Belum pun perkhidmatan ‘e-hailing’ (seru pandu) motosikal dilaksanakan di Malaysia, ternyata isu ini mendapat perhatian meluas dalam kalangan rakyat Malaysia.

Walaupun respon awal yang diperolehi daripada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menunjukkan sambutan yang positif, malangnya undian yang dilakukan oleh beberapa akhbar menunjukkan data yang sebaliknya.

Sumber: Malaysiakini

Sungguhpun begitu, kerajaan tetap dengan keputusan untuk melaksanakan perkhidmatan seru pandu motor di negara ini. Dikhabarkan perkhidmatan aplikasi Gojek dari Indonesia akan menjadi syarikat utama yang akan memulakan industri ini.

 

Hujah Golongan Bersetuju

Bagi mereka yang bersetuju tentunya daripada golongan berpendapatan rendah serta graduan yang baru menamatkan pelajaran.  

Antara hujah untuk menyokong kewujudan perkhidmatan ini ialah untuk memberikan peluang pekerjaan kepada mereka yang masih tidak mempunyai pekerjaan.

Manakala bagi mereka yang berpendapatan rendah, mereka mengharapkan agar kewujudan perkhidmatan ini mampu meningkatkan pendapatan bulanan untuk mendapatkan kualiti hidup yang lebih selesa.

 

Hujah Golongan Menentang

Golongan yang menentang pula rata-ratanya memberikan hujah dari aspek keselamatan. Ini kerana berdasarkan statistik kemalangan setiap tahun menunjukkan bahawa penunggang dan pembonceng motosikal mencatatkan angka kemalangan maut tertinggi jika dibandingkan dengan kenderaan-kenderaan lain.

Sumber: Twitter

Dalam masa yang sama, kebarangkalian untuk seseorang itu diragut dengan menaiki motosikal adalah tinggi. Sudah pasti ia akan meningkatkan kadar jenayah. Ditambah pula dengan perkhidmatan yang bercanggah dengan sistem perundangan negara.

Malah, ada juga yang membangkitkan aspek percampuran antara lelaki dan wanita yang bukan mahram sekiranya ia diperkenalkan. Maklumlah masyarakat kita sudah terbiasa dengan aplikasi seru pandu berkereta, jadi mereka beranggapan aplikasi yang digunakan juga sama. Sudah pasti akan ada percampuran antara pelanggan dan penunggang motosikal. Maka apa pula pandangan mufti?

 

Haram Atau Tidak?

Memetik laporan Astro Awani, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid menyifatkan perkhidmatan seru pandu motosikal sebagai tidak islamik dan tidak sopan. Bagi beliau percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram di atas satu motosikal yang sama lebih mengundang kepada fitnah.

Sumber: Astro Awani

Keadaan itu sudah tentu dilihat sebagai tidak islamik dan tidak sopan. Adalah lebih elok ditiadakan perkhidmatan Gojek ini. Dalam masa yang sama, Mufti Selangor mengharapkan agar kerajaan perlu memikirkan langkah yang sesuai bagi memastikan masalah seumpama ini tidak berlaku.

Bagi Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, beliau tidak mengeluarkan apa-apa pandangan berkenaan kemelut yang berlaku. Bagi beliau, perkara ini perlu diberikan ruang kepada pihak berkuasa bagi memutuskan pelaksanaan Gojek di Malaysia.

Selain itu, berdasarkan laporan Sinar Harian, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Othman, satu perbincangan terperinci dengan mengambil pandangan pelbagai pihak berkaitan terutama kajian perundangan syariah.

Beliau juga turut bersetuju bahawa perlaksanaan perkhidmatan ini mampu menyelamatkan pengguna yang tersekat dalam kesesakan jalan raya ketika waktu puncak.

 

Maka Boleh Atau Tidak Dilaksanakan?

Walaupun terdapat perbezaan pandangan antara mufti, ini bermakna perkhidmatan seru pandu bermotor masih boleh dilaksanakan namun kerajaan perlu lakukan pengubahsuaian khususnya dari kriteria penunggang dan pembonceng bagi memastikan ia patuh syariah.

Antara solusi terbaik ialah meletakkan sistem khas pada aplikasi tersebut agar pelanggan dan pembonceng adalah dari jantina yang sama.

Begitu juga dengan aspek keselamatan yang perlu dititikberatkan. Perkhidmatan ini perlu menyediakan pakaian yang terang dan pantul cahaya bagi memastikan semua kenderaan mudah melihat.

Manakala mostosikal yang digunakan perlu melepasi spesifikasi keselamatan yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari aspek lampu pencahayaan dan signal.

Apa pun, perkara yang paling penting ialah kelajuan penunggang motosikal perlu dilimitasikan agar mereka membawa pelanggan secara berkhemah, serta mematuhi peraturan-peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.

Sumber: The Jakarta Post

Pengenalan perkhidmatan seru pandu motor sudah pasti mendapat respon positif dan negatif daripada orang ramai. Namun seperti yang diperkatakam oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir, rakyat mempunyai pilihan sama ada untuk menggunakannya atau tidak. Tiada paksaan. Sekiranya berasa tidak selamat maka jangan pilih.

Adalah diharapkan agar perkhidmatan ini sedikit sebanyak dapat membantu memberikan peluang pekerjaan kepada golongan berpendapatan rendah dan mereka yang masih menganggur. Dalam masa yang sama dapat membantu mengurangkan lagi kesesakan jalan raya yang kerap berlaku di bandar-bandar utama.

 

 

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah anda setuju Gojek tidak islamik dan perlu diharamkan?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN