Memilih kerjaya sebagai seorang guru bukanlah satu tanggungjawab yang mudah. Dengan cabaran mendidik di zaman serba mencabar ini ramai guru-guru yang rasa tertekan dalam menjalani kehidupan mereka sebagai seorang pendidik.

Ragam anak-anak yang pelbagai, dengan masalah sosial dikalangan pelajar yang semakin meningkat.

Belum lagi campur tangan ibu bapa yang menganggu tugas guru dan ‘over protective’ terhadap anak-anak mereka.

Malahan guru-guru seolah-olah semakin terbeban dengan tugas-tugas luar dari skop pekerjaan mereka.

Namun ramai yang masih seikhlas hati menjalankan tugas mereka walaupun ramai orang luar yang suka menghentam dan mengambil kesempatan.

‘ Guru ibarat lilin yang membakar diri’, begitulah perumpamaan yang mencerminkan betapa besarnya pengorbanan dan jasa seorang guru.

 

Kasih Guru Kepada Anak Murid

Terbaru, tular sebuah video dimana seorang guru sekolah pendidikan dilihat saling bersalaman dengan anak-anak murid istimewanya.

Setiap pelajar tanpa mengira bangsa dan agama dipeluk dan dicium dengan penuh kasih sayang. Malah ada pelajar yang dilihat mengalirkan air mata kerana tidak tahan sebak.

Rupanya, itu merupakan hari terakhir guru tersebut akan berada di sekolah berkenaan. Selepas 10 tahun berkhidmat di sekolah tersebut dan mendidik anak-anak istimewa ini dengan penuh kasih sayang dan kesabaran guru tersebut bakal dipindahkan ke sebuah sekolah di Kelantan.

“ Andai kata masa hari hisab saya di padang masyar nanti berat keburukan saya lebih dari kebaikan, saya harap awak-awak semua dapat memberatkan timbangan kebaikan saya, bantulah saya di sana nanti,tariklah saya bersama ke syurga dengan kamu semua’, kata Cikgu Mohd Khairul kepada pelajarnya.

 

Satu Dalam Sejuta

Penularan video tersebut berjaya menyentuh hati ramai netizen dan menganggap guru tersebut ibarat malaikat yang dihantar untuk mendidik anak-anak syurga ini.

Bukan semua guru-guru sanggup mengalas tanggungjawab sebagai guru pendidikan khas, dan ianya tidak dinafikan tugas yang sangat mencabar.

Seseorang yang betul-betul ikhlas dan tinggi kesabaran sahaja yang mampu untuk berinteraksi dengan baik dengan pelajar-pelajar ini.

Malah teknik pembelajaran dan komunikasi untuk anak-anak istimewa ini juga tidak sama seperti pelajar-pelajar lain.

Menurut perkongsian dari rakan guru tersebut yang juga indvidu yang merakam kejadian ini, Cikgu Khairul bukan sahaja guru malah sudah menjadi seperti seorang ayah kepada anak-anak muridnya.

Beliaulah yang banyak mengajar anak-anak istimewa ini untuk berdikari dan meguruskan kehidupan seharian mereka.

Kemahiran seperti penternakan, pertanian dan memasak diajar kepada anak-anak murid sehinggakan ada yang mampu untuk bekerja secara berdikari kerana ilmu yang diajar oleh guru hebat ini.

Ibu bapa anak-anak muridnya juga sangat menyayangi dan menghargai setiap jasa dan didikan yang Cikgu Khairul telah berikan kepada anak-anak mereka dan turut terasa dengan pemindahan Cikgu Khairul ke sekolah lain.

 

Bukan Semua Mampu Melayan Mereka

Menguruskan anak-anak istimewa bukanlah satu tugas yang mudah. Dan pastinya ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa ini sungguh besar darjat mereka disisi Allah kerana menjaga dan membesarkan anak syurga.

Dan dalam masa yang sama, orang sekeliling juga perlu memainkan peranan dengan sentiasa menyokong dan menghulurkan bantuan jika diperlukan.

Malangnya, ramai individu yang suka memandang buruk kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa sehingga ramai yang tidak mahu dan malu untuk mendedahkan anak-anak mereka kepada umum.

Stigma dan diskriminasi masyarakat di Malaysia juga sudah cukup menunjukkan betapa teruknya mentaliti sesetengah rakyat kita.

Semoga ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa ini sentiasa bersabar dalam membesarkan anak-anak mereka dan guru-guru yang ditugaskan untuk mendidik anak-anak ini ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab mereka agar dapat melahirkan anak-anak istimewa yang hebat dan boleh berbakti kepada negara di masa hadapan.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa komen anda mengenai isu ini?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN