Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai kejadian seekor anjing yang mengalami kecederaan parah di bahagian mulut selepas ditetak sehingga putus.Kejadian tersebut dipercayai berlaku di Sabah.

Sumber: SabahPost

Difahamkan, anjing itu dilakukan sedemikian hanya kerana meminta makanan di kawasan rumah penduduk sebelum ditetak dengan kejam oleh individu mabuk.

Turut difahamkan juga, perbuatan itu dipercayai dilakukan atas tujuan ‘hiburan’ yang sama sekali tidak boleh diterima dek akal.

Malah, sehingga ke hari ini, si pelaku terbabit masih gagal dikesan pihak berkuasa sehingga mengundang kemarahan orang ramai yang rata-ratanya meluahkan pelbagai reaksi yang menganggap tindakan tersebut sebagai zalim dan bertentangan dengan norma manusia.

Malah, ada juga yang menggesa pihak berkuasa untuk mencari pelaku dan dikenakan hukuman setimpal mengikut akta undang-undang sedia ada.

 

Persatuan Haiwan Malaysia Turut Kecam

Sumber: FB Persatuan Haiwan Malaysia

Bukan sahaja orang ramai, insiden berkenaan turut mendapat perhatian dari Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika yang mengecam sekeras-kerasnya insiden tersebut.

Pihaknya juga menggesa mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri itu untuk mengendalikan kes tersebut sehingga individu itu ditangkap memandangkan enakmen kebajikan haiwan di Semenanjung tidak boleh dicampuri dengan enakmen yang digunapakai di negeri Sabah dan Sarawak.

Disebabkan itu, pihaknya turut menawarkan ganjaran berbentuk hadiah sebuah skuter bernilai RM9,500 kepada mana-mana individu serta saksi kejadian untuk memudahkan usaha pencarian si pelaku.

 

Tindakan Undang-Undang Yang Boleh Diambil

Daripada kes memasukkan kucing betina bunting dalam mesin basuh, tembak monyet di kepala hingga mati, kini anjing pula didera dengan sebegitu kejam.

Jangan ingat manusia, haiwan juga turut sama dilindungi dengan undang-undang khusus seperti Akta Kebajikan Haiwan 2017.

Sumber: Instagram/animaldefender

Di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2017, sesiapa yang didapati bersalah melakukan penderaan atau kekejaman ke atas haiwan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

Sama juga seperti di Sabah dan Sarawak, kabinet negeri telah meluluskan Enakmen Kebajikan Haiwan Sabah 2015 yang memperuntukkan mana-mana kekejaman ke atas haiwan di bawah enakmen itu boleh dihukum dengan denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

 

Kesedaran Awam Penting!

Dalam isu ini, apa yang paling penting adalah kesedaran orang ramai terhadap haiwan. Tidak kira haiwan itu anjing atau babi sekalipun tetapi mereka juga adalah makhluk tuhan yang hidup bersama-sama kita di muka bumi ini.

Tidak salah sekiranya kita memberi binatang makan kerana amat besar ganjarannya di akhirat kelak. Jika anda merasakan haiwan yang meminta makanan itu sesuatu yang ‘merimaskan’ sehingga sanggup menendang dan menyeksanya, anda sama sekali mempunyai masalah mental dan tiada belas kasihan terhadap mereka!

Sumber: Kompas.com

Dalam pada semua menyalahkan satu pihak sahaja, pihak berkuasa tempatan juga perlu lihat jumlah anjing liar yang ada di sesuatu kawasan perumahan itu yang boleh menganggu gugat ketenteraman awam penduduk sekitar. 

Tetapi apa-apa pun, perbuatan kejam seperti mendera haiwan tidak harus didiamkan dan dibiarkan yang mana hukuman setimpal perlu dikenakan terhadap individu terbabit agar dijadikan pengajaran buat insan lain. 

Walaupun si pelaku difahamkan melakukan perbuatan itu kerana ‘mabuk’. Namun, mabuk itu bukanlah alasan untuk anda bertindak zalim terhadap haiwan. 

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, wajarkah hukuman sebatan dilaksanakan terhadap si pelaku atas perbuatan kejam menyeksa haiwan seperti ini?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN