Sejak beberapa hari ini, tular di media sosial mengenai dakwaan sistem perbankan dalam talian CIMB Bank Bhd (CIMB) digodam selepas beberapa pelanggan bank berkenaan dilaporkan kehilangan wang.

Malah, beberapa pengguna juga mendakwa wang mereka telah dicuri individu tidak bertanggungjawab yang mana akaun bank mereka boleh diakses walaupun kata laluan tersebut tidak tepat.

Sehingga ke hari ini, isu tersebut menjadi perbualan hangat netizen di media sosial selepas beberapa pengguna laman sosial berkongsi perkara itu di laman Facebook dan Twitter mereka beserta bukti transaksi berkenaan.

Hal tersebut telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan pengguna akaun CIMB sehingga ada yang mahu mengeluarkan wang mereka di dalam akaun buat sementara waktu.

 

CIMB Clicks Kekal Selamat Dan Terjamin

Sumber: Lowyat.net

Atas dakwaan yang tular tersebut, CIMB menegaskan sistem portal perbankan dalam taliannya, CIMBClicks, kekal selamat dan terjamin serta semua transaksi pelanggannya terus dilindungi. Mereka turut menafikan portal mereka telah digodam.

Ia susulan beberapa dakwaan yang tular di media sosial mengatakan sistem portal perbankan itu sebagai tidak selamat di mana ada pelanggan mendakwa akaun mereka boleh diakses walaupun memasukkan kata laluan yang tidak tepat atau salah.

Dalam kenyataannya semalam, CIMB berkata pada hujung minggu lalu, pihaknya memperkenalkan beberapa langkah tambahan untuk meningkatkan keselamatan transaksi CIMBClicks.

Katanya, selain memastikan sistem boleh menerima kata laluan lebih panjang daripada lapan aksara sehingga 20 aksara, pihaknya turut menambah langkah keselamatan reCaptcha ke atas CIMBClicks bagi memastikan pengguna itu bukan robot laman web.

 

Walau Hanya Satu Klik, Penggodam Boleh Curi Data Peribadi

Dengan kecanggihan teknologi dan capaian mudah alih yang ada pada masa kini, semua urusan melibatkan sistem perbankkan menjadi lebih mudah memandangkan urusan berkenaan boleh dilakukan di mana saja tanpa mengira masa.

Namun, wujud pihak tidak bertanggungjawab mencuri dan memindah wang orang lain melalui medium elektronik secara halus tanpa disedari mangsa.

Sebelum ini juga, berita mengenai akaun bank digodam mahupun sindiket scam juga banyak kali dilaporkan sehingga ada yang mengalami kerugian sehingga mencecah ribuan ringgit.

Dengan kecanggihan teknologi digital yang ada pada masa kini, adakah kita sedar walaupun sistem perbankan itu dilindungi namun ia tetap berisiko tinggi untuk digodam?

Sumber: Aku Pakar Blogger

Banyak cara sebenarnya yang digunapakai si penggodam untuk menceroboh masuk data peribadi dalam talian sama ada dengan penghantaran e-mel tertera arahan `klik di sini jika tidak dapat membaca mesej’ yang mengandungi pautan khusus.

Apabila pengguna tidak cakna akan pautan tersebut, mereka dengan mudahnya menekan pautan itu yang mana ia memberi lampu hijau kepada si penggodam untuk mengakses maklumat peribadi termasuk senarai kenalan mangsa, alamat e-mel dan data peribadi.

Mungkin ada yang beranggapan, dengan menyimpan maklumat sulit di dalam e-mel seperti nombor pengesahan peribadi (PIN) akaun bank dan nombor kad pengenalan, ianya adalah selamat.

Namun, sebenarnya tindakan itu boleh memakan diri sendiri dengan menjadi mangsa penipuan sindiket menerusi e-mel berkenaan.

 

Pengguna Dinasihat Tukar Kata Laluan Yang Kuat

Sumber: Haqem.my

Melihat kepada dakwaan yang tular ini, orang ramai dinasihat supaya berhati-hati apabila menggunakan sistem portal perbankan dalam talian dengan tidak mendedahkan maklumat peribadi termasuklah nombor TAC ketika mahu membuat transaksi dalam talian.

Bukan itu sahaja, penggunaan kata laluan yang ringkas dan lemah bagi mengakses perbankan dalam talian juga boleh menyebabkan pengguna terdedah kepada penjenayah siber dan berisiko menjadi mangsa kecurian wang dari akaun bank.

Sumber: amirazman.my

Bagi mereka yang menggunakan kata laluan mudah seperti ‘abc123’ atau kombinasi nama dan tarikh lahir, berisiko tinggi untuk menjadi mangsa si penggodam.

Dalam hal ini, bagi mengelak diri menjadi mangsa yang dipilih secara rawak oleh si penggodam, orang ramai dinasihat membina kata laluan yang kuat dengan menggabungkan aksara yang sukar yang tiada kaitan dengan maklumat peribadi.

Bagi pelanggan CIMBClicks mahupun yang menggunakan sistem perbankkan lain, anda digalakkan menjaga keselamatan sistem perbankkan anda dengan mengambil langkah berikut:

  • Ubah kata laluan anda dengan kerap.
  • Pastikan kata laluan anda memiliki 8 aksara atau lebih menggunakan gabungan huruf, nombor, dan aksara lain.
  • Jangan dedahkan kata laluan dan TAC anda kepada sesiapa.
  • Jangan gunakan ID pengguna Click anda sebagai kata laluan.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa kata anda?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN