Sumber: Harian Metro

Kemelut politik di Asia Barat tidak pernah surut. Berdasarkan perkembangan kebelakangan ini tindakan Israel merampas Bukit Golan yang merupakan wilayah Syria mencetuskan kebimbangan keselamatan di rantau Asia Barat. Bagi Israel, keputusan mengambil Bukit Golan merupakan langkah strategik bagi memastikan keselamatan Israel dan kestabilan serantau.

Sumber: Ismaweb

Tindakan Disokong AS

Seperti biasa, tindakan yang dilakukan Israel itu disokong penuh oleh Amerika Syarikat (AS). Berdasarkan laporan daripada Press TV, Washington mengiktiraf kedudukan rejim Zionis di wilayah tersebut malah mengubah istilah ‘wilayah yang ditakluki Israel’ kepada ‘wilayah yang dikuasai Israel’. Tindakan ini secara jelas mencabuli kedaulatan Syria.

Namun tindakan tersebut mencetuskan reaksi bantahan kebanyakan pemimpin dunia. Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, merupakan antara tokoh yang paling lantang menentang pencerobohan tersebut. Semasa berucap dalam mesyuarat Pertubuhan Majlis Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, beliau tidak membenarkan legitimasi pendudukan ke atas Bukit Golan. Sekiranya tidak ia akan membawa kepada krisis baharu di wilayah tersebut.

Sumber: Wajada.Net

Turki Akan Bawa Isu Ke PBB

Menyifatkan tindakan Presiden AS, Donald Trump menyalahi undang-undang antarabangsa, Turki akan membawa isu pengiktirafan Bukit Golan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Malah, Menteri Luar Turki, Mevlut Çavuşoglu berkata pentingnya penekanan diberikan kepada asas integriti wilayah di bawah undang-undang antarabangsa.

Berdasarkan laporan Sinar Harian, Resolusi Majlis Keselamatan 497, jelas menyatakan bahawa ‘keputusan Israel melaksanakan undang-undang, bidang kuasa dan pentadbiran di wilayah Bukit Golan milik Syria yang diduduki adalah batal dan tidak sah serta tidak mempunyai kesan perundangan antarabangsa.

Begitu juga dengan Resolusi Majlis Keselamatan 242 yang memberi garis panduan jelas bahawa wilayah yang dirampas melalui peperangan adalah tidak sah untuk dimasukkan sebagai wilayah milik negara yang menjajah berkenaan.

Sumber: Berita Harian

Negara Lain Turut Kecam

Selain Turki, Liga Arab, Rusia dan Iran turut memberi amaran keras terhadap AS selepas pengumuman mengiktiraf Bukit Golan sebagai wilayah Israel. Malah, Majlis Keselamatan Teluk (GCC) turut kesal dengan gesaan Donald Trump untuk mengiktiraf kedaulatan Israel terhadap Bukit Golan yang ditakluki. Kenyataan tersebut dibuat selepas Syria berikrar untuk mendapatkan semula wilayah yang dirampas Israel.

Bagi GCC, kenyataan Trump tidak akan mengubah realiti bahawa Bukit Golan merupakan wilayah Syria yang diduduki secara haram oleh rejim Zionis pada tahun 1967. Dalam masa yang sama, tindakan Trump akan menjejaskan peluang bagi mencapai keamanan yang saksama dan komprehensif.

Menurut Agensi, untuk rekod, Israel telah merampas Bukit Golan daripada Syria pada tahun 1967 semasa Perang Enam Hari dengan menceroboh dua pertiga kawasan Bukit Golan dalam konflik tersebut. Israel juga cuba untuk mendapatkan legitimasi wilayah yang diceroboh tersebut disahkan pada tahun 1981, namun telah ditolak sebulat suara oleh Majlis Keselamatan PBB.

Sumber: International.sindonews

Sikap Hipokrit AS

Tindakan AS yang dahulunya menentang Rusia mengambil alih wilayah Crimea pada tahun 2014 kini dilihat hipokrit apabila menyokong pendudukan haram Israel di Bukit Golan. Begitu juga dengan pengiktirafan Baitulmaqdis Timur sebagai wilayah Israel secara tergesa-gesa.

Jelas dapat dilihat sebanyak mana sekali pun kecaman dilontarkan pemimpin dunia terhadap Israel dan AS, mereka tetap tuli dan kebal dari undang-undang antarabangsa mahupun hak asasi manusia.  

KATA ORANG

KATA ANDA

Mampukah pemimpin dunia menghentikan penaklukan Israel ini?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN