Asal ada kenderaan yang membawa makanan terlibat di dalam kemalangan jalan raya, ada sahaja yang akan ambil kesempatan! 

Baru-baru ini tular mengenai sebuah treler membawa muatan susu dikatakan telah terbalik sehingga menyebabkan ribuan stok susu bertaburan di atas jalan raya dalam kejadian yang berlaku di simpang tiga Kampung Tawang, Bachok.

Susulan kejadian itu, pemandu dan kelindan terbabit mengalami cedera ringan namun orang ramai dilihat mengambil kesempatan dengan mengutip ribuan susu tersebut.

Tindakan orang ramai yang mengambil barangan itu mendapat perhatian netizen di media sosial yang rata-ratanya mempersoal perbuatan tersebut sama ada mendapat keizinan dari pemilik ataupun tidak.

Bagaimanapun, hasil maklum balas mendapati ada penduduk yang memaklumkan perbuatan mereka dibenarkan pemilik dengan pemandu lori sendiri menolong mengagihkan susu yang kemek dan bertaburan melalui gambar yang dikongsi di bahagian komen.

Malah, ada juga yang mendakwa pemilik menghalang orang ramai mengutip susu berkenaan namun tidak diendahkan penduduk kampung sehinggalah pemilik susu tersebut tampil meminta orang ramai untuk memulangkan susu yang diambil mereka, semalam. 

 

Pemilik Rayu Pulangkan Tin Susu

Sumber: Facebook

Bagaimanapun semalam, pemilik treler terbabit, Azizan Zainudin tampil merayu kepada orang ramai untuk memulangkan semula susu yang diambil mereka menerusi satu posting yang dimuat naik di media sosial. 

Dalam posting itu, Azizan berkata sekiranya tidak dipulangkan, dia terpaksa membayar kos kerugian sebanyak RM120,000 atas perbuatan tidak bertanggungjawab yang dilakukan orang ramai.

Difahamkan setakat semalam, dua penduduk kampung sudah menghantar semula susu yang diambil. Namun, yang lain masih belum memulangkannya.

Ketika kejadian, pemandunya hanya sempat mengambil 149 karton dan 11 tin susu sahaja daripada 1,500 karton susu yang disyaki diambil orang ramai dan individu yang menyamar sebagai ‘taukeh’.

 

Laporan Polis Dah Dibuat

Sumber: The Reporter

Disebabkan kejadian yang berlaku itu, Azizan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bachok atas saranan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah sebelum ini.

Ketika kejadian, pemandu tidak sempat membuat laporan polis sehingga menyebabkan warganet tertanya-tanya mengenai perbuatan yang dilakukan penduduk kampung itu. 

Tetapi kini, pemilik sudah menjelaskan perkara sebenar dengan meminta orang ramai yang mengambil susu itu supaya memulangkannya ke rumahnya di Kampung Pengkalan Haji Ali atau letak semula di tempat kemalangan. 

 

Inilah Tabiat Buruk Orang Malaysia

Kejadian yang menimpa pemandu lori ini jelas menunjukkan sikap rakyat Malaysia yang suka mengambil kesempatan di atas musibah yang menimpa orang lain.

Sudah tiba masanya rakyat Malaysia ubah ‘mindset’ mereka untuk tidak mengambil barangan atau makanan yang terbabit dalam kemalangan. Walau sekecil mana barang atau makanan yang bergolek di atas jalan itu, kita tidak boleh sewenang-wenang mengambilnya kerana boleh jadi ‘haram’ melainkan kita mendapat kebenaran daripada pemiliknya.

Apa-apa pun, kejadian yang berlaku ini perlu dijadikan pengajaran buat semua pihak supaya lebih tanggungjawab membantu mana-mana pemandu kenderaan yang terbabit dalam kemalangan selain bersama-sama melindungi barangan yang dibawa oleh kenderaan terlibat.

Ambil barang orang lain tanpa mendapat keizinan, ibarat mencuri juga! Lihat video di bawah ini, kita dapat lihat masyarakat di negara China masing-masing membantu pemandu lori tersebut dan kejadian itu sama seperti yang berlaku di negara kita. Perbuatan seperti inilah yang wajar kita contohi dan jadikan panduan. Jadi, fikir-fikirkanlah.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah wajar kita mengambil barangan atau makanan dari kenderaan yang terbabit kemalangan seperti ini?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN