Jika sebelum ini, negara kita pernah dikejutkan dengan kejadian di mana 30 orang cedera selepas belon berisi gas meletup di Kuala Terengganu.

Sumber: @Twt_PutrajayaWP

Kali ini, insiden sama berulang apabila belon yang dipercayai diisi dengan helium meletup selepas selesai Program Kecergasan Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya, Sabtu lalu yang menyebabkan 16 orang termasuk sembilan kanak-kanak dan tujuh dewasa berusia antara empat hingga 30-an melecur.

Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada tindakan pengunjung berebut memotong tali yang mengikat tiga gugusan belon termasuk menggunakan pemetik api.

Daripada jumlah itu, lima mangsa dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun masih dirawat di wad Hospital Putrajaya kerana kecederaan melecur tahap dua.

 

Undang Pelbagai Reaksi

Kejadian yang berlaku itu sekaligus mengundang persoalan ramai, apakah gas yang diisi ke dalam belon tersebut adalah benar-benar gas helium?

Atau mungkin wujudnya percampuran belon yang diisi dengan gas lain yang mudah terbakar untuk menjimatkan kos?

Seperti yang dipetik di Astro Awani, Perunding Keselamatan dan Kesihatan Awam, Mohd Soffian Osman mengatakan helium tidak mungkin akan menyebabkan letupan kerana sifatnya yang stabil dan tidak mudah terbakar sekalipun diletakkan berdekatan dengan sumber haba.

Katanya lagi, dalam kebanyakan kes membabitkan belon terapung meletup ini adalah disebabkan oleh penggunaan gas hidrogen yang tergolong sebagai gas yang sangat mudah terbakar apabila wujud sumber haba dan mudah meletup jika bercampur dengan oksigen.

Malah, beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat penggunaan gas hidrogen dalam industri belon terapung disebabkan kosnya yang lebih murah berbanding helium yang mudah didapati di pasaran.

Namun hari ini, pihak polis sudah mengesahkan bahawa gas yang digunakan di dalam belon itu adalah gas jenis hidrogen dan bukannya helium memandangkan gas hidrogen sangat sensitif dengan alat atau bahan membakar.

 

Pihak Berkepentingan Perlu Main Peranan 

Dalam isu ini, sudah tiba masanya pihak berkuasa bertindak tegas dalam hal berkenaan kerana ia sedikit sebanyak telah menjejaskan perniagaan daripada pihak yang membekalkan gas helium asli termasuk belon-belon yang berkualiti.

Sumber: http://test-signin.aucklandcouncil.govt.nz

Pihak berkuasa yang berkepentingan, terutamanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan juga perlu meneliti isu ini secara lebih serius dalam memastikan produk belon terapung yang dijual dalam pasaran adalah selamat dan tidak mendatangkan risiko keselamatan dan kesihatan kepada pengguna.

Orang ramai juga perlu ingat, andai belon ini selamat sekalipun tetapi jika orang disekelilingnya membawa bahan api seperti pemetik api di kawasan berhampiran, ia secara tidak langsung boleh menyebabkan berlaku letupan disebabkan tindak balas sesuatu unsur kimia.

Apa-apa pun, pihak pembekal belon itu juga perlu disiasat dan diambil tindakan yang sewajarnya agar kejadian sama tidak berulang lagi di masa akan datang. 

Jangan disebabkan kelalaian kita, orang lain pula yang menjadi mangsa. 

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, perlukah pihak kerajaan menghentikan penggunaan belon terapung untuk sebarang acara?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN