Ramai yang mengeluh berkenaan harga durian yang mahal pada masa kini. Kalau dahulu durian merupakan makanan orang kebanyakan, tetapi hari ini boleh dikatakan durian telah menjadi makanan orang berada, kerana harganya yang semakin mahal.

Bagaimana tidak mahal kalau dijual mengikut timbang kilo. Bayangkan sekilo durian berharga RM7. Berat sebiji durian ada kalanya tiga atau empat kilo. Sudah tentu harganya mencecah puluhan ringgit sebiji bukan? Ini juga bergantung kepada jenis durian yang dijual.  

Sumber: Forum Lowyat

Sedangkan, durian pada masa sebelumnya dijual berdasarkan harga longgok atau bakul. Harga yang dikenakan pula agak munasabah. Misalnya, selonggok RM30 atau sebakul RM50. Disebabkan kaedah penjualan ikut timbang kilo inilah yang menyebabkan ramai penjual durian memperoleh keuntungan yang sangat lumayan.

Kenapa Boleh Terjadi?

Antara faktor harga durian semakin mahal ialah kerana durian tempatan mendapat permintaan tinggi di negara China. Bayangkan sahaja penduduk negara China yang mencecah 2 bilion orang. Mana mungkin pengeluar durian tempatan tidak mahu menolak pasaran di China.

Sumber: Vitdaily

Disebabkan penjualan durian ke China berdasarkan timbang kilo, maka penjual tempatan turut menjual mengikut kaedah yang sama. Tidak pelik sekiranya harga durian terus mahal di pasaran tempatan.

Kaedah boikot pun belum tentu berjaya memandangkan permintaan pasaran luar lebih tinggi berbanding tempatan. Kalau boikot sekali pun, tauke durian masih boleh senyum.

Pun begitu, mungkin ramai yang tidak tahu ada buah durian yang jauh lebih mahal berbanding durian-durian yang dijual di pasaran tempatan. Durian tersebut dikenali sebagai durian tahi gajah dan pernah terkenal pada era 1980-an. Malah, harganya sebiji boleh mencecah RM1,000 ! Masakan tidak, cara penghasilannya pun agak rumit dan sangat berisiko.

Berdasarkan laporan Harian Metro, kewujudan durian tahi gajah turut disahkan oleh Pegawai Pertanian Daerah Segamat, Nur Akmal Abdullah. Beliau berkata kewujudan durian itu bukan gurauan sebaliknya pernah popular di Segamat sekitar tahun 1980-an.

Sumber: Mforum

Bagaimana cara penghasilannya?

Gajah akan menggelek-gelek durian sehingga durinya rosak lalu dimakan. Bagi sesetengah durian yang kenyal ia tidak akan pecah, lalu akan keluar semula bersama tahi gajah. Disebabkan proses yang agak sukar, maka tidak hairan sekiranya harga durian tahi gajah mahal.

Sungguhpun harganya sangat mahal, tauke balak sanggup membeli. Untuk mencari stok durian gajah bukannya mudah, kerana stok yang amat terhad dan tidak semua orang mampu menghasilkan. Disebabkan itu, mereka perlu menempah terlebih dahulu daripada Orang Asli selama musim durian.

Hanya Orang Asli Yang Pakar

Disebabkan risiko yang tinggi, durian ini hanya boleh diperoleh daripada Orang Asli Jakun. Ini kerana masyarakat Jakun tinggal di kawasan hutan dan mudah untuk akses kepada gajah. Memetik artikel saidinhasnam.blogspot, masyarakat Jakun akan mengambil risiko dengan mengikuti gajah sekurang-kurangnya selama empat jam ( tempoh yang diperlukan oleh gajah untuk mencerna durian) sebelum buah durian yang tercerna keluar bersama kotoran.

Sumber: Rakcakdc2.blogspot

Bau kotoran gajah tidak busuk seperti haiwan-haiwan lain. Baunya seakan-akan bau teh, durian yang belum tercerna pula dikatakan tidak mengandungi kotoran dan bakteria.

Kenapa Mendapat Permintaan?

Kebanyakan tauke balak mendakwa, durian tahi gajah merupakan makanan yang istimewa kerana mampu membangkitkan ghairah seksual. Walau bagaimanapun, sehingga ke hari ini, belum ada kajian saintifik yang mampu dibuktikan untuk menyokong dakwaan tersebut.

Dalam masa yang sama tidak dapat dipastikan sama ada penghasilan durian tahi gajah masih dilakukan atau pun tidak. Ia memandangkan populasi gajah yang semakin berkurang dan kawasan hutan yang semakin mengecil menyukarkan usaha menjejaki haiwan tersebut.

KATA ORANG

KATA ANDA

Jika diberi peluang durian yang mana akan anda pilih?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN