Tindakan kerajaan persekutuan menguatkuasakan penutupan pusat-pusat tahfiz yang beroperasi secara haram merupakan langkah yang tepat. Hal ini memandangkan kerap berlaku pengeksploitasian kanak-kanak tahfiz meminta derma beramai-ramai secara berleluasa.

Sumber: Harian Metro

Malah keselamatan dan kebajikan mereka tidak terjamin di samping menjejaskan institusi keagamaan Islam. Bagi pusat tahfiz yang berdaftar, masyarakat amat mengalu-alukan kewujudan mereka. Ketika ini, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi memantau pusat-pusat tahfiz yang beroperasi sekitar ibu kota.

Tertakluk Kepada Kerajaan Negeri

Sungguhpun begitu, penguatkuasaan ini tidak berlaku bagi negeri-negeri lain memandangkan setiap kerajaan negeri mempunyai kuasa tersendiri dalam menentukan hal ehwal agama Islam. Bagi negeri Selangor, Sultan Selangor telah menitahkan untuk memastikan hanya sekolah tahfiz yang berdaftar sahaja di negeri terbabit boleh beroperasi.

Sebenarnya, kes-kes penyalahgunaan nama pusat tahfiz bukan perkara baru, malah acap kali terjadi. Ditambah pula dengan sesetengah ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah tahfiz sebagai jalan terakhir mengawal tingkah laku anak-anak. Disebabkan itu, persepsi orang ramai terhadap sekolah tahfiz serta suasana institusi tersebut berbeza-beza.

Tidak Ramai Yang Berani Mempersoal

Namun, mungkin disebabkan faktor institusi tersebut yang dekat dengan ajaran islam (tidak semua), maka ramai yang tidak berani mempersoalkan keabsahan pusat tersebut beroperasi, kerana dikhuatiri mampu menimbulkan perbalahan dalam kalangan masyarakat.

Terbaru, satu pusat tahfiz di Sungai Petani, Kedah yang dinamakan Pusat Tahfiz Amal diarahkan ditutup setelah didapati tidak berdaftar dan melanggar peraturan. Antara kesalahan yang dicatatkan ialah tidak mempunyai sijil akuan sah Akta Pusat Penjagaan 1993 dengan menempatkan seramai 211 orang anak yatim miskin. Apa yang menghairankan, majoriti anak-anak tersebut masih mempunyai ibu bapa.

Sumber: Forum Lowyat

Tidak Belajar Disuruh Kutip Derma Jual Barang

Begitu juga dengan aktiviti pembelajaran. Kebanyakan daripada kanak-kanak tersebut tidak menerima pendidikan seperti yang diharapkan. Kebanyakan daripada mereka digunakan oleh pihak pengurusan dengan dihantar ke merata negeri bagi mendapatkan kutipan dana pusat tahfiz terbabit.

Maka timbul persoalan, sekolah jenis apakah yang menghantar pelajarnya menjadi jurujual? Sedangkan waktu tersebut merupakan waktu yang sepatutnya dikhususkan untuk tujuan pembelajaran. Anak-anak kecil yang lemah itulah dipaksa ‘berjihad’ membantu mengutip derma institusi berkenaan. Akhirnya, anak-anak ini tidak mendapat apa-apa manfaat selain bekerja untuk pihak tertentu. Hal ini sangat merisaukan memandangkan keselamatan dan kebajikan pelajar tersebut tidak terjamin.

Sering Tukar Nama

Berdasarkan laporan Berita Harian, pusat tahfiz tersebut sangat licik kerana sering bertukar premis dengan mendaftarkan nama baharu selepas tindakan diambil semenjak tahun 2014. Tindakan ini menyukarkan pihak kerajaan negeri membanteras kegiatan mengeksploitasi pelajar meminta derma sambil menjual produk tertentu.

Sumber: Says.com

Malah, pemilik pusat tahfiz tersebut hidup dalam kemewahan hasil jualan produknya oleh kanak-kanak tahfiz. Pendedahan ini merupakan suatu yang mengejutkan. Mungkin juga ramai yang tidak menyangka sisi gelap yang dilakukan oleh pihak pengurusan tahfiz.

Ini baru satu pusat tahfiz tidak berdaftar yang dibongkarkan. Masih terdapat banyak lagi kegiatan pusat tahfiz tidak berdaftar dibongkarkan. Hakikatnya, masyarakat kita masih terlalu menghormati institusi tahfiz tanpa ada rasa skeptikal sehingga tidak mampu membezakan kegiatan institusi tersebut sama ada berdaftar mahupun tidak.

Sumber: Youtube

Adalah diharapkan agar, tindakan tegas yang dilakukan oleh kerajaan terhadap pusat tahfiz tidak berdaftar tidak dilihat sebagai persepsi politik. Sudah tiba masanya tindakan tegas dilakukan bagi memastikan institusi melibatkan agama islam tidak terus tercemar.

KATA ORANG

KATA ANDA

Mengapa ada pihak skeptikal tentang arahan penutupan pusat tahfiz tidak berdaftar?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN