Teka teki berhubung spekulasi mengenai persaraan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei akhirnya terjawab apabila beliau mengumumkan persaraan selepas 19 tahun berjuang dan membanggakan nama Malaysia di persada dunia, semalam.

Pengumuman persaraan itu sama sekali mengundang sebak seluruh rakyat Malaysia memandangkan kita kehilangan seorang lagenda negara yang boleh diharapkan.

Walaupun berat hati untuk menerima keputusan tersebut, namun pengguna media sosial tidak putus-putus memberi ucapan terima kasih pada beliau yang sentiasa berjuang hingga ke keringat terakhir pada setiap kejohanan yang disertai.

Malah, beberapa ahli politik serta selebriti juga tidak melepaskan peluang untuk menzahirkan rasa bangga terhadap usaha yang dipamerkan jaguh badminton negara ini sehingga mengharumkan nama Malaysia.

 

Faktor Kesihatan Punca Chong Wei Bersara

Untuk pengetahuan anda, Datuk Lee Chong Wei mengambil keputusan untuk bersara atas faktor kesihatan yang dihadapinya sebelum ini.

Menurutnya, keputusan itu diambil selepas beliau berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Sumber: CariGold

Selepas Chong Wei disahkan menghidap kanser hidung peringkat awal sejak tahun lalu, memang ada kemungkinan beliau terpaksa ‘menggantung raket’ kerana masalah kesihatan yang dihidapinya itu sebenarnya serius.

Walaupun mengikut perancangan beliau mahu bersara selepas sukan Olimpik di Tokyo pada tahun depan, namun tidak dapat dilakukan disebabkan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan ditambah pula dengan faktor usianya yang semakin lanjut.

Sebelum ini, Chong Wei juga difahamkan sudah tidak menjalani latihan sejak mengambil cuti pada penghujung April lalu bagi menjalani pemeriksaan susulan di Taiwan bagi mencegah kanser tersebut daripada menyerangnya kembali.

Disebabkan masalah kesihatan yang dihidapinya itu juga pernah menyebabkannya menarik diri daripada Kejohanan Dunia di Nanjing serta Sukan Asia Jakarta-Palembang tahun lalu.

 

Siapa Yang Akan Gantikan Chong Wei?

Apabila Chong Wei membuat keputusan untuk bersara, mungkin ramai bimbang siapakah yang bakal menggantikan tempatnya selepas ini?

Sumber: The Vocket

Meskipun agak sukar untuk mendapatkan pelapis bagi menggantikan Chong Wei, namun negara kita masih mempunyai pemain badminton terbaik yang sama sekali boleh menggantikan tempatnya sekiranya diberi banyak pendedahan.

Ketika ini, barisan pelapis seperti Lee Zii Jia (ranking-45), Soong Joo Ven (ranking-59) dan Leong Jun Hao (ranking-77) antara pemain generasi baru yang dilihat berbakat besar meskipun jurang kedudukan mereka agak jauh jika dibandingkan dengan Chong Wei yang menduduki ranking tangga ketujuh dunia setakat tahun lalu.

Walaupun ranking mereka agak jauh, namun negara tetap optimis dengan atlet-atlet pelapis negara dan yakin pasukan badminton Malaysia mampu bangkit dan membuktikan kepada dunia bahawa negara kita masih lagi mempunyai pasukan yang bagus untuk menjadi pelapis Chong Wei.

 

Pelapis Muda Perlu Bangkit!

Setelah 19 tahun mengharumkan nama negara, banyak sebenarnya pencapaian besar yang diraih Chong Wei.

Antara yang paling diingati adalah kejayaan beliau yang memperoleh pingat perak temasya Olimpik bermula di Beijing 2008, diikuti London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Sumber: The Borneo Post

Selain itu, beliau juga tiga kali muncul naib juara dunia bermula edisi 2011 di London, 2013 di Guangzhou dan 2015 di Jakarta.

Biarpun Chong Wei sudah bersara, namun ianya bukanlah dijadikan alasan untuk tidak melahirkan jaguh sukan bertaraf dunia.

Kejayaan yang diraih Chong Wei selama ini wajar dicontohi oleh semua atlet muda untuk bersama-sama melakar dan menggegarkan sukan badminton negara di mata dunia sama seperti yang telah dilakukan oleh beliau.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah pasukan negara mampu melahirkan jaguh badminton seperti Datuk Lee Chong Wei?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN