Ramai wargamaya melahirkan rasa kesal di atas tindakan seorang pekerja bazar malam mencuri durian Musang King di sebuah pasar raya sebulan lalu.

Sumber: Kosmo

Tindakan lelaki yang berusia 24 tahun itu memakan diri selepas dihukum penjara sehari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam.

Majistret Rini Triany Muhamad Ali menjatuhkan hukuman itu selepas Luqman Hakim Yusof mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Musang King RM400 Tak Mampu, Bayar Denda RM1000 Mampu Pula

Mengikut pertuduhan, tertuduh mencuri lima paket durian Musang King bernilai RM400 di sebuah pasar raya, Seksyen 13 pukul 6 petang pada 1 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sumber: olx.co.id

Ramai yang beranggapan tindakan lelaki berkenaan tidak berbaloi apabila dia diarahkan membayar RM1000 dan denda itu dilaporkan sudah pun dibayar oleh tertuduh.

Mereka mempersoalkan, sekiranya mempunyai duit untuk bayar denda, kenapa perlu mencuri? Apa motif sebenar lelaki itu?

Akibat tindakan yang tidak masuk akal itu, akhirnya dipenjara sehari atas kesalahan tersebut.

Tak Pasal-Pasal Ada Rekod Jenayah

Mereka yang ditangkap dan disabitkan kesalahan di mahkamah, rekod mereka akan dimasukkan ke dalam sistem mengikut Akta Pendaftaran Rekod Jenayah.

Sumber:Berita Harian

Tidak kira sama ada mereka pelajar, remaja mahupun orang dewasa, rekod ini akan disimpan dalam sistem rekod polis untuk tempoh 99 tahun.

Kesalahan mungkin kecil, namun kesannya untuk masa hadapan sangat gelap apabila rekod jenayah tersimpan dalam tempoh yang sangat lama.

Maka, mereka yang ingin melakukan jenayah sama ada berat atau tidak, perlulah fikirkan soal ini jika ingin mendapatkan pekerjaan yang baik di masa hadapan.

Antara Kes Curi Melibatkan Makanan

1) Curi Barangan Makanan Beku

Pada Januari 2019, dilaporkan seorang ibu kepada 3 anak dihukum penjara sehari dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana mencuri pelbagai jenis makanan dan barangan lain di sebuah pasar raya.

Majistret Noorasyikin Sahat menjatuhkan hukuman itu terhadap Eng Siu Khim, 42, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri antaranya minyak zaiton, makanan sejuk beku Otak-otak, Fish Fillet dan Crispy Chicken serta span pencuci pinggan bernilai semuanya RM145.37 daripada pasar raya Aeon, Mid Valley Megamall pada 2 petang, 18 Januari 2019.

2) Curi Makanan Segera

Pada 9 April 2019, dilaporkan dua sahabat yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Kuala Terengganu direman empat hari selepas dipercayai mencuri makanan bernilai RM38.80.

Lelaki berusia 19 dan 20 tahun itu ditahan selepas sisa makanan dan plastik bungkusan makanan milik pasar raya itu yang dicuri ditemui di pondok pengawal, 3.30 petang semalam.

Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek mencuri barang termasuk ayam goreng, piza segera, roti dan muffin coklat.

3) Curi Coklat

Pada 10 April 2019, seorang warga Indonesia dikenakan hukuman penjara sehari serta denda RM2,000 selepas mengaku bersalah mencuri empat kotak coklat di sebuah pasar raya di Subang Jaya.

Martina, 45, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya, selesai dibacakan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa telah mencuri dua kotak coklat jenama Mars dan Snikers bernilai RM274.80 di Pasar Raya Mydin USJ 1, Subang Jaya pada pukul 1.55 petang, 29 Mac 2019.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa komen anda?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN