Idea mewujudkan jambatan dari kawasan Dumai di Sumatera ke Melaka sebenarnya sudah lama dibincangkan sejak tahun 1990-an lagi. Projek ini boleh dikatakan merupakan impian kerajaan Indonesia dalam usaha untuk membangunkan wilayah-wilayah di luar kepulauan Jawa.

Sumber: Facebook Nazrin Nash

Memetik laporan daripada Bloomberg, Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo berkata, Indonesia merancang untuk melaburkan dana sekitar AS$ 70 bilion untuk membina lebuh raya bertol bagi tujuan menyambungkan pulau-pulaunya yang jauh. Cadangan tersebut bukan sahaja melibatkan jambatan Sumatera-Melaka, tetapi jambatan yang akan menghubungkan Singapura dengan Pulau Bintan.

 

Sudah Tiga Kali Dibangkitkan

Jambatan sepanjang 127.92 km yang merentasi Selat Melaka sudah melalui beberapa kali pemansuhan disebabkan masalah ekonomi. Misalnya pada tahun 1997, cadangan ini terpaksa dilupakan setelah negara-negara Asia dilanda krisis ekonomi yang parah termasuklah Malaysia.

Walau bagaimanapun, kerajaan negeri Melaka telah dua kali membangkitkan kembali projek pembinaan jambatan kontroversi ini iaitu pada tahun 2009 menerusi mesyuarat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) serta mesyuarat Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMTGT) pada tahun 2014 sebelum kembali menyepi.

Sumber: Dunia Sunawan

 

Sistem Perhubungan Indonesia Berjaya Ditingkatkan

Berdasarkan artikel mekanika.com, kewujudan jambatan tersebut merupakan langkah untuk meningkatkan darjah ketersampaian Indonesia. Negara yang mempunyai lebih daripada 17,000 pulau mampu meringankan beban makanan dan bahan bakar di seluruh kepulauan dengan adanya sistem rangkaian jalan raya yang sempurna.

Malah, idea ini menjadi semakin penting untuk direalisasikan selepas Menteri Perancangan Indonesia, Bambang Brodjonegoro berkata pertumbuhan ekonomi Indonesia hanya berkembang dengan pantas sekiranya sistem perhubungan dipertingkatkan.

Sumber: Detik Travel

 

Apa Faedah Kepada Malaysia?

Kewujudan jambatan ini sudah pasti bakal merancakkan lagi industri perekonomian di Melaka memandangkan hasil dari Melaka boleh dipasarkan terus ke wilayah Sumatera dan hasil-hasil dari Sumatera berjaya dibawa terus ke Malaysia melalui Melaka.

Selain itu, sektor pelancongan di Melaka turut akan berkembang dengan pantas. Bayangkan sahaja populasi penduduk di Sumatera ketika ini sekitar 51 juta orang. Sekiranya 10 peratus daripada penduduk Sumatera melancong ke Melaka, boleh dianggarkan sebanyak 5 juta tambahan pelancong bakal membanjiri Melaka.

Sumber: Saya Anak Melaka

 

Cabaran Kepada Indonesia

Rancangan pembinaan projek ini pernah dibantah oleh pelbagai pihak termasuk pencinta alam sekitar. Ini memandangkan tambakan yang akan dilakukan bagi pembinaan tiang jambatan bakal memusnahkan terumbu karang yang bakal meningkatkan lagi tahap pencemaran perairan di Selat Melaka. Namun, pandangan ini boleh disangkal memandangkan Jambatan Kedua Pulau Pinang berjaya direalisasikan tanpa bantahan yang keras.

Selain itu, pelaburan dana sebanyak AS$ 70 bilion merupakan satu bebanan kepada Indonesia. Projek ini dijangka bakal memberi tekanan kepada sistem perbankan Indonesia sekiranya dilakukan oleh republik tanpa melibatkan kerjasama pihak swasta.

 

Cabaran Kepada Malaysia

Sama ada hendak atau pun tidak, kewujudan jambatan yang akan menghubungkan Sumatera dan Melaka bakal meningkatkan lagi gelombang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke Malaysia sama ada masuk menggunakan pas lawatan sosial mahupun pas pelajar.

Sumber: Duniaku

Begitu juga dengan keuntungan ekonomi yang dijangka memberi kelebihan kepada Indonesia. Dengan nilai matawang Rupiah Indonesia yang kecil, dijangka barangan Indonesia lebih mendapat tempat di Malaysia berbanding barangan Malaysia di pasaran Indonesia.

Apa pun, setiap projek yang dijalankan sudah tentu mempunyai kesan positif dan negatif. Namun, sebagai rakyat biasa tiada jaminan yang boleh kita tentukan sama ada sesuatu projek yang dilaksanakan benar-benar memberi impak positif kepada negara atau pun tidak. Segala-galanya terletak kepada kebijaksanaan pembuat dasar negara.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa pandangan anda mengenai isu ini?
4 votes · 4 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN