Agak terkejut apabila mendapat tahu bahawa projek Bandar Malaysia yang diilhamkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu mahu diteruskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sumber: PropertyGuru

Mana tidaknya, sebelum ini PH dilihat mengkritik hebat projek ini yang dikatakan menjual tanah negara untuk menjana wang demi membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Namun kini, projek ini pula bakal diteruskan semula dengan beberapa pindaan serta lebih banyak penyertaan dari golongan Bumiputera.

Keputusan penerusan projek tersebut diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan bahawa projek itu akan memberi kesan besar terhadap pembangunan bandar bagi Malaysia, menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan menjana nilai pembangunan kasar (GDV) yang dijangka sebanyak RM140 bilion.

Bagaimanapun, keputusan yang dibuat Dr Mahathir itu dilihat seolah-olah salah dan boleh disifatkan sebagai satu tindakan ‘U-Turn’ oleh pihak kerajaan kini.

 

Apa Itu Projek Bandar Malaysia?

Sumber: The Sun Daily

Bandar Malaysia adalah projek pembangunan di Kuala Lumpur yang berkeluasan 197 hektar, yang akan dimajukan di lapangan terbang lama Pangkalan Udara Kuala Lumpur (PUKL) Sungai Besi yang jaraknya hanya 7km dari pusat bandar raya.

Tarikan utama projek tersebut adalah pembinaan hub pengangkutan berintegrasi yang sepatutnya menjadi salah satu stesen yang terletak di paling utara Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang dimansuhkan buat masa ini.

Sumber: The Straits Times

Antara rancangan lain untuk projek berkeluasan 486 ekar itu termasuklah pembinaan fasiliti perniagaan, pelancongan dan unit kediaman.

Projek tersebut sepatutnya dibangunkan oleh 1MDB. Bagaimanapun, projek itu tidak pernah dimulakan dan diberhentikan secara tiba-tiba pada 2017.

 

Batal Projek Disebabkan Skandal

Sumber: PropertyGuru

Tidak dapat dinafikan, projek Bandar Malaysia yang sepatutnya diteruskan terpaksa dibatalkan disebabkan skandal 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Mana tidaknya, pentadbiran Najib dahulu membenarkan 1MDB berhutang sehingga RM42 bilion dalam masa sama negara China yang dikatakan turut terbabit dalam skandal tersebut.

Malah, terdapat juga dakwaan mengatakan projek ini merupakan salah satu projek menjual tanah negara untuk menjana wang bagi membayar hutang 1MDB.

 

Teruskan Projek Kerana Banyak Faedah

Sebelum ini, mungkin projek ini banyak terpalit dengan pelbagai kontroversi tetapi apabila dilihat semula, projek ini sebenarnya mampu menambah nilai substantif kepada ekonomi negara.

Dengan projek baru ini, kerajaan juga bersetuju untuk membina sebuah Taman Rakyat, selain 10,000 buah rumah kos rendah sekaligus mengutamakan penyertaan dari Bumiputera terhadap penggunaan bahan binaan tempatan.

Sumber: Sinar Harian

Apabila terlaksananya projek ini, ia jelas sekali dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan selain memacu sektor jualan dan permintaan bagi ruang kediaman dan komersial.

Selain itu, projek ini juga akan menggerakkan industri kecil dan sederhana melalui peningkatan rantaian nilai serta merangsang permintaan untuk bahan binaan keluaran Malaysia, teknologi dan bakat tempatan bagi memastikan pembangunan bandar yang lestari.

Apa yang paling penting, projek ini bakal menjana anggaran nilai pembangunan kasar RM140 bilion sekaligus menarik lebih banyak institusi kewangan antarabangsa, syarikat multinational dan syarikat Fortune 500 untuk menempatkan ibu pejabat serantau mereka di Bandar Malaysia ini.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah projek Bandar Malaysia ini dilihat mampu menambah nilai substantif kepada ekonomi negara kita?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN