Selepas insiden pembakaran bendera Malaysia oleh warga di Filipina baru-baru ini, kali ini Filipina sekali lagi melakukan tindakan yang memberikan reaksi negatif kepada kedutaan Malaysia.
Filipina Tidak Gugur Tuntutan
Duta Filipina ke Malaysia, Charles Jose pada sidang akhbar selepas membuat kunjungan hormat ke Sabah membuat kenyataan bahawa Manila tidak menggugurkan tuntutannya ke atas Sabah.
Meskipun tuntutan ke atas Sabah tidak dilakukan secara aktif seperti mendaftarkan tuntutan rasmi di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), namun tindakan tersebut memberi gambaran jelas bahawa mereka masih bercita-cita tinggi.
Dalam masa yang sama, Manila sedang berusaha untuk mewujudkan Pejabat Konsul Jeneral Filipina di Sabah. Kewujudan pejabat konsul tersebut merupakan sebagai salah satu langkah Filipina dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat Filipina tanpa izin di Sabah.
Kenyataan Manila tersebut dikecam oleh Wisma Putra. Malaysia telah mengulangi pendirian secara konsisten bahawa Sabah merupakan sebahagian daripada Malaysia dan sebarang tuntutan terhadap negeri itu adalah tidak berasas.
Wisma Putra Tidak Akan Layan Tuntutan
Sabah, telah pun diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan komuniti antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak penubuhan Persekutuan pada 16 September 1963. Tuntutan yang dilakukan oleh pihak Filipina tidak akan dilayan sama sekali.
Tuntutan Manila terhadap Sabah bukan perkara baru. Tuntutan tersebut sudah pun dilakukan sebelum pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. Filipina menuntut bahagian timur laut Sabah kerana beranggapan Sabah merupakan sebahagian daripada negara Filipina kerana ia adalah jajahan Kesultanan Sulu yang dipajakkan.
Berdasarkan sejarah, pada asalnya seluruh Sabah merupakan milik Kesultanan Brunei. Pada tahun 1658, bahagian timur Sabah diserahkan kepada Kesultanan Sulu sebagai ganjaran kerana membantu mematahkan satu pemberontakan di Brunei.
Selagi Ada Bulan dan Bintang
Seterusnya pada tahun 1878, Kesultanan Sulu telah memajakkan bahagian timur Sabah kepada Gustavus Von Overbeck dan rakan kongsinya. Dalam terma pajakan tersebut telah dinayatakan bahawa pajakan tersebut akan kekal selagi mana terdapat bulan dan bintang yang membawa maksud selam-lamanya. Tanah tersebut terus dipajak oleh Alfred Dent sebelum diserahkan kepada Syarikat Borneo Utara British dan akhirnya menjadi tanah jajahan British.
Isu ini kembali bangkit bermula pada Julai tahun 2017 apabila anggota Jawatankuasa Perundingan Filipina, Aquilino Pimentel Jr mencadangkan kemasukan Sabah ke wilayah Filipina. Kemasukan Sabah ke dalam Filipina akan menjadikannya negeri ke-13 bersama-sama Scarborough, Benham Rise dan Spratlys.
Sabah sewaktu ketika itu dipimpin oleh Tan Sri Musa Aman menolak tuntutan tersebut dan mengulangi bahawa Sabah tidak mengiktiraf sebarang tuntutan yang dilakukan oleh Filipina atau mana-mana negara lain. Rakyat Sabah memilih untuk berada di dalam Malaysia kerana mahu menikmati keamanan, kestabilan dan kemakmuran ekonomi.
Penduduk Sabah Tidak Setuju
Rata-rata, penduduk Sabah sendiri tidak bersetuju sekiranya Sabah dimasukkan ke dalam Filipina. Konflik keganasan yang melanda selatan Filipina pada ketika ini serta kemiskinan yang melanda kebanyakan kawasan di Filipina memberi gambaran bahawa keadaan mereka akan menjadi lebih teruk.
Untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan, Menteri Luar, Dato’ Saifuddin Abdullah berkata segala pengumuman oleh Malaysia akan disampaikan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed. Mahathir dijangka akan melawat Manila pada 7 dan 8 Mac akan datang bagi memupuk hubungan yang lebih baik antara kedua-dua negara.
KATA ORANG
Tuntutan Filipina keatas Sabah adalah soal ruang keemasan. Namun negara jiran itu menggugurkan tuntutan mereka adalah hal yang mustahil.
— Jalin Luin (@jals_jalin) February 22, 2019
Sebab itulah usaha menukar status Sabah menjadi sebuah... https://t.co/I5mjloI3jy
Filipina nak tuntut Sabah di ICJ, harap kali ni kemenangan milik Malaysia. Tanah Sabah tak boleh terlepas selepas Pulau Batu Putih .
— Tengku M. (@nomadicmarul) March 4, 2013
Rakyat Filipina dh tuntut Sabah,pasni Indon tuntut ChowKit..Bangla tuntut Masjid Jamek,Vietnam tuntut Balakong,Myanmar tuntut Pekan..nmpak?
— Leman Santan™ (@LemanSantan) March 4, 2013
Kenapa Sultan Sulu cuma tuntut Sabah..? Kenapa tak tuntut pulau yang kat Filipina..? Itupun hak dia jugak..? Jeng... http://t.co/5WHXhRxAi0
— Isu Politik Semasa (@rajaretorik) March 3, 2013