Setiap kali tibanya bulan Ramadan, pasti wujud segelintir individu yang tidak berpuasa dan tanpa segan silu menikmati makanan secara terbuka di tempat awam. 

Sumber: Utusan Online

Baru hari ketiga berpuasa, geng plastik hitam sudah dikesan di Ipoh selepas Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) melakukan serbuan ke salah sebuah premis makanan popular di bandaraya itu. 

Hasil aduan masyarakat bukan Islam, premis tersebut dipercayai menjual makanan kepada mereka yang tidak berpuasa sehinggakan lokasinya itu seringkali menjadi tumpuan geng plastik hitam setiap tahun. 

Walaupun sudah diberi amaran, premis itu masih berdegil dan tetap menjual makanan tersebut kepada masyarakat Islam sekaligus menggalakkan lebih ramai orang untuk ponteng puasa. 

 

Mengapa Dipanggil Geng Plastik Hitam?

Sumber: Utusan Online

Geng plastik hitam atau geng ponteng puasa ini kebiasannya melibatkan golongan lelaki yang tidak berpuasa di bulan Ramadan yang mana mereka akan memesan makanan dan minuman dengan menjinjing keluar bungkusan beg plastik berwarna hitam di beberapa restoran dan kedai makan.

Atas sebab plastik hitam yang digunakan itu, masyarakat secara sinis menggelarkan mereka sebagai “geng plastik hitam”.

Difahamkan juga, seawal jam 11 pagi hingga 2 petang, geng plastik hitam ini akan mencari tempat makan. Malah, ada juga yang menggunakan lorong belakang kedai untuk mengambil pesanan kerana tidak mahu dihidu pihak berkuasa.

 

Makan Secara Terbuka, Satu Kesalahan Undang-Undang Jenayah Syariah

Sumber: Youtube

Dalam hal ini, adalah menjadi satu kesalahan undang-undang Jenayah Syariah apabila seseorang yang diwajibkan berpuasa itu sengaja makan secara terbuka di tempat awam.

Kesalahan ini juga diperuntukkan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri di Malaysia yang mana jika disabitkan kesalahan, individu itu boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

 

 

Sepatutnya Tidak Boleh Jual Makanan Sebelum Jam 3 Petang!

Yang sebenarnya, sebelum-sebelum ini sudah wujud larangan penjualan makanan yang mana peniaga tidak dibenarkan menjual makanan sebelum jam 3 petang sepanjang Ramadan.

Larangan tersebut dikeluarkan terhadap semua negeri di Malaysia bagi mengelak pemilik premis menjual makanan kepada geng plastik hitam. 

Jika di Perlis, mana-mana pemilik kedai yang didapati melanggar arahan tersebut akan diambil tindakan bagi setiap kesalahan pertama dengan mengenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama dua tahun, sementara kesalahan kali kedua pula boleh menyebabkan pesalah dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

Di Kedah, premis yang gagal mematuhi peraturan bakal ditarik balik lesen perniagaannya atau disita.

Larangan tersebut bagaimanapun tidak dikenakan terhadap peniaga di Kuala Lumpur apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan mereka menjual makanan bermula seawal jam 11 pagi sehingga 12 tengah malam sepanjang bulan Ramadan.

Sementara di Pulau Pinang, peraturan itu hanya akan berkautkuasa selepas mendapat arahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

 

Konsep ‘Drive Thru’, Pesanan Makanan ‘Grab Food’ Juga Dilihat Berisiko 

Gambar sekadar hiasan

Konsep ‘drive thru’ dan khidmat pesanan makanan yang bagaikan cendawan tumbuh pada hari ini juga dilihat berisiko kerana akan ada pihak yang menyalahgunakan perkhidmatan sebegini.

Sepanjang Ramadan, pemilik kedai pasti akan mengalami sedikit kerugian disebabkan kurangnya pelanggan yang hadir ke kedai mereka. 

Namun, janganlah pula anda menawarkan makanan kepada masyarakat Islam yang sepatutnya berpuasa sebagai jalan pintas untuk mengaut keuntungan semata-mata.

 

Kuatkuasa Undang-Undang Dengan Lebih Ketat

Sekiranya ada pemilik kedai yang didapati masih melakukan kesalahan sama setiap tahun, maka sudah tiba masanya pihak berwajib mengenakan denda serta hukuman yang lebih berat terhadap mereka kerana melanggar peraturan yang ditetapkan.

Sebagai kerajaan negeri, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap premis yang ingkar akan peraturan yang ditetapkan supaya kejadian sebegini tidak berulang lagi di masa akan datang.

KATA ORANG

KATA ANDA

Siapa yang wajar dipersalahkan dalam kes ini?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN