Sejak lima tahun lalu sehingga kini, masalah pengangguran masih lagi berlarutan dan membelengu belia terutama lepasan universiti. Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) mengesahkan seramai 54,103 daripada 238,187 siswazah universiti menganggur dalam tempoh enam bulan selepas mereka menamatkan pengajian masing-masing pada tahun 2016.

Walaupun peratusannya tidak tinggi, namun angka ini sangat membimbangkan kerana tiap tahun jumlah pelajar yang menamatkan pengajian semakin bertambah.

Terlalu memilih kerja dan meminta gaji yang tidak munasabah sering dikatakan menjadi punca masalah pengangguran di kalangan graduan. Adakah benar?

 

Tidak Ada Kerja Atau Permintaan Gaji Tinggi?

Tahun lalu, pertubuhan majikan terbesar negara menyatakan keadaan ekonomi yang lembap memaksa syarikat berhenti mengambil pekerja baharu.

Ini menyebabkan pertambahan graduan yang menganggur yang juga bermaksud pasaran buruh menguncup.

Manakala, kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) menyatakan lebih daripada 80 peratus pemegang ijazah yang menganggur meminta gaji kurang daripada RM3,000, manakala 70 peratus penganggur yang mempunyai diploma meminta gaji kurang daripada RM2,000.

Platform carian kerja Jobstreet.com pula, turut mendedahkan permintaan gaji yang tidak munasabah atau terlalu tinggi antara punca utama siswazah di negara ini gagal mendapat pekerjaan.

Ketua Komunikasi Serantau Jobstreet.com, Simon Si berkata, berdasarkan kaji selidik yang dilakukan pihaknya, sebanyak 68 peratus siswazah meminta jumlah gaji yang tidak realistik sekali gus menyebabkan bakal majikan menolak permohonan kerja mereka.

Walaubagaimanapun, tahun lalu juga kita dikejutkan oleh laporan tentang dua beradik Siti Nursyazalina Zailani siswazah dalam bidang kejuruteraan bahan dan adiknya Siti Nurdiyana pelajar ACCA Intec College yang bekerja sebagai pembantu domestik.

Sumber: World of Buzz

Nursyazalina sanggup sebagai cleaner kerana telah gagal mendapat pekerjaan yang sesuai setelah banyak permohonan pekerjaan ditolak.

Jadi sebenarnya gaji rendah atau tiada kerja di Malaysia? Tepuk dada, tanya hati anda.

 

Berapa Kadar Gaji di Malaysia?

Dari segi pendapatan, 54 peratus siswazah memperolehi pendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan. Gaji permulaan siswazah pada amnya kekal tidak berubah sejak 2007.

Kadar gaji minimum di Malaysia adalah dari RM900 – RM 70,000 berdasarkan kelayakan.

Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pertumbuhan penengah gaji dan upah bulanan bagi pekerja di bandar meningkat 6.6 peratus setahun kepada RM2,260.

Penengah gaji dan upah bulanan pekerja di luar bandar pula meningkat 3.6 peratus kepada RM1,400.

Kajian yang dijalankan Jobstreet Malaysia ke atas 405 syarikat dalam sektor perkilangan, pengeluaran, pembinaan, kejuruteraan, peruncitan dan teknologi maklumat mendapati hanya 2 peratus majikan sanggup mengambil graduan baru dengan bayaran sebanyak RM3,000.

Beberapa graduan baru ada menyatakan, mereka memerlukan RM3,000 sebulan untuk memenuhi perbelanjaan harian bagi makanan, pengangkutan, sewa, dan simpanan.

Itu memang logik kerana untuk meneruskan kelangsungan hidup di era ini, semuanya memerlukan duit.

Bayangkan untuk menyewa bilik sahaja memerlukan antara RM300 hingga RM500 sebulan. Tidak termasuk dengan makanan yang mana sekali makan mencecah RM10 – RM15.

Tambah lagi dengan bayaran bulanan kereta, minyak, tol, bayaran PTPTN dan banyak lagi. Cukup dengan RM3000?

Sumber: Entry News

Namun, diingatkan juga agar graduan jangan terlalu memilih. Sekiranya selepas mencuba, tiada rezeki untuk dapatkan kerja yang diingini, terima saja tawaran yang diberikan.

Sekurang-kurangnya anda tidak duduk dirumah tanpa ada pendapatan sendiri selain dapat menimba pengalaman kerana kini pengalaman adalah penting di setiap syarikat.

Malah sebagai contoh, mereka yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mampu untuk menyara keluarga yang mempunyai mungkin tiga orang anak dan isteri. Bagaimana pula anda?

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa kata anda?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN