Baru-baru ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mendedahkan guru rajin di sekolah merupakan antara mereka yang berdepan dengan tekanan kerja yang tinggi.

Sumber: Utusan Online

Presidennya, Kamarozaman Abd Razak mengatakan, senario itu berlaku disebabkan masalah pengagihan tugas berdasarkan kepada usaha yang ditampilkan oleh guru tersebut hingga membuatkan mereka tertekan.

Pendedahan yang dibuat itu bagaimanapun mendapat pelbagai reaksi netizen di media sosial dengan ada yang mempertikai mengapa masih ada guru yang tertekan di sekolah meskipun kerajaan sudah menggariskan lima inisiatif untuk meringankan beban guru di seluruh negara.

Tidak kurang juga, ada yang mendesak supaya Kementerian Pendidikan menyegerakan cadangan mewujudkan pembantu guru yang berperanan untuk membantu guru di negara ini melaksanakan kerja pentadbiran.

 

Di Mana Perginya Lima Inisiatif Ringan Beban Guru?

Sumber: The Malaysian Insight

Bagi mengurangkan bebanan guru, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menggariskan lima inisiatif perancangan jangka pendek  yang menjadi tumpuan utama Kementerian Pendidikan tahun ini. 


Pelaksanaan lima inisiatif itu merangkumi kerja memudahkan pengurusan fail dan dokumentasi yang mengandungi tiga intervensi melibatkan pengurusan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), fail panitia dan pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Inisiatif kedua pula melibatkan pengurusan data dan sistem dalam talian yang menyaksikan dua intervensi akan dilaksanakan iaitu pengumpulan data diambil daripada sumber sedia ada kementerian dan penggunaan sepenuhnya sistem kehadiran murid secara dalam talian.

Sumber: Free Malaysia Today

Inisiatif ketiga, memberi ruang kepada sekolah untuk merangka sendiri pelaksanaan Literasi dan Numerasi (Linus) bersesuaian dengan keperluan murid sesuai dengan pemansuhan peperiksaan Tahap Satu.

Inisiatif keempat, kementerian juga akan mula melaksanakan penyeragaman borang dan proses pemantau menerusi dua intervensi bagi memastikan guru tidak lagi terbeban untuk mengisi borang kebersihan, keselamatan dan penarafan kantin. 


Dan yang terakhir, penyelarasan penubuhan jawatankuasa di peringkat sekolah bagi memastikan jawatankuasa yang tidak berkaitan dengan tugas mendidik, dimansuhkan.

 

Usaha Kementerian Pendidikan Seolah-Olah Tidak Sampai Ke Peringkat Bawah

Ya, memang tidak dinafikan tugas sebagai guru bukan mudah. Mereka bukan setakat mengajar anak bangsa tetapi juga turut sama dibebani dengan kerja pentadbiran sepertimana penjawat awam yang lain.

Itu tidak termasuk kerja sampingan lain yang sepatutnya dilakukan oleh kerani sekolah sahaja.

Walhal tugas hakiki guru hanyalah untuk mengajar di sekolah tanpa perlu dibebani dengan tugas yang lain.

Sumber: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

Namun kini, walaupun Kementerian Pendidikan sudah melaksana lima inisiatif yang merangkumi sembilan intervensi untuk meringankan bebanan tugas guru seluruh negara, masih ada guru yang mengadu mengalami tekanan hingga ada yang memiliki kad psikiatri.

Walaupun apa yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan itu satu langkah yang baik, namun ia menunjukkan seolah-olah perancangan tersebut tidak sampai ke peringkat bawahan.

Di mana silapnya?

 

Pengetua Dan Guru Besar Perlu Ubah Cara Fikiran

Dalam hal ini, usaha yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan itu sememanya telah mengurangkan tugas guru.

Namun, apa yang menjadi masalah apabila masih ada pengetua dan guru besar berfikiran cara lama dengan meletakkan ‘ketidakpercayaan’ kepada guru terbabit.

Apabila pemikiran seperti itu dipraktikkan, tidak hairanlah berlaku ketidaksamarataan dalam pengagihan berdasarkan kepada usaha yang ditampilkan mereka.

Apa-apa pun sekarang ini, apa yang paling penting adalah kebijaksanaan pengetua serta guru besar itu sendiri dalam mengagihkan tugas.

Jika Kementerian Pendidikan yang perlu dipersalahkan sekiranya ada guru yang mengalami tekanan, ia sama sekali tidak adil.

Pengetua serta guru besar itu juga perlu bersama-sama menggerakkan usaha dan inisiatif yang diperkenal oleh Kementerian Pendidikan.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, sekiranya guru itu mengalami tekanan kerja, adakah Kementerian Pendidikan yang wajar dipersalahkan?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN