Sumber: Malaysia Dateline

Pendedahan dilakukan oleh aktivis mahasiswa Asheeq Ali yang mendapati seramai empat individu  terlibat dalam mempengaruhi Majlis Raja-Raja (MRR) bagi menolak Statut Rom. MRR telah diberi rumusan kajian yang dikatakan ‘berat sebelah’ sehingga menyebabkan MRR menolak Perjanjian Statut Rom seterusnya menyebabkan kerajaan mengambil keputusan membatalkan penyertaan.

Perbincangan Secara Sulit

Asheeq turut mempersoalkan mengapa konsultasi itu dijalankan secara sulit, tanpa diketahui rakyat jelata. Malah, kajian tersebut hanya terarah membincangkan soal mengapa MRR perlu menolak Statut Rom. Seperti tidak ada langsung kesan positif Statut Rom.

Empat individu tersebut merupakan ahli akademik terdiri daripada Dekan Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad dan Pakar Perlembagaan Persekutuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz.

Sumber: Facebook Asheeq Ali

Manakala dua orang lagi yang terlibat merupakan pensyarah undang-undang dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) iaitu Dr. Fareed Mohd. Hassan dan Hisham Hanapi. Pendedahan yang dilakukan turut dilampirkan sekali dengan bukti rumusan kajian. Berdasarkan bukti yang dikemukakan, jelas kandungan rumusan tersebut agak ‘berat sebelah’.

Sumber: Facebook Siti Kasim

Dimana Kebebasan Bersuara?

Namun begitu, rumusan kajian mereka telah dikecam hebat oleh peguam Siti Kasim iaitu antara peguam yang lantang memperjuangkan kebebasan bersuara. Peguam tersebut menyifatkan empat orang ahli akademik sebagai ‘pembohong’ yang tidak layak menggelar diri mereka Profesor atau apa-apa gelaran. Malah, mereka juga dikatakan sangat tidak cekap dan perlu dipecat dari menyandang jawatan sekarang.

Adakah tindakan melabel golongan akademik yang berbeza pendapat ini suatu tindakan yang professional? Di manakah kebebasan bersuara yang dilaung-laungkan Siti Kasim selama ini? Adakah kebebasan bersuara itu hanya terpakai sekiranya ia isu yang kita suka? Isu ini bukan sekadar kebebasan bersuara tetapi juga kebebasan akademik memandangkan ia rumusan kajian.

Sumber: Facebook Charles Santiago

Wajarkah Mereka Dikecam?

Persoalan ini mula timbul tatkala kerajaan bermati-matian memperjuangkan kebebasan akademik tetapi pada ketika yang lain keempat-empat pensyarah ini turut diberi gelaran yang negatif oleh ahli parlimen kerajaan dari Klang, Charles Santiago yang menyifatkannya sebagai ‘Profesor Kangkung’.

Tindakan ini tidak mencerminkan suatu senario yang baik dalam usaha menjadikan Malaysia negara yang lebih terbuka dengan perbezaan pendapat.

Sumber: Malaysiakini

Selesai Isu 4 Ahli Akademik Secara Baik – Anwar

Dalam masa yang sama, Ketua Umum Pakatan Harapan, Dato Seri Anwar Ibrahim mahu isu berkenaan 4 ahli akademik tersebut diselesaikan secara baik melalui budaya wacana yang sihat, soal jawab dan penjelasan. Ini kerana pendekatan tersebut lebih selari dengan dunia akademik.

Kita mengharapkan agar kemelut ini diselesaikan secara akademik sama ada melalui wacana, debat mahupun perbahasan bagi memastikan semua pihak dapat membuat penilaian buruk dan baiknya meratifikasikan Statut Rom.

Benar, rumusan kajian yang dilakukan oleh ahli akademik tersebut berat sebelah. Tindakan mereka berunding secara pintu belakang juga tidak wajar. Perkara ini yang perlu dibincangkan. Teguran yang membina harus diberikan. Tindakan mencerca, mengutuk dan melabelkan mereka sebagai ‘Profesor Kangkung’  bukanlah label ahli politik kerajaan.

Sumber: VIM Malaysia

Rakyat Perlu Gambaran Jelas

Seharusnya ahli politik kerajaan memberi penerangan berkenaan baik dan buruknya Statut Rom diratifikasi berdasarkan fakta dan maklumat yang diperolehi. Dalam masa yang sama, rakyat masih tidak mendapat gambaran yang jelas bnerkenaan isu ini.

Tidak ada bezanya kerajaan hari ini dengan kerajaan yang lalu sekiranya dasar yang sama diamalkan seperti menekan, mencerca ahli akademik sekiranya berbeza pendapat dan tidak sealiran dengan dasar kerajaan.

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Wajarkah ahli akademik itu dikecam?
6 votes · 6 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN