Setiap kali menjelang sambutan perayaan Hari Krismas atau Hari Natal yang disambut penganut agama Kristian di seluruh dunia, umat Islam sering disogokkan dengan pandangan konservatif mengenai ucapan Selamat Hari Krismas atau Merry Christmas yang disifatkan sebagai haram sehingga menimbulkan polemik dan salah faham.

Malah, ada juga yang berpendapat bahawa sekiranya umat Islam memberikan ucapan tersebut, ia menunjukkan bahawa kita menerima dan mengaku terhadap Tuhan yang selain dari Allah SWT.

Namun sebenarnya, ucapan itu tidak salah untuk diucapkan kepada mereka yang bukan Muslim malah ia harus diucapkan bagi memperlihatkan keharmonian kaum dan agama dalam sesebuah negara itu sendiri.

 

Tidak Salah Umat Islam Ucap ‘Merry Chrismas’

Sumber: Free Malaysia Today

Umum kita tahu, Malaysia merupakan salah satu negara yang mempunyai keunikan tersendiri dari segi bangsa, kaum dan etnik yang pelbagai dari utara tanah air sehingga ke Sabah dan Sarawak.

Apabila melihat kepada kepelbagaian kaum yang ada di negara ini, maka rakyat Malaysia perlu menunjukkan rasa hormat, persefahaman dan perasaan sayang dalam kalangan mereka tanpa mengira kaum dan agama.

Setelah diamati kepelbagaian kaum yang ada di negara ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui laman web rasminya telah mengeluarkan kenyataan bahawa ucapan tersebut adalah diharuskan.

Sumber: BeautifulNara

Menurut Muftinya, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, ucapan tersebut adalah harus untuk diucapkan untuk terus mengekalkan keamanan dan ikatan persahabatan sedia ada dalam kalangan masyarakat yang hidup secara majmuk.

Namun, ada pula sebahagian ulama yang mengharamkan ucapan tersebut kerana bagi mereka ucapan itu bererti umat Islam memperakui agama mereka sepertimana yang sering diperkatakan oleh beberapa kumpulan Muslim konservatif.

Walau bagaimanapun, ada sebahagian ulama pula mengharuskan ucapan itu dengan meletakkan syarat yang bertujuan untuk memupuk perpaduan, dan hendaklah tidak disertai dengan niat untuk mengagungkan, memuliakan dan menyetujui agama lain seperti apa yang diperkatakan oleh mufti sebelum ini.

Sumber: SAYS Seismik

Kenyataan itu turut memetik beberapa ayat al-Quran, seperti Surah al-Mumtahanah ayat 8 hingga 9.

Selain itu, ayat itu antara lainnya menggalakkan umat Islam berlaku adil dan saksama kepada orang-orang bukan Islam yang tidak bermusuh dengan Islam.

Malah, setiap kali tiba musim perayaan lain seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali juga tidak salah untuk diraikan sewajarnya oleh semua masyarakat di negara ini.

 

Ucapan Krismas Harus Ikut Panduan

Sumber: Berita Harian

Walaupun mufti Wilayah Persekutuan menetapkan bahawa ucapan tersebut adalah diharuskan, umat Islam tetap perlu mematuhi beberapa syarat dan panduan seperti melafazkan ucapan tanpa niat mengagungkan, dan tidak membabitkan diri dalam ritual keagamaan yang dilakukan.

Dalam konteks ini, umat Islam itu boleh memberi ucapan tahniah atau mengirim ucapan tersebut melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Muslim sempena dengan perayaan agama mereka dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Muslim serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan.

Bukan itu sahaja, umat Islam juga perlu sentiasa beringat untuk tidak menyambut sesuatu perayaan itu sehingga mengabaikan soal halal dan haram yang sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam.

Oleh yang demikian, dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam, beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Sumber: SAYS Seismi

Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut;

  1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam seperti menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas, menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama, meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh, memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam, tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.
  2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti memakai pakaian berwarna merah seperti santa claus atau pakaian lain yang melambangkan agama, menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya, mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa dan mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya.
  3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini seperti percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan, berpakaian yang menjolok mata, mendendangkan lagu-lagu yang mempunyai senikata berunsur lucah serta pemujaan dan mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik, laga ayam dan sebagainya.
  4. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam seperti ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan bukan Islam, ucapan-ucapan yang menghina umat Islam, ucapan-ucapan yang menghina agama Islam dan persembahan yang bertujuan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.
  5. Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, salahkah sekiranya umat Islam memberi ucapan 'Selamat Hari Krismas' kepada mereka yang bukan Muslim?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN