Desas desus mengenai siapakah individu yang selayaknya menjadi Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akhirnya terjawab apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo melantik Datuk Hans Isaac sebagai pengerusinya.
Perkara itu diumumkan semalam yang mana Hans Isaac akan memegang jawatan itu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 8 April.
Bagaimanapun, keputusan pelantikan itu tidak disambut baik netizen di media sosial yang mempersoalkan kelayakan Hans Isaac sebagai ‘masih belum cukup pengalaman’ dan tidak sesuai untuk memegang jawatan itu.
Tidak kurang juga, ada yang mempertikai mengapa kerajaan tidak melantik individu lain yang jauh lebih berpengalaman dalam industri perfileman berbanding beliau.
Datuk Yusof Haslam Lebih Sesuai?
Dalam banyak-banyak individu, nama penerbit dan pengarah filem, Datuk Yusof Haslam pula yang dipetik netizen.
Walaupun Hans Isaac dilantik berdasarkan pengalamannya yang luas dalam bidang perfileman di samping pernah menerima pelbagai anugerah dalam industri perfileman tempatan.
Namun, rata-ratanya melihat Hans Isaac sebagai individu yang masih baru dalam industri perfileman berbanding Datuk Yusof Haslam yang jauh lebih berpengalaman di dalam industri perfileman tanah air.
Sebelum ini, ada sahaja nama calon-calon lain yang disenarai pendek bagi merebut jawatan itu antaranya pensyarah sambilan filem dan penyiaran, Zaki Abdul Rahim, Hassan Abd Muthalib, pelakon Sharifah Amani serta Hans Isaac sendiri.
Pengalaman Dalam Industri Filem Tanah Air
Difahamkan, Hans memulakan kerjaya lakonannya pada 1993, ketika berusia 22 tahun menerusi filem Ringgit Kasorrga.
Kemudian pada 1997, beliau berlakon di bersama Ratu Rock negara, Ella dalam filem Hanya Kawan, arahan Harith Iskander.
Pada Mac 2004 pula, Hans memegang watak sebagai Roy iaitu pereka perisian komputer dan kaki buli dalam filem sulung arahan Afdlin Shauki, Buli yang menampilkan barisan ahli pelakon terdiri daripada Afdlin, AC Mizal, Nasha Aziz, Ako Mustapha serta ramai lagi.
Beliau kemudiannya menjayakan kembali peranannya dalam sekuel filem ini, Buli Balik pada tahun 2006.
Hans sekali lagi meneruskan kerjasama dengan Afdlin menerusi filem Baik Punya Cilok pada tahun 2005 yang turut dibintangi oleh AC Mizal, Awie, Carmen Soo, Allahyarham Harun Salim Bachik, Ida Nerina dan Harith Iskander.
Apabila sudah puas dalam bidang lakonan, beliau memulakan kerjaya pengarahan pada 2008 menerusi filem Cuci, terbitan syarikat miliknya, Tall Order Productions.
Juga, pada tahun yang sama, beliau membintangi filem gabungan kerjasama antara Malaysia dan dan Indonesia iaitu, Tipu Kanan Tipu Kiri.
Dua tahun kemudian, beliau memegang watak sebagai Mir dalam filem romantik Filipina, Miss You Like Crazy, arahan Cathy Garcia-Molina yang mana penggambaran filem berkenaan dijalankan di Kuala Lumpur.
Tidak terputus di situ, Hans bekerjasama bersama Afdlin Shauki dalam filem aksi fantasi Misteri Jalan Lama di mana dalam filem ini, beliau memegang watak sebagai Indra, seorang kaki judi.
Hans juga pernah memegang watak sebagai Jimmy, seorang ketua sindiket pengedaran dadah antarabangsa dalam filem Langgar arahan Syed Hussein.
Pada Ogos 2013, Hans mengarah dan menulis skrip filem kedua arahannya Lemak Kampung Santan yang mana beliau sendiri turut berlakon, memegang watak sebagai Ridzuan.
Mahu Laksana 15 Manifesto
Sebelum dilantik sebagai pengerusi Finas, Hans sememangnya dilihat sudah bersedia untuk memikul jawatan tersebut dengan mengemukakan 15 manifesto membabitkan perancangannya kepada Menteri.
Dalam manifestonya itu, matlamat utamanya adalah untuk menagani masalah kroni dalam industri filem tanah air.
Selain mengubah dasar sedia ada, beliau turut menekankan penjagaan kebajikan penggiat industri yang meliputi kontrak, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso) dan insuran.
Maka, tidak hairanlah beliau dilantik sebagai pengerusi Finas.
Ditambah pula dengan kedudukannya sebagai Pengarah Urusan Social 360 Sdn Bhd (sebuah syarikat yang terlibat dalam bidang keselamatan serta insurans) dan pernah menjadi anggota Lembaga Penasihat Finas serta anggota lembaga Persatuan Penerbit Filem Malaysia pada 2012 serta berkecimpung selama 25 tahun dalam arena seni.
Apa-apa pun, keputusan tersebut sudah dibuat kerajaan secara muktamad yang mana kita semua perlu menghormatinya tanpa mengaitkan pelantikan itu dengan soal politik semata-mata.
KATA ORANG
Looking & Expecting a progressive change with the new line up. Congrats to all.
— Ivy Lojitan (@IvyMaeLojitan) April 10, 2019
Kenapa tak lantik datuk yusof haslan.
— 👳🏻♀️ (@SekerdilDoa) April 10, 2019
Ok la jugak Hans jadi Pengerusi FINAS. Tapi pengarah filem yg tak laku, filem haprak, filem jamban boleh dilantik CEO. Apa punya low class kementerian ni.
— amirapis haiqal (@amirapis) April 11, 2019
Is this guy even qualified to helm the film development board? An actor with no management experience. Well expect the same cronyism to continue at finas with regards to grants and funding
— Hulubalang 2017 (@Hulubalang2017) April 10, 2019