Isu sumbang mahram bukan lagi isu yang asing di kalangan masyarakat kita apabila saban hari kes-kes melibatkan sumbang mahram banyak dilaporkan media massa atau elektronik.

Sumbang mahram ialah perlakuan seksual yang melibatkan  ahli keluarga termasuk ibu bapa, datuk dan nenek, ibu saudara, bapa saudara, sepupu, keluarga angkat dan hubungan tiri, anak-anak yang sah atau tidak sah atau mana-mana ahli keluarga yang mempunyai pertalian darah.

Paling mengejutkan Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong telah mendedahkan dalam jawapan parlimennya bahawa  bilangan kes sumbang mahram yang dituduh di mahkamah tahun ini meningkat berbanding tahun lepas.

Beliau berkata sehingga Ogos, 57 kes direkodkan berbanding 21 kes sepanjang tahun lepas.

Menurutnya, 35 kes sumbang mahram tahun ini direkodkan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) berbanding tujuh tahun lepas.

Apa yang dapat dilihat kes sumbang mahram menjadi masalah serius di kalangan masyarakat kita.

 

Haruan Makan Anak

 Kes terbaru yang berlaku baru-baru ini di Terengganu apabila seorang ayah yang bekerja sebagai pemandu lori tergamak ‘memakan’ anak kandungnya sendiri yang juga seorang Orang Kurang Upaya(OKU) masalah pembelajaran.

Lelaki tersebut didakwa atas kesalahan merogol, melakukan seks luar tabii dan menghasilkan video pornografi anak kandungnya itu di rumahnya di Marang Terengganu tahun lalu.

Menurut laporan Berita Harian, lelaki tersebut mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Terengganu atas semua pertuduhan.

Ini yang dinamakan haruan makan anak. Apa yang dilakukannya tidak terlangkau dek akal dan bagaimana seorang bapa sanggup untuk melakukan perbuatan keji dan jijik seperti itu terhadap anaknya sendiri.

Sepatutnya, peranan golongan lelaki seperti ayah, abang, datuk dan seumpamanya adalah sebagai pelindung namun jelas dapat dilihat sekarang perkara itu semakin terhakis dan menunjukkan mereka tidak bertanggungjawab apabila tergamak menjadi perogol anggota keluarga sendiri.

Punca Sumbang Mahram

Secara wajarnya, perkara ini tidak seharusnya berlaku. Semua anggota masyarakat telah maklum bahawa ia adalah satu perbuatan yang haram dan amat dilarang oleh ajaran Islam.

Namun, apa yang lebih mengerikan ialah, ia banyak berlaku dalam kalangan orang Melayu yang beragama Islam. 

Terdapat pelbagai punca yang mendorong berlakunya gejala sumbang mahram ini. Antaranya  keimanan yang lemah dan gagal mengawal nafsu. Bahan lucah dan gagal menjaga aurat serta kesempatan yang terbuka mempunyai hubungan langsung dengan maksiat ini.

Selain itu, kejahilan terhadap hukum-hukum agama oleh ibu bapa. Terdapat kes di mana terdapat ibu yang membiarkan anak perempuan tidur bersama datuknya atau bapanya tanpa memahami di sana wujudnya hukum agama mengenai batas-batas pergaulan dan perhubungan walaupun antara sesama anggota keluarga.

Punca berikutnya tahap ekonomi keluarga yang rendah.Keadaan rumah yang sempit dan tidak mempunyai ruang bilik yang cukup akan mempengaruhi perhubungan adik-beradik yang berlainan jantina. 

Tidak semua keluarga mempunyai taraf kehidupan yang senang, kita sedia maklum bahawa di Malaysia terdapat sebilangan besar keluarga yang terpaksa hidup berhimpit di dalam sebuah rumah yang kecil dengan bilangan ahli keluarga yang ramai.

 Mereka tidak dapat mengasingkan anak-anak perempuan dan lelaki terutamanya apabila anak-anak mula mencapai peringkat akil baligh.

Cara Mengatasi Masalah Sumbang Mahram

Semua pihak perlu memainkan peranan dalam menangani kegiatan ini. Malah, Pendidikan seksual yang teratur sememangnya perlu kerana ia akan meningkatkan lagi kesedaran berkaitan fenomena dan tragedi serta trauma akibat daripada sumbang mahram.

Namun pendidikan dan pendedahannya tidak perlu terasing daripada ajaran keagamaan dan keimanan. Ia perlu didedahkan secara seiring agar dapat mewujudkan kestabilan dan keharmonian di antara pelbagai pendekatan yang diajukan.

Jenayah dan maksiat kronik ini dapat juga ditangani dengan mengukuhkan kembali institusi keluarga, menjaga sempadan pergaulan, meningkatkan kecaman masyarakat terhadap sumber lucah di media serta memupuk iman dalam kalangan setiap kaum masyarakat Islam.

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Mengapa perlakuan ini semakin berleluasa di kalangan masyarakat Malaysia?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN