Seperti bangga bergambar dengan bangkai harimau. Begitulah riak wajah yang dipaparkan oleh individu-individu yang menularkan gambar mereka bersama bangkai harimau dahan di media sosial baru-baru ini.

Berlaku Di Sebuah Perkampungan

Gambar tersebut dipercayai dirakam di sebuah ladang pertanian Kampung Kemuning, Alor Gajah baru-baru ini sebelum dimuat naik di media sosial. Gambar yang tular dengan pantas telah menyebabkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka memburu semua individu yang terdapat dalam gambar tersebut.

Memetik laporan Harian Metro, Pengarah PERHILITAN negeri, Mohd Hasdi Husin berkata, semua individu tersebut perlu tampil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan berkenaan bangkai haiwan berkenaan.

Laporan Polis Dibuat PERHILITAN

Menurut Hasdi, satu laporan polis telah dibuat berhubung perkara berkenaan, dan pegawai penyiasat PERHILITAN sudah ke lokasi untuk mengambil semula bangkai harimau yang sudah ditanam. Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 68(2)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Akta 716.

Sekiranya didapati bersalah, individu terbabit boleh dikenakan hukuman denda RM500,000 maksimum dan penjara sehingga 5 tahun sekiranya disabitkan bersalah kerana memburu tanpa permit sah.

Sumber: Utusan

Benarkah Mereka Memburu?

Jika diteliti berdasarkan gambar ketiga, ia menimbulkan satu persoalan baru untuk menerangkan situasi berkenaan. Ini memandangkan terdapat sepasukan unit Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) di tempat kejadian.

Berkemungkinan terdapat laporan daripada penduduk tempatan kepada pihak APMM berkenaan kelibat harimau dahan dikawasan berkenaan. Kewujudan harimau dahan dikhuatiri bakal mendatangkan ancaman nyawa kepada penduduk sekitar.

Bermakna, individu terbabit bukanlah bertindak memburu haiwan berkenaan. Malah, sekiranya individu-individu terbabit mempunyai niat untuk berburu, sudah pasti mereka mengambil kesempatan untuk mengambil salah satu objek penting haiwan berkenaan sama ada kuku, ranting atau kulit dan bukannya ditanam.

Sumber: Utusan

Fikir Dahulu Sebelum Menularkan Sesuatu Perkara

Walau bagaimanapun, tindakan mereka yang bergambar bersama bangkai harimau dengan riak wajah gembira mendapat kecaman dari warga maya. Meskipun bukan mereka yang memburu binatang, tindakan menularkan gambar berkenaan ke laman media sosial sudah tentu mendatangkan pelbagai tafsiran.

Yang pasti, tindakan mereka tidak bijak, ia mendatangkan lebih banyak perdebatan di kalangan warga maya khususnya bagi pencinta alam. Apa pun, fikir dahulu sebelum memuatnaik sesuatu gambar khususnya berkaitan haiwan terancam.

Sumber: Wikipedia

Info Harimau Dahan

Harimau dahan atau nama saintifiknya Neofelis nebulosa merupakan sejenis kucing besar yang dijumpai dari kaki bukit Himalaya melalui tanah besar Asia Tenggara hingga ke China. Haiwan ini telah diklasifikasikan sebagai haiwan terancam pada tahun 2008 oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN).

Jumlah populasi harimau dahan pada ketika ini sedang menurun. Dianggarkan jumlah populasi haiwan berkenaan kurang daripada 10,000 ekor di seluruh dunia.

Disebabkan harimau dahan merupakan haiwan yang dilindungi, sesiapa yang didapati memiliki atau menyimpan sebarang objek berkaitan haiwan berkenaan seperti kuku, taring dan sebagainya akan dikenakan tindakan.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa pandangan anda berkenaan isu ini?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN