Jarang sekali kita mendengar sebuah negara yang mempunyai dua buah sistem pemerintahan. Sekiranya sistem komunis menjadi pegangan sang pemerintah, mustahil untuk pengaplikasikan sistem demokrasi. Begitulah juga sebaliknya bagi negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Tetapi tidak bagi negara China.

Meskipun China mengamalkan sistem pemerintahan komunis,  Hong Kong tetap menjadi satu-satunya wilayah yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi. Ini memandangkan Hong Kong merupakan sebuah wilayah yang pernah menjadi tanah jajahan British sebelum diserahkan semula kepada China pada tahun 1997.

Sukar Satu Negara Dua Sistem

Di bawah polisi satu negara dua sistem , wilayah ini mempunyai kuasa autonomi tinggi dalam keseluruhan aspek, kecuali hal ehwal luar negeri dan pertahanan yang terletak di bawah kekuasaan pemerintah China di Beijing. Pengamalan sistem pilihan raya, kebebasan bersuara, kebebasan media, kebebasan berhimpun dan sebagainya menjadikan wilayah ini lebih unik berbanding di tanah besar China.

Walau bagaimanapun, bagi sebuah negara yang mengamalkan dua sistem bukan mudah untuk diterima. Ia menjadi cabaran terbesar kepada rakyat, khususnya bagi penduduk di Hong Kong. Ini kerana banyak tindak-tanduk yang dilakukan oleh Beijing bercanggah dengan aspirasi penduduk di Hong Kong.

Sumber: CNN International

Campur Tangan Beijing Dalam Pilihan Raya

Pada tahun 2014 misalnya, satu demonstrasi besar pro-demokrasi yang digelar sebagai ‘Gerakan Payung’ berlangsung di Hong Kong sehingga menyebabkan kota tersebut menjadi lumpuh. Demonstrasi tersebut diwujudkan bertujuan untuk menuntut pilihan raya yang lebih bebas, selepas Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Negara China menetapkan suatu saringan calon-calon untuk pilihan raya memilih Ketua Eksekutif Hong Kong (Ketua Menteri).

Saringan yang dilakukan oleh Beijing bertujuan untuk memastikan setiap calon yang dipilih perlu mengikut ‘telunjuk China’ dan bukan pro kepada rakyat Hong Kong. Perkara ini sudah tentu mendapat bantahan meluas dari kalangan penduduk Hong Kong sendiri.

Hendak atau tidak rakyat Hong Kong tetap perlu memilih Ketua Eksekutif mereka tersendiri memandangkan kesemua senarai nama calon merupakan pro-China. Hal ini menyebabkan episod demi episod penolakan rakyat kepada pemerintah Hong Kong sehingga ke hari ini.

RUU Ekstradisi Warga Hong Kong Ke China

Satu demonstrasi baru berlaku. Pada 17 Jun lalu dianggarkan sebanyak dua juta penduduk mengambil bahagian dalam rapat umum besar-besaran bagi menentang Rang Undang-Undang (RUU) ektstradisi. Ini kerana pelaksanaan RUU tersebut akan membolehkan penduduk Hong Kong diekstradisi ke tanah besar China yang jelas mengekang kebebasan bersuara.

Sumber: Radar Malang

Rata-rata rakyat Hong Kong khuatir segala bentuk undang-undang yang akan menambah pengaruh China ke atas Hong Kong. Memetik laporan the Guardian, RUU ini mengingatkan rakyat Hong Kong kepada undang-undang yang mengkriminalisasi sesiapa yang melawan pemerintah China.

Malah menurut pemerhati undang-undang, perlaksanaan RUU ini bakal menyebabkan lebih ramai warga Hong Kong akan diekstradisi ke China lebih-lebih lagi bagi golongan aktivis yang sangat vokal kepada pemerintah China di Beijing.

Sungguh pun pemerintah Hong Kong menangguhkan RUU tersebut, namun mereka tidak akan memansuhkan rancangan undang-undang tersebut. Malah, pemimpinnya, Carrie Lam berkata RUU tersebut amat diperlukan. Namun begitu beliau tidak dihormati oleh penduduk setempat kerana dasar beliau yang pro kepada Beijing.

Beijing Tidak Memahami Aspirasi Hong Kong

Jelas tindakan tersebut merupakan salah satu campur tangan Beijing dalam hal ehwal dalaman Hong Kong yang sudah dijamin dalam perlembagaan. Maka bagi rakyat Hong Kong, RUU yang penuh kontroversi ini dipandang sebagai serangan terhadap nilai-nilai mereka.

Sumber: Viva. Co

Perbezaan budaya penduduk, corak pemerintahan dan latar belakang masyarakat tidak wajar disamakan dengan wilayah-wilayah lain di China. Hakikatnya Beijing tidak memahami aspirasi dan kehendak rakyat Hong Kong atau mungkin juga tidak ingin memahaminya langsung. Apa yang mereka mahukan adalah kekuasaan dan pemaksaan.

Yang jelas sekiranya kemelut ini berpanjangan, ia akan menimbulkan perbalahan yang lebih parah bagi satu-satunya wilayah yang mengamalkan sistem demokrasi di China. Dengan jumlah demonstran mencecah jutaan orang, jangan pernah samakan Hong Kong dengan wilayah China yang lain.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apakah solusi terbaik bagi Hong Kong?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN