Pendidikan merupakan kriteria penting yang harus dimiliki oleh setiap lapisan masyarakat termasuklah generasi muda masyarakat Orang Asli pada hari ini.

sumber: sinar harian

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyarankan pendidikan wajib bagi semua kanak-kanak di bawah umur 12 tahun di bawah Dasar Pendidikan Wajib yang telah berkuatkuasa pada tahun 2003.

Baru-baru ini, pihak KPM telah bercadang akan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti aspek pendidikan masyarakat Orang Asli dalam usaha meningkatkan akses pendidikan kepada mereka.

 

Tidak Banyak Perubahan Walaupun Pelbagai Inisiatif Dilakukan

Jika dilihat, penyediaan pendidikan asas bagi masyarakat Orang Asli sering kali diselubungi isu dan polemik yang tidak berkesudahan. Walaupun pelbagai kajian dan juga inisiatif telah dilakukan, namun tahap pendidikan dalam kalangan masyarakat ini masih tidak memberansangkan.

sumber: mstar

Memetik sumber daripada Utusan, sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berkampung di Pos GOB, Gua Musang, Kelantan, yang merupakan pos penempatan Orang Asli paling dalam di Malaysia pada tahun 2016 yang lalu.

Mereka mendapati faktor seperti jarak sekolah dengan penempatan serta kurangnya prasarana pembelajaran dan pengajaran sempurna menjadikan mereka kurang terdedah dan tidak berminat untuk meneruskan pendidikan.

Perkara yang perlu difahami di mana keperluan pendidikan masyarakat Orang Asli ini perlu dilihat dalam konteks komuniti yang berbeza. Hal ini kerana komuniti ini mempunyai keperluan-keperluan khusus dan unik yang didorong oleh faktor seperti adat resam dan juga persekitaran tempat tinggal, maka penyediaan pendidikan untuk mereka harus dilakukan dengan pendekatan yang bersesuaian.

 

Apa Peranan Jawatankuasa Khas?

Sumber yang diperolehi daripada Sinar Harian, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyatakan antara perkara yang akan diteliti dan diperlahusi oleh jawatankuasa khas berkenaan ialah untuk meningkatkan peratusan hadir murid ke sekolah.

 

 

Selain itu, jawatankuasa khas tersebut juga akan memberi perhatian kepada isu pengangkutan dan infrastruktur yang dirasakan berkemungkinan menyumbang kepada kadar keciciran murid Orang Asli dalam pendidikan.

Pihak KPM turut melibatkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), institusi pendidikan tinggi dan mereka yang terlibat dalam pembangunan pendidikan Orang Asli dalam jawatankuasa khas tersebut supaya penyelesaian holistik dapat dicapai.

 

Program-Program Pembangunan Pendidikan Orang Asli

Terdapat pelbagai program pendidikan yang disediakan khusus untuk masyarakat Orang Asli bagi  mengatasi kadar keciciran yang tinggi dan meningkatkan kadar hadir ke sekolah. KPM telah meletakkan sasaran untuk meningkatkan kehadiran murid Orang Asli sehingga 90 peratus pada tahun 2019.

sumber: berita harian

Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh KPM ialah Kurikulum Bersepadu Sekolah Murid Orang Asli dan Penan (KAP), Program Sekolah Model Khas Komprehensif (K9), Kelas Dewasa Orang Asli, Peribumi (KEDAP) dan yang terbaharu Program Prokhas iaitu Projek Kelas Khas Murid Orang Asli Batek.

Pihak KPM juga akan melaksanakan program Transformasi Pendidikan Orang Asli dan hasilnya pencapaian peratus kehadiran murid Orang Asli telah menunjukkan peningkatan 3.23 peratus kepada 89.48 peratus setakat ini.

 

Perlu Memahami Sikap Pelajar Itu Sendiri

Sebuah kajian yang dilakukan oleh Abdul Razak Ahmad (UKM) dalam tajuk kajiannya, “Kesedaran Pendidikan Dalam Kalangan Masyarakat Orang Asli” menyatakan sikap semulajadi anak-anak Orang Asli yang tidak boleh duduk diam di dalam waktu yang lama dan suka bergerak.

sumber: nst

Kajian yang dijalankan mendapati bahawa pelajar Orang Asli ini mudah merasa bosan dengan aktiviti pengajaran di dalam kelas. Mereka hanya boleh memberi tumpuan selama 15 minit sahaja, kemudian mereka mula membuat aktiviti lain seperti mengusik rakan-rakan mereka, berlari-lari dan melompat-lompat di dalam kelas.

Melihat kepada sikap mereka ini, aktiviti pengajaran tidak boleh dijalankan secara formal kerana mereka lebih berminat mengikuti pengajaran berbentuk permainan yang memerlukan pergerakan yang banyak. Selain itu, perkara yang mendorong mereka untuk tidak hadir ke sekolah kerana mereka memiliki sikap yang terlalu sensitif disebabkan oleh rasa rendah diri.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa kata anda?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN