Sumber: Benarnews

Setelah bermusuh puluhan tahun, pada 5 Mac lalu secara rasminya kedua-dua parti iaitu PAS dan UMNO mementerai satu kerjasama ke arah penyatuan ummah. Dengan termenterainya kerjasama ini, ia bakal memberi impak kepada Pakatan Harapan (PH) dalam usaha mengekalkan pengaruh mereka dalam kalangan rakyat serta mengekalkan kuasa pentadbiran.

Mula Titik Persamaan

Perbincangan meja bulat UMNO dan PAS yang berlangsung selama dua jam setengah antara lain bersetuju meneruskan gerak kerja bersama dalam siri pilihan raya kecil yang akan datang. Sekaligus kedua-dua parti terbesar Melayu itu cuba mencari titik persamaan.

Sumber: Minda Rakyat

Jika diteliti kemenangan Pakatan Harapan di dua buah negeri dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, iaitu Kedah dan Perak, kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) secara majoriti yang amat tipis. Masakan tidak, di Perak ketika ini PH menguasai 30 kerusi dan satu kerusi dari Bebas yang menyokong PH, manakala gabungan UMNO-Pas mempunyai 28 kerusi.

Sumber: Denyut Reformasi

Mungkinkah Krisis Perak Berlaku Lagi?

Adakah kita akan menyaksikan krisis politik Perak pada tahun 2009 sekali lagi? Jika kita mengandaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas, Datuk Nolee Ashilin Radzi kembali semula kepada UMNO, maka gabungan kerusi pembangkang akan bertambah menjadi 29 kerusi.

Dengan melihat senario politik ketika ini, kerajaan negeri berada dalam situasi genting dan tidak stabil. Kelebihan satu kerusi yang diperolehi PH tidak mampu berkekalan kerana di dalam politik segala-galanya boleh berlaku.

Ia ditambah dengan penguasaan majoriti kerusi PH oleh DAP akan terus memberikan sentimen penolakan yang kuat khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu. Malah, pasca PRU-14, senario politik Perak tidak pernah senyap daripada pelbagai isu termasuklah kepercayaan terhadap pentadbiran Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu. Akan ada yang melihat sebagai hanya sebuah spekulasi, namun ia tidak boleh dipandang enteng.

Perkara sama turut berlaku di Kedah. Ketika ini PH menguasai DUN sebanyak 19 kerusi. Dengan mengambil kira kerusi PAS digabungkan dengan UMNO, gabungan mereka bakal memperolehi sebanyak 17 kerusi. Kerajaan PH dilihat agak goyah dengan berbekalkan dua kerusi majoriti. 

Sumber: Facebook Mukhriz Mahathir FC

Bergantung Pengaruh Mukhriz

Tetapi situasi politik di Kedah tidak sehangat Perak. Berbekalkan pengaruh pentadbiran Mukhriz Mahathir yang agak kuat maka kita masih boleh menjangkakan Kedah kekal dalam genggaman PH sehingga penghujung penggal, itupun sekiranya tidak berlaku pergolakan dalaman PH.

Berdasarkan Kajian Ilham Centre

Apa yang jelas buat masa kini, sokongan orang Melayu terhadap UMNO dan PAS adalah solid. Berdasarkan dapatan Kajian Melayu-Islam yang dilakukan oleh Ilham Centre dengan kerjasama Penang Institute pada Disember tahun lalu, sokongan orang Melayu kepada kedua-dua parti menjangkau 57% berbanding PH yang hanya menjangkau 24%.

Sumber: Facebook Ilham Centre

Kegagalan PH menangani isu Melayu-Islam dan kesengsaraan ekonomi masyarakat luar bandar ekoran penurunan harga sawit dan getah akan menyebabkan kita terus menyaksikan penolakan demi penolakan masyarakat Melayu kepada kepimpinan PH.

Isu Melayu-Islam Sangat Sensitif

Berdasarkan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK), orang Melayu tidak begitu kisah soal penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa, tetapi mereka akan rasa tercabar sekiranya hal-hal Melayu-Islam tidak terpelihara dan taraf hidup mereka terjejas teruk.

Malah, sekiranya di negeri Perak dan Kedah bakal berlakunya PRK, tidak mustahil rentetan kejayaan gabungan PAS-UMNO akan terus dijelmakan melalui undian mereka. Kemenangan UMNO/BN dalam PRK Semenyih baru-baru ini telah membuktikan segala yang mustahil bakal berlaku kerana seni politik itu suatu seni yang amat unik.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, adakah hubungan kerjasama Pas-UMNO ini akan kekal?
30 votes · 30 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN