Sumber: KKM

Bermula 1 Januari 2019, umum kita semua mengetahui mengenai larangan merokok di kedai makan atau restoran sudah dilaksanakan.

Malah, sudah banyak papan tanda larangan merokok diletakkan di kedai-kedai makan dan di tempat awam.

Sebelum ini, pihak KKM telah memberi penangguhan selama enam bulan yang akan berakhir Disember ini untuk memberi peluang kepada orang ramai ‘membiasakan diri’ dengan peraturan baru tersebut.

Namun, sekiranya masih ada yang ingkar, individu tersebut akan dikenakan denda yang berbentuk kerja-kerja khidmat sosial seperti mencuci tandas, mengutip sampah dan memotong rumput kepada mereka. 

 

Denda Atau Khidmat Sosial Mana Lagi Berkesan?

Memang lah sebelum ini, mana-mana perokok yang melakukan kesalahan kali pertama, mereka akan dikenakan saman sebanyak RM500 oleh pegawai penguat kuasa Pejabat Kesihatan Daerah di kawasan terbabit dan perlu membayar saman itu dalam tempoh dua minggu.

Sekiranya saman itu tidak dijelaskan dalam tempoh tersebut atau perokok yang didapati mengulangi kesalahan yang sama, mereka akan dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Namun, lihat sahaja apa yang berlaku pada hari ini. Masih ramai individu berani merokok di premis restoran mahupun tempat awam secara terbuka tanpa menghiraukan denda yang bakal dikenakan terhadap mereka. 

Bahkan, ada di kalangan perokok ini langsung tidak mengendahkan tanda larangan merokok yang ditampal oleh pemilik restoran di kawasan premis makanan dan dengan bersahaja merokok secara berjemaah tanpa ada sedikit perasaan malu.

Bagi yang kaya atau duit jenis kepuk-kepuk, mereka mungkin tidak kisah untuk membayar denda tersebut dan kemudiannya mengulangi kesalahan yang sama. 

Tetapi jika khidmat sosial sebegini dilaksanakan, ia sedikit sebanyak mampu mencapai amalan membendung rokok secara berperingkat sama seperti langkah yang diambil oleh negara Singapura atau Australia. 

 

Kerajaan Bakal Alami Kerugian Jika Kawalan Tembakau Tidak Diperkukuhkan  

Untuk pengetahuan anda semua, jika kawalan tembakau tidak diperkukuhkan lagi di negara ini, kerajaan bakal mengalami kerugian sebanyak RM7.4 bilion bagi menanggung beban kos rawatan disebabkan penyakit berkaitan secara langsung dengan tabiat merokok menjelang 2025.

Sumber: VitDaily

Apa yang dilakukan di Malaysia ini sebenarnya tidaklah drastik, malah memberi masa yang cukup lama supaya objektif menambahbaik kesihatan masyarakat dan membendung amalan merokok itu tercapai secara berperingkat.

Bukanlah seperti di Singapura atau Australia yang mengenakan hukuman dan denda yang berat kepada perokok serta merta dan kini menjadi contoh kepada negara-negara lain.

Oleh itu, kepada perokok tegar ataupun mereka yang teringin hendak meletakkan sebatang rokok di bibir buat kali pertamanya, fikir-fikirkanlah semula.

Kepada KKM juga, jangan cakap sekadar melepas batuk di tangga sahaja. Tetapi laksana cadangan khidmat sosial ini dengan adil dan kuatkuasakan secara menyeluruh demi kebaikan semua pihak.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa pandangan anda mengenai cadangan kerja sosial KKM ini?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN