Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai foto seekor gajah betina berusia 70 tahun yang berada dalam keadaan kurus kering selepas dipaksa berarak dalam festival yang diadakan di Sri Lanka.

Sumber: CNN

Difahamkan, gajah yang bernama Tikiri itu akan bersama-sama dengan gajah lain untuk berarak dalam festival tersebut biarpun kelihatan sakit sehingga kelihatan tulang rusuknya.

Sepanjang festival tersebut berlangsung, Tikiri difahamkan menyertai perarakan yang memerlukan perjalanan jauh sehingga beberapa kilometer dari petang sehingga lewat malam dalam tempoh 10 hari berturut-turut supaya orang ramai akan mendapat restu ketika acara itu berlangsung.

Foto gajah itu bagaimanapun telah dikongsikan oleh sebuah badan amal Thailand iaitu “Yayasan Selamatkan Gajah” sempena menyambut Hari Gajah Sedunia sebelum mendapat liputan meluas seluruh masyarakat dunia.

 

Undang Kemarahan Masyarakat Dunia  

Sebaik melihat foto yang tular itu, memang diakui ramai yang berasa terkejut mungkin disebabkan kali pertama melihat keadaan gajah yang begitu kurus itu.

Mana tidaknya, jika kita pergi mana-mana zoo sebelum ini, mana pernah lagi kita lihat gajah sekurus dan selemah itu di depan mata.

Tetapi, itulah hakikatnya sebenar yang berlaku pada gajah-gajah di Asia Tenggara yang mana mereka masih digunakan untuk dijadikan sebagai haiwan pekerja.

Sehingga ke hari ini, masyarakat seluruh dunia terutamanya aktivis hak asasi haiwan yang tidak putus-putus mengecam tindakan segelintir pihak yang menjadikan haiwan sebagai tempat untuk mereka mencari duit dengan mudah. Malah, ada juga yang memaksa sekatan dan boikot dilakukan ke atas aktiviti berkenaan.

Hasil carian di media sosial juga mendapati sudah ada petisyen yang mendesak pemimpin negara terbabit untuk menamatkan penyeksaan dan penyalahgunaan haiwan dalam aktiviti sebegini yang setakat ini sudah mendapat lebih daripada 8,000 orang yang menyokong petisyen tersebut.

 

Salah Satu Tarikan Pelancongan

Dalam isu ini, memang tidak dinafikan penggunaan gajah dalam aktiviti sarkas antara salah satu tarikan pelancongan di negara tersebut.

Sumber: Global News

Di negara mereka, gajah biasanya akan ditangkap dan dilatih untuk dijadikan haiwan pekerja yang mana gajah-gajah ini akan melakukan tugas seperti mengangkut beban ke kawasan terpencil, memindahkan kayu ke dalam lori, menumpangkan pelancong ke taman negara, menarik gerabak, dan mengambil bahagian dalam upacara keagamaan seperti ini.

Jadi, tidak apa yang peliknya jika gajah-gajah ini terlibat dalam upacara keagamaan memandangkan sejak zaman bangsa Rom lagi gajah sudah dipertaruhkan untuk acara ini.

Namun, biarpun aktiviti sebegini terpalit dengan upacara keagamaan sekalipun, sekurang-kurangnya berilah makan dan rehat kepada mereka kerana haiwan bukanlah dilahirkan untik menjadi hamba manusia di dunia ini.

Sama juga dengan aktiviti menunggang gajah di Thailand. Gajah-gajah di situ juga akan didera secara kejam sebelum disediakan untuk ditunggang oleh pelancong.

 

Malaysia Dah Henti Aktiviti Tunggang Gajah

Gambar sekadar hiasan

Suatu ketika dahulu, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang pernah melakukan aktiviti menunggang gajah namun ia telah dihentikan serta merta pada tahun 2012 kepada pelancong.

Sebenarnya, banyak lagi aktiviti lain yang boleh dijadikan tarikan pelancong tanpa perlu menjadikan haiwan sebagai ‘pekerja’.

Sekarang ini, gajah hanya terlibat dalam aktiviti di dalam zoo sahaja. Itupun melibatkan aktiviti-aktiviti yang ringan tanpa perlu dijadikan ‘hamba’ untuk mengaut keuntungan semata-mata.

Negara lain bila lagi?

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, wajarkah aktiviti sebegini dihentikan serta merta ke atas gajah?
13 votes · 13 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN