Sumber: Malaysiakini

Usul daripada pihak kerajaan dalam usaha meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak gagal di peringkat dasar. Ia berikutan undi menyokong yang diterima tidak mencapai dua per tiga daripada anggota Dewan Rakyat.

Ini kerana, segala usul yang berkaitan pemindaan Perlembagaan Persekutuan harus mencapai majoriti dua per tiga ahli dewan. Pada Selasa malam, usul yang dikemukakan oleh pihak kerajaan mendapat 138 undi sokongan manakala 59 lagi berkecuali.

Perlu Sokongan Dua Per Tiga

Pihak kerajaan kekurangan 10 undian bagi mendapatkan majoriti dua per tiga menyebabkan usul tersebut gagal diterima lantas tidak boleh diteruskan ke peringkat kedua. Perkara tersebut telah disahkan oleh Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof.

Pihak pembangkang yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Parti Islam Semalaysia (Pas) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengambil langkah selamat dengan bersikap berkecuali semasa undian dijalankan.

Sumber: Malaysian Review

BN Tidak Beri Alasan Jelas

Bagi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga ahli parlimen Port Dickson, beliau berpandangan pembangkang yang diketuai oleh BN tidak memberikan alasan yang jelas untuk berkecuali. Ini kerana usul tersebut telah dibahaskan oleh 48 orang ahli parlimen sebelum undian dilakukan.

Malah beliau menempelak pemerintahan BN terdahulu tidak menunjukkan sebarang usaha mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai sebuah wilayah meskipun sudah berpuluh tahun memerintah.

Bagi ahli parlimen kerajaan (PKR-Tanjung Malim), Chang Lih Kang pula, berkata rakyat akan menghukum anggota parlimen yang enggan menyokong usul yang dibawa Perdana Menteri.

Sumber: The Star

Benarkah Pembangkang Bermain Politik?

Bagi anggota Majlis Tertinggi UMNO, Abdul Rahman Dahlan berpendapat kegagalan usul tersebut berpunca daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Bahagian Undang-Undang, VK Liew tidak memberikan maklumat yang betul kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed.

Beliau berkata VK Liew tidak membuat ‘kerja rumah’ kerana gagal memahami kehendak sebenar ahli parlimen Sabah dan Sarawak dalam isu pindaan perlembagaan.

Sumber: Sarawak Voice

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (GPS-Santubong), mahukan usul pindaan itu dirujuk ke Jawatankuasa Khas Parlimen bagi dibincangkan dengan lebih lanjut. Namun cadangan itu ditolak dengan majoriti suara yang tidak bersetuju.

Pendirian pihak pembangkang yang mengambil pendirian berkecuali sememangnya menghampakan. Ini kerana usul sepenting ini wajar diberikan bagi memastikan hak Sabah dan Sarawak sebagai sebuah wilayah yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 terpelihara.

Mahathir Tidak Salahkan Pembangkang

Semestinya kegagalan usul pindaan ini memberi tamparan hebat buat Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri. Namun begitu, beliau tidak menyalahkan MP pembangkang di Sarawak. Ini kerana mereka mempunyai hak sama ada untuk bersetuju atau sebaliknya.

Mahathir juga kelihatan tenang ketika diwawancara oleh wartawan selepas tamat sesi perbahasan dan undian Dewan Rakyat di Parlimen.

Tidak Semua Pembangkang Berkecuali

Hakikatnya usul tersebut tidaklah sepenuhnya ditolak oleh pembangkang. Buktinya, masih ada beberapa orang ahli parlimen pembangkang yang menyokong usul yang dikemukakan kerajaan.

Menurut Malaysiakini, beberapa pihak pembangkang tersebut antaranya ialah, Jeffrey Kitingan (PBS-Keningau), Anifah Aman (Bebas-Kimanis), Maximus Ongkili (PBS-Kota Marudu), dan Arthur Joseph Kurop (PBS-Pensiangan).

Sumber: BNP Portal

Jelas dapat dilihat usul untuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak yang dibawa oleh Perdana Menteri tetap relevan kerana masih diterima oleh parti kerajaan dan beberapa parti pembangkang.

Pujian harus diberikan kepada kerajaan kerana buat pertama kalinya mengangkat isu Sabah dan Sarawak dengan lebih serius. Namun pihak pembangkang (BN+Pas+GPS) tidak komited untuk merealisasikan perubahan yang ingin dilakukan.

Namun ada pihak yang menyatakan bahawa kerajaan terlalu gopoh dalam melaksanakan pindaan tersebut. Ini kerana usul tersebut perlu dibincangkan terlebih dahulu di peringkat Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak sebelum di bawa ke peringkat Parlimen.

Sama ada kerajaan gopoh atau pun tidak terpulang kepada anda untuk menilai. Adakah rakyat Sabah dan Sarawak menerima keputusan ini? Biar mereka membuat penilaian yang jelas.

KATA ORANG

KATA ANDA

Berdasarkan penolakan usul ini, adakah memberi kesan sokongan rakyat Sabah dan Sarawak?
3 votes · 3 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN