Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, antara ibadah yang sering menjadi tumpuan ialah solat sunat terawih. Solat ini amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam kerana ia merupakan ibadah yang khusus berada dalam bulan Ramadhan.

Secara kebiasaannya, solat sunat terawih akan diimamkan oleh imam-imam tempatan di surau dan masjid. Namun begitu, bagi masjid-masjid besar khususnya di kawasan-kawasan bandar, kebanyakannya akan mengambil imam-imam yang hafiz Al-Quran sebagai imam solat sunat terawih.

Sumber: Youtube

Imam Hafiz Ada Daya Tarikan

Ini kerana imam-imam hafiz mempunyai daya tarikan tersendiri seperti bacaan yang lebih lunak, makhraj yang jelas dan mempunyai taranum yang pelbagai. Sudah pasti ia merupakan salah satu strategi masjid untuk menarik jemaah dengan lebih ramai untuk hadir ke masjid.

Disebabkan itu, imam hafiz ini akan dibayar dengan harga yang tinggi oleh pihak masjid bermula daripada RM2,500 sehingga mencecah RM3,000, malah ada yang mencecah RM8,000 bergantung kepada kelayakan dan pengalaman untuk mengetuai solat sunat terawih sepanjang bulan Ramadhan.

Kenapa Perlu Pertikai?

Walau bagaimanapun, ada juga dikalangan warga maya yang mempersoalkan tentang jumlah pembayaran gaji imam terawih yang terlalu banyak. Sehinggakan ada yang mempersoalkan keikhlasan imam-imam hafiz yang menerima gaji setinggi itu. Malah, ada juga yang mendakwa ia merupakan salah satu bentuk penjualan agama.

Sumber: Facebook Azizul Azli Ahmad

Dakwaan sebegini sewajarnya tidak perlu ditimbulkan. Ini kerana imam-imam hafiz tidak meletakkan sebarang harga yang diinginkan. Ia bergantung kepada budi bicara pihak masjid dalam memberikan sumbangan.

Yang pasti, jumlah tersebut merupakan suatu bayaran yang masih dikira berpada sekiranya ingin dibandingkan dengan kesukaran dan tanggungjawab untuk mengetuai solat sunat terawih sepanjang hari. Bagi kita sebagai makmum pun sudah berasa letih, apatah lagi yang menjadi imam, lebih-lebih lagi untuk menghabiskan 20 rakaat.

Sukar Menjadi Imam Solat Sunat Terawih

Bukan mudah sebenarnya untuk menjadi imam solat sunat terawih sepanjang hari. Mereka perlu menjaga makan semasa berbuka puasa untuk tidak makan secara banyak. Makan terlalu banyak akan membuatkan perut menjadi penuh seterusnya memendekkan nafas untuk bacaan ketika solat sunat terawih.

Sumber: Tribun Jateng

Selain itu, mereka juga perlu mengulangkaji bacaan ayat-ayat suci Al-Quran di siang hari sepanjang bulan Ramadhan sebelum dipraktikkan di dalam solat sunat terawih. Pada pandangan orang ramai, mungkin mudah bagi golongan hafiz untuk memimpin bacaan surah-surah penting, namun untuk mendapatkan keyakinan diri memimpin jemaah bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Mereka kena betul-betul yakin dan lancar.

Kenapa kita perlu pertikaikan bayaran yang diberikan oleh pihak masjid kepada imam-imam hafiz, sedangkan mereka tidak meletakkan sebarang harga bayaran untuk khidmat yang diberikan pada setiap malam terawih.

Benar, bayaran yang diberikan bukanlah gaji, tetapi sagu hati. Kalau sagu hati sekalipun biarlah berbaloi dengan keringat yang dicurahkan kepada umat Islam.

Bayar Artis Mahal Boleh

Kalau kita sanggup membayar puluhan ribu ringgit untuk persembahan artis yang tidak sampai pun setengah jam, kenapa pula kita hendak mempertikaikan bayaran yang diberikan oleh pihak masjid kepada imam hafiz yang tidak pun sampai puluhan ribu ringgit untuk satu bulan.

Sumber: Sumsel Tribunnews

Yang pasti, sikap dan mentaliti masyarakat kita perlu diubah. Ada masanya, beberapa perkara perlu diberikan bayaran. Jangan kerana hal-hal berkaitan agama perlu diberikan perkhidmatan secara percuma jika tidak akan dilabel penunggang agama.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah anda bersetuju gaji imam terawih hafiz di bayar pada harga yang lumayan?
36 votes · 36 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN