Bagi manusia, bila ditanyakan tentang sistem kitaran hidup, ramai akan mentafsrikannya secara mudah. Lahir, dibesarkan, menjadi dewasa, bekerja, berkahwin, mendapatkan zuriat, membesarkan dan seterusnya bersara.

Tetapi apabila memasuki setiap kitaran, secara realiti tidak semua rasa ia suatu tugas yang mudah. Lebih-lebih lagi sekiranya kedua-dua pasangan iaitu suami dan isteri bekerja, sudah pasti cabarannya menjadi lebih besar.

Sumber: Sahat Simarmata

Cabaran Kehidupan 

Untuk kita di Malaysia pun, sudah merasai jerih-perit kehidupan ditambah dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Disebabkan sumber kewangan sendiri yang tidak stabil, ramai yang mengambil keputusan untuk berkahwin lewat. Kesannya, kadar kesuburan semakin berkurang.

Kalau dahulu setiap keluarga mampu memiliki 5 hingga 6 orang anak, hari ini untuk membesarkan satu orang anak sahaja mempunyai cabaran yang besar. Dengan peningkatan kos sara hidup melebihi kadar pendapatan maka ia menjadi satu cabaran untuk setiap keluarga memiliki anak yang ramai.

Bagi kita yang berada di Malaysia sudah merasai kesukaran, masakan pula bagi negara jiran kita iaitu Singapura. Dikhabarkan kadar kesuburan negara tersebut semakin merosot saban tahun. Faktor kekangan kewangan, usia, kerjaya dan gaya hidup telah membataskan kesuburan dalam kalangan warga Singapura.

Kadar Kelahiran Di Singapura Merosot Lapan Tahun Berturut-Turut

Berdasarkan laporan The Star, jumlah kelahiran di Singapura pada tahun 2018 adalah sebanyak 39,039 menurun 1.5 peratus berbanding tahun 2017. Pada masa yang sama, jumlah kematian pula meningkat 1.8 peratus daripada 20,905 pada 2017 kepada 21,282 orang pada tahun lalu.

Sumber: Ikyspp.nus

Bagi pakar Sosiologi Universiti Kebangsaan Singapura, Tan Ern Ser, trend ini sangat membimbangkan kerana kekurangan penduduk akan memberi kesan kepada berkurangnya kuasa beli pengguna seterusnya menguncupkan ekonomi negara.

Selain itu, sektor pekerjaan penting negara tersebut seperti bidang profesional, pengurusan, eksekutif dan juruteknik (PMET) akan terdiri daripada mereka yang semakin berusia. Memetik laporan bernama, perkara ini telah menjadi punca utama kekangan tenaga kerja.

Pekerjaan Sektor PMET Terjejas

Malah, dasar negara tersebut yang menyekat kemasukan tenaga kerja asing dalam jumlah yang banyak telah mengusutkan keadaan. Ini memandangkan bidang PMET menguasai lebih separuh tenaga kerja negara. Namun begitu, ia merupakan hak Singapura untuk memastikan keselamatan politik dan sosial negara mereka yang berpenduduk seramai 5 juta orang itu terus terpelihara.

Disebabkan situasi yang berlaku, beberapa pakar dari negara tersebut turut mencadangkan agar Kementerian Penuaan diwujudkan bagi mengatasi masalah yang berlaku. Perkara ini amat penting bagi memastikan situasi di negara republik dapat dikawal.

Bagaimana Kementerian Ini Bertindak?

Berdasarkan laporan Malaysia Gazette, Kementerian Penuaan yang ditubuhkan akan bekerjasama dengan Kementerian Tenaga Manusia dan Kementerian Pendidikan bagi membantu pihak berkuasa menyelesaikan cabaran yang dihadapi.

Faktor proses pendidikan yang tidak selari dengan permintaan pekerjaan di sektor industri menjadi punca. Disebabkan itu, kementerian baharu akan menubuhkan satu unit khas bagi menangani masalah penuaan dalam sektor pekerjaan.

Sumber: Casafasa

Sekiranya Kementeriaan Penuaan di Singapura berjaya direalisasi, mungkin ia akan menjadi model yang berguna untuk diteliti oleh negara kita. Tujuannya tetap sama, mengatasi masalah penuaan warganegara dan pasaran kerja yang terjejas.

Namun, sejauh mana negara kita akan mengalami situasi seperti di Singapura, tidak dapat dipastikan. Adakah kita bersedia ke arah negara berpenduduk warga tua?

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah situasi yang sama bakal berlaku di negara kita?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN