Indonesia dilakukan pada bulan Mei hingga September iaitu tatkala berlakunya Musim Monsun Barat Daya? Adakah sebab Indonesia dengki terhadap negara-negara jirannya atau itu merupakan waktu terbaik untuk melakukan pembakaran?

Jika benar sekalipun waktu ini merupakan waktu terbaik melakukan pembakaran, tidakkah ada kaedah lain yang lebih mesra alam? Kemelut ini sudah pasti akan mengeruhkan lagi hubungan sesama negara jiran.

Indonesia perlu bertindak dengan segera. Kalau perkara ini tidak ditangani dengan jayanya, jangan hairan sekiranya negara-negara jiran akan terus melabel Indonesia sebagai negara yang bermasalah.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa pandangan anda berkenaan isu ini?
3 votes · 3 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN