Tidak kira lelaki atau wanita baik yang muda atau yang tua, kita semua pasti berisiko tinggi untuk menjadi mangsa penipuan menerusi media sosial. Lebih-lebih lagi penipuan yang membabitkan sindiket Love Scam, bagai tiada kesudahannya sehingga ke hari ini.
Semalam, berlaku satu lagi kes yang mana seorang penjawat awam di Sibu, Sarawak mengalami kerugian sebanyak RM370,500 selepas ditipu dengan janji manis seorang jurutera di London yang dikenali secara dalam talian menggunakan aplikasi Tantan.
Apa yang lebih memeranjatkan, wanita tersebut hanya menyedari dirinya ditipu setelah mendapati gambar yang digunakan suspek adalah palsu apabila membuat semakan menerusi aplikasi Google.
Membaca laporan mengenai sindiket ini, kita pasti tertanya-tanya apakah punca yang menyebabkan ramai wanita mudah sangat terpedaya atau tertipu dengan individu yang tidak dikenali di media sosial.
Apa Itu ‘Love Scam’
Love Scam adalah satu penipuan di mana penjenayah akan menggunakan kata-kata manis dan janji palsu untuk memperdaya mangsa terutama sekali golongan wanita.
Dalam pada sedar atau tidak, setiap kali kita menggunakan akaun media sosial, kita pasti telah merisikokan diri kita ke dalam bahaya.
Bahaya dalam soal ini berlaku apabila kita mendedahkan maklumat diri atau terlalu untuk mengenali seseorang yang tidak dikenali menerusi media sosial sekaligus menjadikan mereka antara mangsa Love Scam.
Timbul persoalan bagaimana mereka ini begitu senang untuk ditipu sedangkan sudah terlalu banyak cerita tentang Love Scam ini didedahkan dan disiarkan dalam media cetak dan media baharu.
Adakah disebabkan mereka ini kurang membaca mengenai isu-isu semasa atau kurangnya kesedaran pengguna media sosial mengenai keselamatan siber dan sensitiviti yang boleh mengakibatkan sindiket jenayah siber seperti ini berleluasa.
Punca Wanita Terbabit Love Scam
Apa yang pasti, wanita yang kesunyian, berdepan dengan masalah keluarga atau kematian suami yang meninggalkan harta antara yang menjadi sasaran mudah sindiket ini mengaut keuntungan dengan menggunakan identiti palsu.
Malah, menurut Polis Diraja Malaysia(PDRM), suspek akan memperdaya mangsa dengan kata-kata romantis dan janji-janji palsu kepada wanita atau lelaki yang belum berkahwin, wanita atau lelaki yang kesunyian serta wanita atau lelaki yang sudah lanjut usia dan memerlukan teman hidup.
Maka, tidak hairanlah, golongan yang sering menjadi mangsa dalam sindiket ini kebiasaannya mereka yang berada dalam lingkungan umur 30-an.
Modus Operandi Jenayah Love Scam
Dalam sindiket seperti ini, suspek akan berkenalan dengan mangsa melalui emel, Facebook, Twitter dan lain-lain media sosial untuk menipu mangsa.
Kemudian, suspek akan menggunakan kata-kata manis, janji palsu serta panggilan manja hanya untuk menawan hati mangsa.
Dalam tempoh berkenaan, walaupun mereka tidak pernah bertemu dan hanya mengenali di media sosial, perhubungan mereka akan menjadi lebih erat melalui perbualan di telefon.
Jadi, setelah mangsa terjerat dengan cinta suspek, suspek akan mula menagih simpati dari mangsa dengan meminta pelbagai jenis pertolongan termasuk pertolongan dari segi kewangan daripada mangsa.
Tanpa berfikir panjang, mangsa yang terpedaya akan memasukkan wang ke dalam akaun suspek.
Jadi, setelah wang tersebut dimasukkan, suspek kemudian akan terus menghilangkan diri dan sukar untuk dikesan.
Statistik Melibatkan Sindiket Love Scam
Sepanjang 2017, sebanyak 1,652 kes Love Scam dilaporkan dengan kerugian RM61.9 juta di seluruh negara.
Manakala, setakat Januari hingga Ogos 2018, sebanyak 1,301 kes dilaporkan dengan kerugian RM83.6 juta di seluruh negara.
Mana tidaknya, pihak berkuasa menerima sekurang-kurangnya dua kes setiap hari membabitkan wanita berusia 30-an ke atas menjadi mangsa penipuan seperti ini.
Melihat kepada jumlah ini, ternyata sindiket seperti ini semakin meruncing bagai tiada kesudahannya.
KATA ORANG
senang ye kena tipu? cakap kerja best2,stay obersi,paihtu hilang duit tah kemana,baik bagi aku ja invest untuk buat rumah ka,kedai ka,paihtu untung sama2 share la,haaa...https://t.co/12B3i9rIAu
— Ejim Lee (@shafiqsunazman) March 18, 2019
Jangan mudah terpedaya dengan kenalan di internet. #sodiakroks#SayangiMalaysiaKu https://t.co/LcGzaYkGtY
— Lorna Ivy (@Lorna_Ivy) March 18, 2019
Dah ramai yg kena tapi masih ada lagi yg menjadi mangsa. Umpan cinta internet memang berbisa.
— Dear Daddy (@BornDaddy1) March 18, 2019