Khabar angin berkenaan wujudnya pakatan menjatuhkan Menteri Besar (MB) Perak sekali lagi diperkatakan. Adakah wujud gerakan menjatuhkan MB Perak atau ia hanya sandiwara politik yang dimainkan untuk melaga-lagakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) negeri Perak?

Ia berikutan wujud rakaman audio baharu yang dikatakan mirip beberapa orang individu termasuk Exco Kerajaan Negeri Perak.

Sumber: Astro Awani

Mirip Suara Dr. Aziz Bari?

Dalam rakaman tersebut, suara yang mirip dengan Dr. Aziz Bari dikatakan kurang senang dengan pentadbiran MB, Ahmad Faizal Azumu yang mentadbir Perak semenjak Pakatan Harapan (PH) merampas pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang lalu.

Walau bagaimanapun, Exco tersebut, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, beliau tidak mengetahui akan perkara tersebut. Beliau menafikan wujudnya pakatan menjatuhkan MB dan menyifatkan rakaman seperti itu boleh sahaja dibuat pada era teknologi hari ini.

Malah beliau menyerahkan segala-salanya kepada polis untuk melakukan siasatan selepas Armada Bersatu Perak membuat laporan polis. Beliau turut meminta agar beberapa suara terlibat dalam rakaman tersebut dikenalpasti.

Ini bukan dakwaan baharu terhadap beliau. Beberapa bulan yang lalu, tular rakaman audio yang dikatakan mirip suara beliau yang ingin menjatuhkan MB. Hal ini menyebabkan beliau tertanya-tanya kenapa beliau sahaja yang dituduh dalam hal ini.

Sumber: MSN

ADUN BN Turut Terlibat?

Dalam masa yang sama, terdapat rakaman audio  yang mempunyai suara mirip seorang wakil rakyat BN merangkap ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya. Sungguh pun beliau pernah mendengar rakaman audio tersebut secara sepintas lalu, namun beliau enggan mengulas bahawa rakaman tersebut merupakan suaranya.

Ini kerana beliau merupakan antara ADUN BN yang ditemui oleh seorang individu ketika isu gerakan menjatuhkan MB hangat baru-baru ini.

Sungguh pun begitu, Ketua Pembangkang DUN Perak, Datuk Saarani Mohamad mempertahankan ‘anak buahnya’. Beliau berkata, UMNO/BN tidak ada kena-mengena dalam sebarang penyebaran rakaman audio yang tular di media sosial.

Bagi beliau, UMNO dan Pas akan mengambil tampuk pentadbiran kerajaan negeri dengan cara bermoral, bukan dengan melakukan fitnah melalui rakaman audio.

Sumber: Astro Awani

Adakah Memberi Kesan Kepada MB?

Bagi Ahmad Faizal, beliau menegaskan rakaman audio yang mirip suara Exco kerajaan negeri tidak menjejaskan tumpuannya melakukan tugas sebagai MB. Bagi beliau, khabar angin menjatuhkan dirinya sudah kerap kali didengar sejak hari pertama menjawat jawatan tersebut. Jelas perpaduan dalam PH tidak tergugat sehingga kini.

Malah, MB pada November lalu turut menegaskan hubungan beliau bersama semua Exco Kerajaan Negeri sentiasa dalam keadaan baik seperti satu keluarga besar sekaligus melenyapkan dakwaan desas-desus keretakan hubungan antara pemimpin PH Perak.

Fitnah Rakaman Audio Bukan Perkara Baru

Isu rakaman audio merupakan siri fitnah terbaru yang dimainkan pasca PRU Ke-14. Ia bermula dengan 3 rakaman audio mirip suara Anwar Ibrahim. Rakaman tersebut merupakan cubaan melaga-lagakan hubungan Anwar-Azmin dan Anwar-Mahathir, ditambah pula dengan waktu ketika pemilihan parti.

Sumber: The Coverage

Cubaan Melagakan Anwar Gagal

Perkara ini telahpun dinafikan oleh Anwar sendiri, dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Malah, isu tersebut tidak berpanjangan. Cubaan melaga-lagakan hubungan Anwar ternyata gagal.

Menurut pensyarah Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff, rakaman audio mirip Anwar jelas dilakukan oleh golongan tertentu yang ingin menimbulkan fitnah. Ini kerana gaya peniruan suara Anwar setaraf pelajar kolej yang sedang menyiapkan projek multimedia.

Pendapat Dr Agus turut disokong oleh Ketua Strategi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Rais Hussin. Bagi beliau rakaman tersebut tidak mempunyai konteks, wujud elemen potong dan tampal dalam rakaman audio yang tular tersebut.

Apa yang pasti, selepas isu rakaman audio Anwar mulai lenyap, muncul pula rakaman audio di Perak. Jelas modus operandi yang sama digunakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dalam usaha melaga-lagakan pemimpin politik hari ini. Yang pasti rakyat hari ini bijak menilai sesuatu isu sama ada benar atau rekaan.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah rakaman audio itu benar?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN