Meminjam wang memang mudah, menagih simpati dari orang juga mudah. Tapi bila tiba masa untuk membayar semula wang tersebut pasti ramai yang akan cuba berdolak-dalik dan bersikap acuh tak acuh sedangkan itu adalah tanggungjawab mereka untuk menyelesaikan hutang tersebut.

Jika anda pernah meminjamkan wang kepada seseorang pasti anda tahu betapa sukarnya untuk meminta semula wang yang dipinjamkan.

Adakala sampai bergaduh dan bermasam muka hanya kerana si peminjam tidak mahu memberikan kerjasama yang sepatutnya.

Lebih parah apabila peminjam wang tersebut adalah dari kalangan ahli keluarga kita sendiri.

Sehinggakan si pemberi hutang terpaksa memejam sebelah mata dan menghalalkan sahaja duit yang dipinjamkan.

Ramai ahli keluarga dan saudara mara suka mengambil kesempatan terhadap ahli keluarga lain yang nampak lebih stabil dari segi kewangan dan mempunyai pangkat dan gaji yang besar.

Ramai juga yang akan menjadikan anak mereka sebagai modal untuk menagih simpati agar wang yang diminta diberi dengan mudah tanpa banyak soal.

Namun, adilkan untuk mereka diperlakukan sedemikian? Kalau jumlah yang dipinjam tidak banyak tidak mengapa, tapi kalau sampai mencecah ribuan ringgit? Bukankah seperti menganiayai orang? 

 

Peminjam Bunuh Pemiutang

Yang paling dibimbangkan ialah apabila si peminjam mula bersikap agresif dan kasar setiap kali pertanyaan berkaitan hutang yang belum terlangsai diajukan.

Malah ada yang berani bertindak diluar batasan sehingga sanggup meragut nyawa orang yang pernah membantu mereka satu masa dahulu.

Sumber : Facebook ( Nur Fitri Damia)

Seperti kejadian yang berlaku di Georgetown baru-baru ini. Niat si pemiutang yang hanya ingin menuntut semula haknya dibalas dengan sungguh tragis apabila si peminjam bertindak menikam dadanya sehingga mengakibatkan kematian.

Mangsa yang meninggal di tempat kejadian juga ditinggalkan begitu sahaja oleh suspek yang juga ditemani seorang rakannya yang lain.

Malah mengikut laporan polis, si peminjam memang mempunyai sejarah kesalahan lampau dan tidak mustahil untuk dia bertindak sedemikian.

 

Berani Katakan Tidak

Tidak dinafikan ramai yang tidak sampai hati untuk menolak permintaan seseorang untuk meminjam wang, walaupun adakalanya mereka sendiri tidak cukup wang sementara menunggu hari gaji yang seterusnya.

Atas alasan ihsan dan perikemanusian, ramai yang sanggup mengikat perut sendiri demi kesenangan orang lain.

Dan mungkin sudah tiba masa untuk mereka belajar mengatakan tidak dan menolak dengan cara baik permintaan peminjam-peminjam wang ini bagi mengelak pelbagai konflik yang tidak diingini daripada berlaku.

Walaupun mereka sebenarnya mampu dan mempunyai duit lebih untuk dipinjamkan.

Kerana wang manusia sanggup putus saudara dan kerana wang juga manusia sanggup bertikam lidah demi kepentingan diri sendiri.

Elakkan menjadi mangsa, beranikan diri anda untuk katakan tidak.

 

Orang Berhutang? Biarkan, Tuntut Di Akhirat Kelak

Pernahkah anda dengar  kononnya roh orang yang tidak menyelesaikan hutang akan terapung-apung dilangit selagi hutang yang dilakukan tidak diselesaikan oleh ahli keluarga si mati mahupun dihalalkan oleh si peminjam.

Benarkah dakwaan berkenaan?

Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jiwa seorang Mukmin itu tergantung kerana hutangnya hinggalah hutangnya dilangsaikan.” (Riwayat at-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Baihaqi)

Ini mengiyakan dakwaan tersebut, roh si mati yang berhutang akan tergantung di langit sehingga hari pembalasan dan ianya adalah hukuman yang amat berat buat si mati.

Sebab itu jika kita menghadiri majlis pengebumian, kita akan sentiasa diingatkan oleh ustaz mahupun ahli keluarga si mati untuk menuntut dari mereka jika ada sebarang hutang yang ditinggalkan arwah mahupun meminta si peminjam menghalalkan mana-mana hutang yang tidak diketahui.

Anda suka berhutang? Beringatlah, duit-duit yang anda pinjam dari orang lain akan dituntut bukan sahaja di dunia malah hingga ke akhirat.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa kata anda?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN