Baru-baru ini, satu klip video memaparkan kakitangan anak syarikat Pos Malaysia Berhad mencampak air zam-zam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan kasar mengundang kecaman netizen di media sosial dengan ada yang mendesak supaya tindakan dikenakan ke atas kakitangan tersebut.

Video berdurasi 12 saat yang tular sejak beberapa hari itu dilihat mengundang pelbagai kritikan netizen yang rata-ratanya menyifatkan bahawa tindakan mencampak air zam-zam milik jemaah umrah yang dilakukan kakitangan tersebut sebagai melampaui batas.

Sumber: mStar

Malah, ada juga netizen mengatakan walau penat macam mana pun tugas yang perlu dilakukan oleh kakitangan tersebut, beliau sama sekali tidak wajar untuk mencampak kesemua air zam zam yang berada di atas karusel bagasi itu tanpa rasa segan dan hormat.

Bagaimanapun, selepas video itu menjadi tular, Pos Malaysia akhirnya memberikan jawapan berkenaan video melibatkan kakitangan anak syarikatnya yang mana kakitangan tersebut telah digantung tugas menerusi laman rasmi Facebook mereka, semalam.

 

Campak Air Zam Zam Untuk Elak Kesesakan Di Bahagian Karusel Bagasi?

Sumber: The Star

Dalam perkara ini, mungkin perbuatan yang dilakukan kakitangan tersebut dikatakan agak kasar lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan barangan yang dibawa jemaah umrah dari tanah suci.

Namun, di sebalik kejadian ini, terdapat juga netizen yang memahami situasi itu memandangkan kerja-kerja memunggah barang hanya dilakukan oleh beberapa kakitangan sahaja untuk mengendalikan kesemua barangan yang terdapat di atas karusel bagasi terbabit.

Mana tidaknya, setiap kali keluar negara, bahagian karusel bagasi di setiap lapangan terbang pasti akan dipenuhi dengan pelbagai jenis barangan daripada penumpang hingga mengakibatkan kesesakan teruk di bahagian itu.

Jadi, berdasarkan apa yang berlaku dalam insiden itu, Pos Malaysia menjelaskan bahawa kakitangan tersebut terpaksa mencampak barangan air zam-zam bagi mempercepat proses muat turun kotak akibat kesesakan teruk di bahagian karusel bagasi berkenaan.

Sumber: SAYS Malaysia

Namun, ada segelintir netizen media sosial pula mengatakan bahawa tindakan yang dilakukan kakitangan tersebut sebenarnya boleh merosakkan karusel bagasi tersebut sekiranya air zam-zam itu ditindih dengan barangan lain.

Dalam insiden ini, bagi mengelakkan masalah teknikal berlaku di bahagian karusel bagasi tersebut dan kerosakan pada kesemua botol air zam-zam, kakitangan tersebut mengambil tindakan dengan mencampak (menjauhi) kotak air zam-zam dan diletakkan di lantai.

 

Insiden Turut Dapat Tumpuan PU Amin

Sumber: mStar

Susulan video yang tular itu, isu tersebut turut mendapat perhatian Pencetus Ummah (PU) Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim.

Malah, apa yang dilakukan oleh kakitangan itu tidak patut dipersalahkan kerana ia adalah kesalahan berkelompok yang juga melibatkan pengurusan syarikat pelancongan dan jemaah umrah yang terlibat.

Ketika kejadian, kakitangan itu hanya menjalankan tugasnya bagi mengelak kesesakan berlaku di bahagian karusel bagasi namun tindakannya itu telah mengundang padah apabila ia dilakukan di khalayak umum yang menyifatkan perlakuan itu sebagai menyalahi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Malah, PU Amin menegaskan bahawa pihak pengurusan syarikat pelancongan yang membawa jemaah umrah itu perlu tampil menjelaskan situasi sebenar.

Namun, pada masa yang sama, beliau juga tidak menafikan bahawa tindakan yang diperlakukan itu juga adalah satu kesalahan dari segi adab.

Katanya, walaupun tiada dalil yang menyatakan bahawa perbuatan mencampak air zam zam itu adalah haram tetapi jika dilihat dari segi adab, perbuatan tersebut adalah tidak wajar.

Walau bagaimanapun air zam-zam itu, kita tidak boleh sewenang-wenangnya mencampaknya ke bawah mahupun memijak kerana air tersebut datang dari tanah suci yang mana ia sama sekali berbeza dengan air-air yang lain.

KATA ORANG

KATA ANDA

Wajar atau tidak kakitangan anak syarikat Pos Malaysia Berhad ini digantung tugas atas perlakuan mencampak air zam-zam ke atas lantai?
3 votes · 3 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN