Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 sebanyak RM100 akan diberi kepada individu di bawah kategori bujang pada hujung Mac ini.
Katanya lagi, bayaran yang dibuat kepada golongan bujang berdaftar dalam pangkalan data BSH 2018 akan memanfaatkan lebih tiga juta individu dan melibatkan peruntukan sebanyak RM300 juta.
Bagaimanapun, apa yang diumumkan itu dilihat begitu menghampakan kepada golongan bujang yang mana mereka mengharapkan kerajaan agar menaikkan kadar bantuan setara dengan apa yang diperoleh daripada kerajaan terdahulu.
Tidak kurang juga ada yang menyambut ‘sinis’ bantuan tersebut termasuk dari pihak pembangkang sendiri yang menyifatkan jumlah bayaran itu sebagai tidak munasabah.
Bayaran RM100 Hanya Permulaan, Tetapi Cukupkah Buat Golongan Bujang?
Bayaran RM100 yang diberi oleh kerajaan kini, bukanlah satu bayaran yang sudah dimuktamadkan.
Mungkin selepas ini, apabila keadaan ekonomi negara bertambah baik, jumlah bayaran tersebut mungkin akan dinaikkan kepada jumlah yang lebih munasabah.
Memang tidak dinafikan jumlah bayaran RM100 yang dibayar itu dilihat tidak mencukupi di saat rakyat kini terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi termasuk golongan bujang.
Jika dilihat jumlah RM100 ini mungkin hanya cukup untuk makan dan perbelanjaaan minyak serta tol yang akan habis dalam masa sehari sahaja.
Bagaimana pula dengan hari-hari berikutnya?
Dibandingkan dengan kerajaan terdahulu, golongan bujang berpendapatan rendah diberi RM450 menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), jumlah tersebut sekurang-kurangnya dapatlah melepasi duit minyak serta perbelanjaan lain untuk beberapa minggu.
Pun begitu, apa yang dilakukan kerajaan ketika ini, pasti ada sebabnya.
Walaupun jumlah bayaran ini hanyalah sebagai permulaan, mungkin selepas ini apabila kerajaan berjaya menambah lebihan pendapatannya, kadar tersebut mungkin akan dinaikkan kepada kadar yang lebih tinggi berbanding sebelumnya.
Kerajaan Akan Kaji Kadar Bantuan
Dalam hal ini, golongan bujang janganlah berasa kecewa memandangkan kadar bantuan BSH 2019 ini akan dikaji semula dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan.
Biarpun jumlah bayaran BSH 2019 ini dilihat ‘kecil’ namun ia jelas sekali membuktikan bahawa kerajaan memandang serius isu beban kos sara hidup rakyat yang mana semua pihak diberikan bantuan saksama termasuk golongan bujang.
Pun begitu, kita seharusnya bersyukur dengan apa yang telah diberikan oleh kerajaan ketika ini memandangkan mereka masih ‘baru’ untuk mengambil alih pentadbiran negara.
Apa yang penting sekarang ini, sekiranya lebihan pendapatan kerajaan mencukupi untuk menampung bantuan ini, kerajaan perlu mempertimbang untuk menaikkan kadar bantuan tersebut selaras dengan janji mereka untuk membela nasib rakyat sebagaimana yang mereka janjikan ketika menang dalam pilihan raya lalu.
KATA ORANG
Wow! Seratus! Boleh beli megi n telur utk 3bulan ni! Maklum la..org bujang xde tanggungan... Xyah bagi duit kat parent..xyah bayar sewa rumah..xyah bayar bil...gituu...
— ColdHeartLady (@Cik_Ayu_Ismail) February 19, 2019
Hahahahaahaa RM 100 je, sama standard dgn budak skolah je taraf org bujang hahahaaha
— Shukran Seman (@ShukranSeman) February 19, 2019
Bagi pulih dulu kewangan kerajaan & ekonomi negara sblum start bg bantuan tunai kpd rakyat. Jelaskan kpd rakyat knp certain bantuan terpaksa dihentikan dahulu. Jgn ikut sgt perangi kerajaan bn yg belanja melebihi pendapatan & menimbun hutang negara.
— Bro2FaceB (@Bro2Face) February 19, 2019
Rm100 je??? Rindu kerajaan barisan nasional yang menjaga kebajikan rakyat 🙁
— zoalisas (@zoalisas) February 19, 2019