Kes pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari nampaknya semakin rumit apabila dakwaan beliau mencederakan anggota polis dan orang awam sekali lagi dibicarakan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Biarpun belum reda mengenai tuduhan membuat laporan polis palsu berkaitan identiti rakan artis yang didakwa memasukkan dadah dalam minumannya sebelum ini, Farid turut menghadapi pertuduhan lain yang mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis.

Semalam dalam sebutan semula kes, Farid didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Asyraf Ahmad dan Konstabel Mohd Nizam Jamaludin yang ketika itu sedang menjalankan tugas di kaunter pertanyaan sebelum tiba-tiba Farid bertindak agresif menampar pipi Mohd Nizam yang ketika itu sedang bertugas di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Sumber: Kosmo

Ketika kejadian, akibat tindakan Farid yang bertambah agresif, pihak polis terpaksa menggarinya sebelum gambarnya dalam keadaan tidak berbaju dan bergari menjadi tular di media sosial sekaligus mengundang pelbagai tuduhan negatif netizen.

Malah, sehingga hari ini, netizen di media sosial dilihat masih menjaja cerita yang sama dengan menyifatkan tindakan Farid sebagai biadap serta melampau.

 

Tidak Wajar Kasari Anggota Polis dan Orang Awam

Sumber: Berita Harian

Tugas dan tanggungjawab yang digalas sebagai anggota polis bukan mudah seperti yang dijangka malah ianya cukup mencabar apabila cabaran itu turut ditambah dengan persepsi negatif segelintir masyarakat terhadap agensi penguatkuasaan tersebut.

Malah, ada juga yang berani berkelakuan tidak senonoh terhadap anggota polis dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan tidak kurang juga yang berani ‘naik tangan’ terhadap mereka ketika sedang menjalankan tugas.

Sumber: Malay Post-Blogger.com

Sekarang ini, mereka bukan sahaja berani bertindak agresif kepada anggota polis malah anggota penguatkuasa dari pihak berkuasa tempatan (PBT) dan anggota bomba juga menghadapi situasi dan cabaran yang sama.

Jadi, tidak mustahil sekarang ini banyak kejadian tidak diingini berlaku terhadap anggota penguatkuasa yang mana mereka dibelasah oleh orang awam akibat tidak berpuas hati dengan tindakan saman serta kunci tayar.

Sumber: Cempedak Cheese

Tidak kurang juga yang terbaru, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang juga cedera akibat dibelasah beberapa perusuh ketika rusuhan di Kuil Maha Mariamman hingga menyebabkannya terpaksa dimasukkan ke Unit Kawalan Rapi (ICU).

Melihat kepada kejadian yang berlaku ke atas Farid, beliau dikatakan datang ke balai tersebut untuk membuat laporan polis yang mendakwa dirinya terbabit dalam kemalangan.

Namun, lain pula jadinya apabila Farid hadir ke kaunter untuk membuat laporan tetapi menunjukkan satu artikel ‘300 artis hutang Ah Long’ di dalam telefon bimbitnya kepada anggota polis sebelum mencetuskan huru-hara.

Ketika kejadian, Farid dikatakan menjerit ke arah orang awam dan anggota polis dengan mengatakan ‘kau kenal siapa aku?’ sebelum mencederakan orang awam seterusnya menampar pipi anggota polis yang ketika itu sedang bertugas dan berpakaian seragam.

Dalam hal ini, walaupun seseorang itu mempunyai pangkat atau gelaran yang besar sekalipun, tidak semestinya mereka boleh bermegah diri serta berani mengasari orang lain atas faktor itu.

 

Kes Yang Dihadapi Farid Kamil

Sumber: Berita Harian

Pada 16 Januari lalu, Farid mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan, iaitu mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara kira-kira jam 1.20 petang, 11 Januari lalu.

Kemudian, pada 5 Mac lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya menegur Farid supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes jenayah yang dihadapinya kerana ia sudah berjalan di mahkamah.

Malah, mahkamah turut menetapkan prosiding sebutan semula kes membabitkan Farid yang mengaku tidak bersalah pada 16 Januari lalu atas pertuduhan mendatangkan kecederaan pada seorang eksekutif akaun di sebuah syarikat swasta, Ashraf Ahmad, 35, dan anggota polis, Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika kejadian, Farid turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Muhammad Nizam dengan niat menghalang penjawat awam itu menjalankan tugasnya, manakala pertuduhan keempat, tertuduh didakwa berkelakuan tidak senonoh di dalam balai polis dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan sehingga boleh mendatangkan kemarahan dan penghinaan kepada Muhammad Nizam.

Pertuduhan ketiga didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan keempat pula didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Keempat-empat pertuduhan itu didakwa dilakukan Farid Kamil di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara di sini kira-kira jam 1.20 tengah hari 11 Januari lalu.

Sembilan hari kemudian, Farid turut didakwa menggunakan dadah Tetra Hydrocannibol (THC), iaitu 11-nor-tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid yang juga dadah terdapat pada ganja, di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada jam 4.30 petang tarikh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda hingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 

Antara Peranan Dan Tanggungjawab Ketua Polis Balai

Sumber: Utusan Online

Ramai yang tidak tahu akan peranan dan tanggungjawab Ketua Polis Balai yang kadangkala mengelirukan orang ramai.

Walaupun mereka duduk di balai dan tidak turun ke lokasi, namun tanggungjawab mereka begitu besar bukan hanya terhad kepada penugasan pentadbiran balai bahkan juga berkenaan pelbagai operasi peringkat balai memandangkan semua hal ehwal di bawah pentadbiran tersebut melibatkan keselamatan dan ketenteraman.

Segala laporan polis serta maklumat yang diterima juga perlu diambil perhatian oleh Ketua Polis Balai serta mengetahui tindakan yang diambil walaupun laporan polis atau maklumat tersebut telah disalurkan ke bahagian-bahagian dalaman PDRM.

Malah, peranan Ketua Polis Balai bersama masyarakat juga harus diberi penekanan yang mana kedua-dua pihak perlu mewujudkan hubungan akrab tanpa berkelakuan tidak senonoh di balai polis.

Mengikut Akta 344 (Akta Polis 1967), seseorang yang berkelakuan rusuh, lucah, tidak senonoh atau aib di balai polis dianggap melakukan satu kesalahan di bawah Akta ini dan boleh didakwa.

Selain itu, antara tugas Ketua Balai Polis adalah untuk mengetahui segenap inci kawasan pentadbiran balai seperti masalah jenayah, aliran trafik serta ketenteraman awam di mana balai polis pastinya menjadi “first responder” dan ia merupakan asam garam di peringkat balai.

Bukan itu sahaja, Ketua Polis Balai juga perlu mengatur gerak penugasan yang berkesan agar misi dan visi PDRM yang memfokuskan masyarakat aman, selamat dan tenteram tercapai.

Bagi Ketua Polis Balai yang ditugaskan di balai polis yang menempatkan tahanan pula, mereka perlu cekap mengurus lokap dengan pelbagai karenah tahanan bagi memastikan keselamatan di tahanan dijaga dan diteliti setiap masa.

KATA ORANG

KATA ANDA

Sebagai rakyat Malaysia, adakah perbuatan yang dilakukan Farid Kamil ke atas orang awam dan anggota polis yang sedang bertugas itu dianggap sebagai biadap serta melampau?
8 votes · 8 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN