Kegiatan jenayah seksual ke atas kanak-kanak yang sering dirujuk sebagai ‘pedofilia’ bagai tiada kesudahannya.

Yang terbaru, tular satu rakaman dari kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun menjadi mangsa serangan seksual seorang lelaki yang mencabulnya di sebuah kedai serbaneka di Bandar Country Homes, Gombak, sejak Rabu lalu.

Dalam video yang tular itu, lelaki berkenaan didapati mendekati mangsa dari arah belakang lalu memeluk kanak-kanak itu ketika dia sedang leka melihat barang di rak jualan.

Lelaki tidak diketahui identitinya itu kemudian kembali semula ke rak jualan terbabit dan melakukan perkara sama sebelum menggesel bahagian kemaluannya mendekati punggung mangsa.

Rakaman itu yang tular itu bagaimanapun telah mengundang kemarahan netizen di media sosial yang majoritinya menggesa polis memberkas serta menghukum suspek secepat mungkin.

 

Suspek Masih Diburu Polis

Difahamkan, individu yang mencabul kanak-kanak itu masih belum dikenal pasti namun usaha mengesannya masih giat dijalankan pihak polis sehingga ke hari ini.

Kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan juga sebatan jika sabit kesalahan.

 

Ibu Bapa Jangan Ambil Sikap Sambil Lewa

Jika yang dewasa juga boleh menjadi mangsa serangan seksual, inikan pula kanak-kanak yang masih kecil dan tidak mampu mempertahankan diri sendiri sehingga menyebabkan penjenayah berani mengambil kesempatan ke atas diri mereka.

Gambar sekadar hiasan

Walaupun anak mahu pergi ke kedai runcit sekalipun, ibu bapa perlu pastikan mereka ditemani orang dewasa bagi mengelak sebarang kejadian buruk berlaku.

Zaman sekarang ini, selain dijadikan mangsa serangan seksual, kanak-kanak perempuan terutamanya juga berisiko tinggi untuk menjadi sasaran penjenayah baik untuk diculik, dirogol, dibunuh dan diperdagangkan.

Lihat pada kes ini, biarpun hanya pergi ke kedai runcit bertemankan adik sekalipun masih boleh diganggu. Inikan pula pergi berseorangan.

Difahamkan, individu yang melakukan serangan pedofilia ini boleh dikaitkan dengan masalah mental yang mana mereka didorong dengan nafsu terhadap kanak-kanak yang berada dalam lingkungan umur antara enam hingga 15 tahun untuk dijadikan mangsa. 

Malah, bayi seawal usia sembilan juga boleh menjadi mangsa serangan pedofilia sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah pada organ dalaman dan meninggal dunia akibat dirogol.

 

Statistik Kes Pedofilia Di Malaysia

Sumber: SAYS.com

Mengikut statistik terbaru yang dikeluarkan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman, jumlah kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak meningkat sebanyak 20.3 peratus bagi tempoh enam bulan terakhir 2018 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Statistik itu juga mendapati sebanyak 326 kes dicatatkan pada Julai hingga Disember 2018 berbanding 271 kes dalam tempoh sama pada 2017 membabitkan peningkatan sebanyak 55 kes.

Statistik berkenaan adalah berdasarkan kes-kes yang disiasat di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang baru dikuatkuasakan pada Julai 2017.

 

Antara Kes-Kes Jenayah Seksual Melibatkan Kanak-Kanak

Disember 2018

Seorang bapa berusia 37 tahun merogol anak kandungnya berusia 10 tahun sejak tahun 2017 dalam kejadian di Taman Changkat Permata, Ampang.

November 2018

Bayi 11 bulan maut ketika mendapat rawatan di hospital selepas dirogol dan diliwat oleh suami pengasuhnya. Pemeriksaan doktor mendapati terdapat kesan koyakan baru pada tisu kemaluan dan dubur menyebabkan mangsa meninggal dunia selepas dua hari dilaporkan kritikal di Hospital Serdang. 

Mac 2018

Kejadian berlaku di Kuantan, Pahang yang mana perbuatan sumbang seorang lelaki yang sering menghulurkan derma kepada sebuah pusat tahfiz sejak tahun 2015 terbongkar apabila dia ditahan selepas didakwa melakukan penderaan seksual ke atas 21 pelajar institusi itu berusia 10 hingga 17 tahun dan enam daripadanya mengaku diliwat. 

Ogos 2017

Seorang lelaki warga emas, 72, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas tuduhan meliwat cucu saudara perempuannya di antara akhir Julai hingga awal Ogos lalu dalam kejadian di Ayer Keroh, Melaka. 

Ogos 2017

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun dirogol dan diliwat berulang kali oleh bapanya yang berusia 36 tahun sejak 2015. Jenayah itu turut dilakukan bapanya ketika bulan Ramadan. Lelaki itu berhadapan 594 pertuduhan di mahkamah dalam kejadian yang berlaku di Petaling Jaya. 

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa komen anda mengenai kes ini?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN