Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengatakan pihak kerajaan akan meneliti semula Akta Pendidikan yang dijalankan dinegara ini.
Mengikut Akta Pendidikan yang terkini, pelajar hanya diwajibkan untuk melengkapkan persekolahan sehingga ke darjah enam. Namun begitu, kerajaan ingin memastikan setiap pelajar dapat menghabiskan persekolahan mereka hingga ke tingkatan lima.
Ekoran dari cadangan tersebut, ibubapa diwajibkan untuk akur mengikuti arahan tersebut dan jika ingkar mereka boleh didenda RM 5,000 dan penjara selama 6 bulan.
Sekolah Kerajaan Ataupun Swasta Ibubapa Wajar Pilih Ikut Kemampuan
Dalam memilih untuk menghantar anak-anak ke sekolah swasta mahupun kerajaan adalah terpulang kepada ibubapa. Adalah penting untuk mereka tahu kemampuan mereka sendiri.
Yang pastinya, kos untuk belajar di sekolah swasta bukanlah murah dan secara langsung boleh membebankan ibubapa.
Sejak dari tadika lagi, ramai ibu bapa yang memilih untuk menghantar anak-anak ke sekolah swasta yang mana yurannya sahaja mencecahkan ribuan ringgit.
Rata-rata memilih tadika swasta kerana penggunaan bahasa inggeris untuk berkomunikasi dan silibus pembelajarannya yang lebih ‘advanced’.
Namun begitu, adakah itu bermaksud prasekolah kerajaan tidak bagus dan tidak dapat melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang?
Faktor Sesetengah Pelajar Gagal Menghabiskan Pelajaran
Tindakan kerajaan untuk mengubah Akta Pendidikan dengan mewajibkan setiap pelajar melengkapkan pelajaran mereka sehingga ke tingkatan lima adalah tindakan yang wajar.
Banyak kebaikan yang akan memanfaatkan samada pihak kerajaan mahupun pelajar sendiri.
Terdapat banyak faktor yang membuatkan sesetengah pelajar tidak dapat melengkapkan persekolahan mereka. Ada yang kerana kemiskinan dan perlu menjaga ibubapa yang sakit.
Sangat menyedihkan apabila segelintir pelajar terpaksa berhenti sekolah kerana perlu mencari kerja bagi membantu menyara keluarga dan adik beradik.
Bayangkan mereka tidak dapat habiskan persekolahan kerana kemiskinan dan ditambah pula denda RM5000. Wajarkah mereka ini dikenakan denda sebegitu?
Faktor kemiskinan ini harapnya dapat diselesaikan agar setiap pelajar mempunyai peluang untuk mencorak masa depan mereka dengan lebih baik.
Ketika ini juga, kerajaan telah banyak memberi bantuan-bantuan persekolahan seperti BAP ( Bantuan Awal Persekolahan), RMT ( Rancangan Makanan Tambahan) dan juga bantuan buku-buku teks serta barang kelengkapan sekolah yang diberi percuma kepada pelajar yang kurang berkemampuan.
Kepentingan Pendidikan Untuk Masa Depan
Dapat dilihat, walaupun tidak banyak namun masih ada pelajar yang tertinggal didalam pelajaran dan tidak berjaya mendapatkan pekerjaan yang bagus di masa hadapan kerana kelayakan pendidikan mereka yang tidak mencukupi.
Mungkin dulu, dengan berbekalkan sijil PMR mana-mana individu masih boleh memohon kerja dan diambil bekerja. Namun sekarang, rata-rata majikan menetapkan sekurang-kurangnya mempunyai sijil SPM dan mempunyai penguasaan bahasa yang baik.
Dengan zaman yang serba maju ini, ilmu sangatlah penting bagi memastikan kita sentiasa ke hadapan dan tidak tercicir di belakang. Di dalam agama Islam sendiri, kita disarankan untuk menuntut ilmu sebanyak yang boleh.
Saranan kerajaan ini semestinya dapat membantu generasi masa hadapan untuk lebih fokus dalam pelajaran dan dapat mencapai kejayaan yang lebih baik kelak.
KATA ORANG
Kesempitan kewangan keluarga yang mendorong anak2 berhenti sekolah perlu diberi perhatian serius terlebih dahulu
— BuAmjad (@WiraWakra) January 28, 2019
Nk wajib cmne klu ade tindakan diaiplin buang sekolah.. Padahal kes xde la kes polis or mengugat sgt pon.. Cume kdng2 guru disiplin dgn pengetua yg mental cepat koyak... #muridterbuang
— SAHAJA AKU BOY 😋 (@MohdAbdMalek) January 28, 2019
tak payah wajib la dr . yg xmau belajar tu biarkan ja dia nk buat apa..kesian kat pelajar yg betul2 nak belajar. terganggu dgn budak2 yg dh xminat belajar
— muhd.azim 🔰 (@axim92) January 28, 2019
Boleh yb. Dengan syarat kerajaan kenalah buat sistem pendidikan percuma + bantuan persekolahan untuk keluarga miskin. Sebab salah satu faktor utama keciciran sekolah adalah kemiskinan.
— ZMZ (@nerdy07) January 29, 2019