Berkuat-kuasa 1 April tahun ini, pengguna yang menaiki perkhidmatan KTM Komuter bakal menerima diskaun sebanyak 20 peratus, sekali gus menjadi berita gembira buat rakyat Malaysia yang menggunakan perkhidmatan awam tersebut.

Pemberian tersebut merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat buat masa kini. Difahamkan, kos pengangkutan adalah faktor ketiga tertinggi selepas perumahan dan makanan.

Sumber: Malaysia Gazette

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penawaran diskaun hanya diberi kepada rakyat Malaysia bagi tujuan menambah jumlah penumpang pengangkutan awam kepada 120,000 orang hingga 130,000 orang sehari berbanding 94,000 orang pada masa kini.

Tambahan 20 Peratus Diskaun Pengguna Kad

Diskaun yang diberikan merupakan diskaun tambahan kepada penumpang yang menggunakan kaedah tanpa tunai seperti kad ATM, MYKad dan Touch ‘n Go yang sudah menerima diskaun tambang tiket sebanyak 20 peratus. Hal ini bermaksud, bagi mereka yang menggunakan kaedah tanpa tunai bakal menerima 40 peratus diskaun sepenuhnya, satu jumlah yang agak lumayan.

Sumber: Astro Awani

Manfaat Kepada 5 Jajaran

Inisiatif ini bakal memberi manfaat kepada penumpang KTM Komuter di lima jajaran utama. Di sekitar Lembah Klang pengguna akan menerima diskaun dari stesen Port Klang sehingga ke stesen Tanjung Malim dan dari stesen Seremban sehingga ke stesen Batu Caves.

Di sebelah selatan, pengguna akan menerima diskaun bermula dari stesen Sungai Gadut sehingga ke stesen Tampin. Manakala bagi sebelah utara, pengguna akan menerima diskaun bermula dari stesen Padang Rengas sehingga ke stesen Butterworth dan stesen Butterworth ke stesen Padang Besar.

Diteliti Setiap Tahun

Pun begitu, diskaun yang diberikan hanya untuk jangka masa satu tahun dan dasar ini akan diteliti semula bagi setiap tahun. Anthony menambah, sekiranya mendapat sambutan baik iaitu dapat meningkatkan bilangan pemnumpang, maka ia dapat mengurangkan jumlah subsidi kerajaan.

Sumber: Careta.My

Sebelum ini, pengguna kurang menggunakan perkhidmatan KTM Komuter disebabkan terdapat projek menaik taraf landasan kereta api yang telah menyebabkan kekerapan tren di stesen-stesen berkurang. Hal ini menyebabkan tempoh waktu menunggu menjadi dua kali lebih lama dan mengakibatkan ramai mengeluh.

Pengumuman ini merupakan inisiatif kedua yang dilakukan oleh pihak Kementerian Pengangkutan dalam usaha memperkasakan perkhidmatan awam selepas mewujudkan pas tanpa had RM50 dan RM100 khusus kepada rakyat Malaysia. Secara jelas, pihak Kementerian Pengangkutan sangat komited dalam usaha mengurangkan beban rakyat serta memperkasakan lagi pengangkutan awam.

Adalah diharapakan usaha kerajaan ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia bagi memastikan perkhidmatan awam menjadi pilihan utama rakyat di samping mengurangkan kesesakan lalu lintas. Pemberian diskaun ini dijangka akan mengurangkan hasil KTM sebanyak RM43 juta namun akan ditampung oleh Perbadanan Aset Kereta Api (RAC).

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah anda berpuas hati dengan pencapaian Kementerian Pengangkutan Setakat Ini?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN