Tindakan Nurul Izzah yang menggelarkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir sebagai bekas ‘diktator’ telah ditegur ramai pihak. Ada yang mempersoalkan kewajaran panggilan tersebut memandangkan ia hanya akan menambah garam di luka dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Sumber: Malaysiakini

Bukan Kali Pertama

Bagi Nurul Izzah, ia bukan perkara baru kerana istilah tersebut kerap digunakan olehnya sebelum ini dalam beberapa siri program sejak sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 dan tidak sedikitpun membuatkan Mahathir terasa.

Agak pelik hari ini apabila ada pihak lain pula yang mula melenting walaupun tidak ada kena-mengena dengan tuan badan. Sama ada mengampu untuk mengharapkan jawatan dan imbuhan tidak dapat dipastikan.

Pendirian Hadi Berbeza

Nada yang berbeza turut dinyatakan oleh Presiden Parti Islam Semalaysia (Pas), Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Jika dahulu ungkapan diktator tidak asing bagi Hadi, namun sebaliknya berlaku masa ini.

Hadi berkata Mahathir bukan seorang diktator, sebaliknya pemimpin negara yang tegas. Ketegasan yang ada pada dirinya (Mahathir) sangat penting dalam memimpin barisan kabinet. Mahathir juga dipilih secara demokratik semasa pilihan raya dan dilantik oleh Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi Perdana Menteri.

Sumber: The Malaysian Insight

Ungkapan bekas diktator bukan sesuatu yang pelik memandangkan rekod pentadbiran Mahathir yang memimpin negara sebelum ini selama 22 tahun penuh warna-warni disusuli dengan pelbagai kontroversi dan air mata.

Mana mungkin pemerintahan selama itu tidak dilabel dengan pelbagai dakwaan lebih-lebih lagi pengaruh pembangkang yang sangat lemah untuk memimpin negara pada ketika itu.

Pendirian Izzah Berdasarkan Pengalaman

Bagi Izzah, apa yang disuarakan beliau merupakan luahan hati yang jujur, berdasarkan kesengsaraan, kezaliman, keaiban yang dialami oleh keluarga beliau semasa era Reformasi.

Bagi mereka yang pernah mengalami zaman yang sama sudah tentu akan bersetuju dengan pandangan Izzah. Bekerjasama dengan Mahathir bukan bermakna tidak mengakui kezaliman masa silam, tetapi berjiwa besar dalam membuka lembaran Malaysia Baru yang diimpikan dengan menjatuhakn Rejim BN selama 60 tahun.  

Sumber: Berita Harian

Tetapi agak pelik bagi Hadi. Pendirian Hadi seolah-olah mengesahkan bahawa tiada kezaliman yang pernah dilakukan oleh Mahahthir sewaktu ketika dahulu.

Menyoroti Tragedi Memali yang berlaku pada November 1985 pasti akan membuat ramai pihak sebak dan sedih, terutama bagi keluarga mangsa yang melihat ahli keluarga mereka terbunuh pastinya tidak dapat memaafkan Mahathir sehingga ke hari ini.

Memali Tidak Pernah Maafkan Mahathir

Bagi keluarga mangsa, jika Mahathir memohon maaf dan datang sendiri ke Memali sekalipun mereka tidak akan membenarkan masuk ke rumah apatah lagi bersemuka. Manakan tidaknya, terbunuh di depan mata dengan tembakan berdas-das. Begitu mendalamnya kesedihan yang dialami keluarga mangsa Tragedi Memali.

Sumber: Berita Harian

Sekiranya Mahathir bukan diktator, mana mungkin Tragedi Memali terus menjadi wirid kempen PAS dalam siri-siri ceramah sebelum PRU yang lalu.

Sekiranya Mahathir bukan diktator, mana mungkin juga Mahathir terus diburukkan dalam siri kempen PAS bagi misi mencari pengaruh undi Melayu.

Dengan pendirian Hadi hari ini sudah tentu akan menambahkan luka di hati keluarga mangsa Memali. Mungkin Tragedi Memali yang berlaku bukan salah Mahathir tetapi salah pihak polis yang bertindak, memandangkan Mahathir bukan lagi seorang diktator seperti yang disangka dan dicanangkan sebelum ini.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah anda bersetuju Mahathir bekas diktator?
4 votes · 4 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN