Akhbar The Sun bertarikh 8 Julai 2019 telah memaparkan poster minuman zero-alcohol keluaran syarikat bir Heineken dengan slogan “Now You Can”.

Iklan tersebut mendapat perhatian orang ramai yang mempersoalkan status halal bagi minuman tersebut.

Siapakah yang dimaksudkan dengan “You” di dalam iklan ini? Jika dilihat “You” seolah –olah merujuk kepada golongan yang tidak atau takut untuk mencuba  minuman memabukkan dan golongan itu adalah orang Islam.

Jadi adakah minuman ini halal atau mereka cuba untuk memanipulasikan orang Islam yang mempunyai keiinginan untuk mencuba minuman tersebut?

 

 

Bukan Untuk Orang Islam

Ekoran dari persoalan dan kekeliruan yang berlaku, syarikat pengeluar bir, Heineken Malaysia memberikan penjelasan bahawa jenama Heineken 0.0 adalah produk minuman tidak halal dan hanya disasarkan kepada golongan bukan Islam berumur 21 tahun dan ke atas.

Jelasnya, tujuan untuk memperkenalkan Heineken 0.0 di Malaysia adalah untuk menyediakan pilihan bagi pengguna bukan Islam menikmati rasa bir tetapi tidak semestinya mempunyai kesan alkohol.

Dalam kenyataannya juga, tagline yang digunakan mereka iaitu Now You Can (sekarang kamu boleh) merujuk bahawa Heineken 0.0 membolehkan pengguna bukan Islam menikmati bir semasa makan tengah hari, mesyuarat, selepas gym dan apabila seseorang mahu memandu.

Malah, syarikat itu berkata, produk itu dijual di bahagian tidak halal di pasar raya dan kedai serbaneka selain terdapat papan tanda dan iklan untuk memaklumkan kepada pengguna.

 

Jangan Kelirukan Orang Ramai

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof dalam kenyataannya semalam meminta syarikat pengeluar minuman keras di negara ini tidak mengelirukan pengguna terutama umat Islam dengan mengeluarkan produk minuman atau arak tanpa alkohol.

Menggunakan nama arak tanpa alkohol amat mengelirukan kerana proses penghasilan minuman itu termasuk penyulingan air dibuat dalam kerangka menghasilkan arak (beralkohol).

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut memuat naik penerangan mengenai isu tersebut bertajuk ‘Alkohol dan Arak’ di laman Facebooknya, kelmarin.

Menurut Jakim, minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling, adalah haram diminum.

Jakim memetik hukum haram itu berdasarkan sumber daripada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

 

 

Heineken Perlu Lebih Sensitif Dalam Promosi

Sebarang promosi serta penjualan arak atau bir tanpa alkohol secara terbuka perlu dihentikan, kerana dikhuatiri memberi impak negatif pada masyarakat, khususnya anak muda.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Mohamad Raimi Ab Rahim berkata  mana-mana syarikat pengeluar minuman berkenaan, seharusnya mengambil kira aspek sensitiviti agama dalam promosi produk mereka, walaupun Malaysia merupakan negara yang majmuk.

 Pihak berwajib juga perlu memperkasa usaha, agar larangan penjualan produk yang haram serta syubhah atau tidak jelas hukumnya antara halal dan haram, dapat dilaksanakan di kawasan komuniti yang majoriti penduduknya ialah umat Islam.

Dalam senario masyarakat yang semakin mencabar dengan bermacam produk makanan dan minuman serta kaedah promosi yang menarik perhatian, sebagai umat Islam seharusnya berwaspada agar tidak mudah terpedaya.

Dalam pada masa sama,  Majlis Belia Malaysia (MBM) turut menggesa agar arak-arak murah tidak lagi dijual di kedai-kedai serbaneka, kerana dikhuatiri akan mudah dibeli dan diminum oleh sesiapa sahaja.

 

Apa Itu Arak Tanpa Alkohol

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinisikan arak sebagai minuman yang mengandungi alkohol iaitu minuman keras. Ini bertepatan dengan pendapat Dr. Yusuf Qaradawi dalam mendefinisikan arak sebagai setiap minuman yang memabukkan yang dibuat dari biji-bijian atau buah-buahan dengan diproses sehingga mencapai kadar alkohol yang memabukkan.

 Daripada definisi tersebut menunjukkan apa yang dinamakan arak adalah setiap minuman yang memabukkan dan menghilangkan kewarasan akal.

Manakala, alkohol merupakan bahan kimia ringkas yang terdiri daripada hidrogen, oksigen dan karbon. Alkohol asli (tulen) adalah suatu cecair jernih yang mempunyai sedikit bau dan rasa.

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, alkohol didefinisikan sebagai cecair yang mudah terbakar dan memabukkan (terdapat di dalam minuman keras dan lain-lain).

Setiap minuman arak mengandungi alkohol tetapi bukan semua alkohol adalah arak. Hukum bagi alkohol yang diperoleh daripada proses pembuatan arak adalah haram dan najis.

Alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum dalam bentuk asli kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.

minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.

Sebagai umat Islam seharusnya kita bijak untuk menilai kandungan yang terdapat didalam makanan atau minuman.

Kerajaan juga perlu memandang serius hal ini dan ambil tindakan sewajarnya kerana isu ini boleh memberi kesan kepada masa depan anak muda dan negara.

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah sebelum ini anda percaya minuman tersebut halal untuk diminum?
3 votes · 3 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN