Selepas negara dikecohkan dengan isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD), satu lagi insiden terbaru turut dikaitkan dalam isu tersebut yang mana ada pihak dilihat cuba mengaitkannya dengan isu perkauman kaum di negara ini.
Kejadian yang berlaku di tapak Kuil Sri Mariamman di USJ 25 pada jam 2 pagi semalam menunjukkan puluhan individu daripada dua kumpulan berkumpul di kawasan tapak kuil yang berusia hampir 140 tahun sebelum tercetusnya pergaduhan besar.
Bagaimanapun, kejadian rusuhan yang berlaku di tapak kuil berkenaan juga telah menyebabkan 18 kenderaan dbakar, sebuah MPV polis dibaling batu, seorang warga asing cedera malah, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya cedera manakala jentera yang dinaiki turut dirosakkan kumpulan perusuh yang berhimpun di sekitar kuil tersebut.
Sehingga kini, difahamkan, 17 individu telah ditahan bagi membantu yang mana kesemua daripada mereka adalah lelaki tempatan dalam kalangan Melayu dan India yang turut sama cedera dalam pergaduhan berkenaan.
Apa Sebenarnya Punca Pergaduhan Di Kuil Sri Maha Mariamman
Selepas kejadian rusuhan itu kembali tenang, pasti ramai yang tertanya-tanya apakah punca sebenar pergaduhan tersebut hingga menyebabkan pelbagai tuduhan dikenakan terhadap orang luar (Melayu) yang dikatakan turut sama menyerang rusuhan terbabit.
Motif sebenar mereka sehingga kini masih belum diketahui lagi namun difahamkan kejadian rusuhan itu disebabkan salah faham penganut Hindu yang dikatakan mengingkari arahan mahkamah untuk memindahkan kuil tersebut.
Pada Jumaat lalu, penyerang Hindu dikatakan sudah mula melakukan bantahan di hadapan kuil berkenaan sebelum kejadian rusuhan berlaku secara besar-besaran semalam.
Ketika itu, difahamkan seramai lebih kurang 100 penganut agama Hindu berhimpun di hadapan kuil itu untuk membantah perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mengalihkan kuil tersebut ke lokasi lain.
Namun, semalam, kejadian rusuhan itu dilihat bertambah teruk hingga menyebabkan satu kumpulan menyerbu kawasan kuil pada awal pagi dengan bersenjatakan kayu, batang besi dan parang hingga menyebabkan ramai yang tercedera.
Penyerang daripada satu kumpulan itu juga dikatakan menahan beberapa individu sebagai tebusan, memukul mereka yang bersembahyang dan memusnahkan sebahagian kuil tersebut.
Sebelum ini, pada 11 Mac 2014, empat pihak yang terlibat dikatakan telah bersetuju untuk memindahkan kuil tersebut dan menyerahkan kembali tapak kuil dalam keadaan kosong kepada pemaju hartanah.
Empat pihak terbabit adalah kerajaan negeri, pemilik tapak kuil, One City Development Sdn Bhd (One City) serta dua individu yang mendakwa pentadbir kuil itu, K Chellappa dan M Nagaraju.
Bagaimanapun, pemaju terlibat, One City Development Sdn Bhd berkata pihaknya tidak terlibat dalam rusuhan tersebut dan menyifatkan tuduhan yang dikenakan terhadap mereka berniat jahat.
Mana tidaknya, dalam kejadian rusuhan tersebut, beberapa penganut Hindu menuduh pemaju dengan mengatakan mereka sengaja menghantar orang mereka untuk menyerang kuil itu.
Namun, sehingga kini dakwaan itu masih lagi tidak dapat dipastikan sama ada ianya benar atau tidak.
Rusuhan Tiada Kaitan Isu Perkauman
Walaupun bermacam-macam tuduhan dikenakan terhadap kaum Melayu yang dikatakan turut sama melakukan serangan dalam rusuhan terbabit yang dikaitkan dengan bantahan terhadap ICERD pada 8 Disember ini namun pihak polis mengesahkan perkara itu sebenarnya tiada kaitan dengan isu perkauman.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor juga turut mengesahkan insiden rusuhan yang berlaku itu tiada kaitan dengan masalah perkauman.
Malah, ia sebenarnya berpunca daripada isu pemindahan tanah yang sedang dihadapi oleh pihak kuil.
Dalam kejadian itu, pihak polis bagaimanapun sedang menjalankan pemantauan berterusan malah turut menasihat ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan provokasi atau hasutan yang dilihat boleh menimbulkan ketegangan kaum di negara ini.
Berdasarkan rusuhan itu, mungkin ada beberapa pihak menyalahkan beberapa parti politik yang pada mulanya dilihat menentang perobohan kuil tersebut semasa pentadbiran kerajaan yang lalu namun kini keputusan tersebut menunjukkkan motif sebaliknya.
Sehingga kini, tidak dapat dipastikan sama ada isu tersebut sengaja dipolitikkan pihak tertentu atau ada pihak menggunakan helah dengan mengirim penyerang ke kawasan kuil untuk mengelirukan pemindahan kuil.
Namun, kita tunggu sahaja keputusan siasatan oleh pihak polis dengan mendedahkan motif sebenar penyerang dan dalang disebalik kejadian rusuhan itu yang mana lagi berlarutan isu tersebut, ia mungkin boleh merebak menjadi isu berkauman di dalam negara ini.
KATA ORANG
Put those who break the law in jail. Tak kisah lah bangsa apa. Damaging public property and attacking officials on duty is unacceptable! https://t.co/3dxMvuK72U
— Babudinho (@NewBabooTimes) November 27, 2018
X kira Melayu ka apa ka. Kau buat salah lokap. Okey done
— . (@SriNLeeza) November 27, 2018
Saya sebagai warga subang amat malu dgn kejadian ini yg tidak terkawal
— Ed (@Wn_nial) November 27, 2018
Ni semua kerja individu yang merusuh kat Subang lanih. Boleh lah tangkap semua yang terlibat. AMAN sikit.
— zul (@ejul94) November 27, 2018