Selepas kejayaan mendapat sokongan lebih 2/3 Dewan Rakyat dalam meminda Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, kini YB Syed Saddiq bangkit memperjuangkan isu anak muda berkenaan dengan pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang menjalani latihan praktikal tidak dibayar elaun oleh majikan.

 

 

Isu pelajar tidak menerima bayaran elaun ketika menjalankan latihan praktikal di sektor kerajaan mahupun swasta sering diperkatakan pada setiap tahun tetapi tidak mendapat perhatian daripada mana-mana pihak.

Tetapi isu ini telah berjaya menarik perhatian YB Syed Saddiq untuk membawa masalah yang dihadapi oleh anak muda ke dalam kabinet untuk dibahaskan.

Persoalannya, adakah anak muda pada hari ini dilihat terlalu manja dan mementingkan wang berbanding ilmu yang diberikan ketika menjalani latihan praktikal seperti mana yang diperkatakan?

 

Pelajar Tidak Perlu Diberi Elaun

Latihan praktikal yang terdapat di dalam silibus pengajian di IPT bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar untuk merasai sendiri bagaimana suasana di dalam dunia pekerjaan selain mendapatkan pengalaman dan syarat wajib lulus dalam pengajian.

sumber: sinar harian

Namun, baru-baru ini, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) telah menolak cadangan untuk memberikan bayaran elaun kepada pelajar yang menjalani latihan praktikal di sektor kerajaan dan juga swasta.

CUEPACS  juga melihat pemberian elaun kepada pelajar yang menjalankan latihan praktikal sebagai tidak wajar kerana latihan praktikal merupakan satu proses pembelajaran mereka di IPT.

Memang tidak dinafikan ia merupakan satu syarat wajib pelajar untuk lulus dalam pengajian, tetap pemberian elaun juga sedikit sebanyak dapat membantu mereka untuk membiayai kos sara hidup sepanjang menjalani latihan praktikal.

 

Elaun Tak Dapat, Yuran Pengajian Pula Kena Bayar!

Telah banyak kisah ketika menjalani latihan praktikal yang telah dikongsikan di media sosial, sama ada mereka bernasib baik ataupun tidak.

sumber: health24

Mereka yang kurang bernasib baik terpaksa berhadapan dengan majikan yang suka mengambil kesempatan kepada pelajar praktikal di mana mereka dikerah untuk melakukan pelbagai kerja sehingga mereka terpaksa untuk bekerja lebih masa.

Sudahlah mereka tidak dibayar elaun sepanjang latihan, pelajar juga dikatakan terbeban dengan yuran pengajian yang bagi mereka tidak masuk akal untuk dibayar.

Bagi mereka, ketika menjalani latihan praktikal, mereka tidak perlu membayar yuran pengajian di dalam tempoh semester tersebut kerana mereka hanya berada di tempat latihan sahaja bukannya di universiti.

Mungkin pihak IPT perlu menyemak semula kewajaran dalam mengenakan yuran pengajian (tidak termasuk yuran kolej kediaman, kebajikan, kesihatan dan lain-lain) untuk semester di mana pelajar menjalani latihan praktikal.

 

Kenapa Bayaran Elaun Berbeza-Beza?

Sumber yang diperolehi daripada Harian Metro, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan menyatakan pihak swasta sudah lama melaksanakan pemberian elaun kepada pelajar praktikal berbanding di jabatan kerajaan.

sumber: paste magazine

Antara pertikaian yang dibangkitkan oleh anak muda hari ini ialah mengapa jumlah bayaran elaun tidak sama oleh setiap syarikat dan terdapat sesetengah syarikat menawarkan elaun yang cukup tinggi kepada pelajar sehingga hampir setaraf dengan staff yang bekerja di situ.

Dari sini mula timbul keluhan dan pertikaian daripada pelajar dengan bebanan kerja yang dirasakan tidak setimpal dengan bayaran elaun yang diterima dan merasakan mereka ditindas oleh majikan.

Sepatutnya perkara ini tidak perlu diperbesarkan kerana kebiasaannya sewaktu pelajar ditemuduga, pihak majikan sudah memaklumkan dan menetapkan jumlah bayaran elaun yang akan dibayar kepada mereka sepanjang latihan praktikal.

Sesetengah IPT juga telah memberi kebebasan kepada pelajar untuk memilih tempat latihan yang mereka minat dan semuanya bergantung kepada cara bagaimana pelajar berunding dengan pihak majikan dan kesanggupan mereka untuk menjalani latihan praktikal di syarikat tersebut.

 

Latihan Praktikal Satu Proses Menimba Ilmu

 

Menurut apa yang dikongsikan oleh pemilik Facebook Zack Rahim, latihan praktikal merupakan sebahagian daripada proses menimba ilmu di mana pelajar tidak dibebankan dengan tanggungjawab di organisasi ataupun syarikat.

Pembayaran jumlah elaun juga bergantung kepada syarikat tersebut kerana yang lebih utama ialah kesediaan syarikat atau organisasi menerima dan melatih pelajar kepada industri.

 

 

Jika benar pihak kerajaan mahu mewajibkan semua sektor untuk membayar elaun kepada pelajar praktikal, mungin perlu dimulakan dengan sektor kerajaan terlebih dahulu yang ramai sedia maklum hampir semua pejabat di sektor kerajaan tidak membayar elaun kepada pelajar praktikal.

Selain itu, pihak kerajaan juga perlu menilai semula jenis tugasan yang diberikan kepada pelajar yang menjalani latihan di sektor kerajaan kerana terdapat pelajar yang tidak diberikan tugasan bersesuaian dengan bidang pengajian mereka.

Bagi sektor swasta pula, jika tekanan yang terus diberikan kepada sektor ini, kemungkinan syarikat-syarikat swasta tidak lagi mengambil pelajar untuk menjalani latihan praktikal disebabkan terlalu banyak kerenah daripada anak muda.

 

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Apakah pandangan anda tentang isu ini?
11 votes · 11 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN