Baru-baru ini, Amerika Syarikat (AS) telah mendakwa pemerintah Kemboja membenarkan China menggunakan salah sebuah pangkalan tentera lautnya secara ekslusif melalui satu perjanjian sulit.

Memetik laporan airtimes.my, perjanjian tersebut dikatakan akan memberikan kemudahan kepada China untuk menggunakan fasiliti pangkalan selama 30 tahun dan akan diperbaharui setiap 10 tahun.

Kebimbangan itu disuarakan oleh jurucakap Kedutaan AS di Phnom Penh, Emily Zeeberg. Malah, kemudahan tersebut dikatakan mampu membolehkan China mendapatkan akses yang lebih dekat di kawasan perairan Laut China Selatan.

Sumber: Islamic Voice

Bagi pemerintah Kemboja, mereka tidak melatah dengan dakwaan itu dengan menjelaskan bahawa segala bentuk pembinaan kawasan ketenteraan adalah bertentangan dengan perlembagaan Kemboja. Perkara ini pernah disuarakan oleh Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen pada Disember 2018.

Berdasarkan laporan Utusan Malaysia, dengan nada yang lebih tegas Hun Sen berkata, Kemboja tidak memerlukan orang asing untuk berperang di wilayah Kemboja dan Kemboja tidak membenarkan wilayah mereka menjadi tempat untuk eksperimen ideologi atau senjata.

Apa Yang Menyebabkan AS Risau?

China merupakan negara pelabur tertinggi di Kemboja dengan pelaburan berjumlah USD3.6 bilion (RM14.9 bilion). Projek pembinaan lapangan terbang di Dara Sakor oleh syarikat swasta China dilihat seakan terdapat cubaan untuk menempatkan pangkalan tentera di kawasan tersebut.

Kebimbangan ini ditambah lagi dengan projek yang dibangunkan oleh Kumpulan Pembangunan Kesatuan Tianjin (UDG) China, yang telah memajak kawasan tanah seluas 45,000 hektar selama 99 tahun bermula pada tahun 2008. Malah, China turut menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan melabur ke Kemboja bagi memanfaatkan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA).

Buktinya, sebuah lagi pelabuhan telah dibina. Sawac, sebuah syarikat swasta dari negara China berkata, pelabuhan yang sedang dibina itu mampu mengendalikan sehingga empat kapal kontena seberat 20,000 tan.

Bukan Kemboja sahaja yang menjadi kawasan pelaburan yang didambakan China. Boleh dikatakan banyak lagi negara penting di Asia Tenggara menjadi tapak pelaburan. Antaranya Indonesia, Laos, Thailand dan Malaysia.

Lihat sahaja lambakan projek mega negara yang mempunyai kerjasama dengan syarikat swasta China seperti pembangunan Bandar Malaysia, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan sebagainya.

Sumber: Twitter Ian 56

Adakah China Tidak Mempunyai Agenda?

Sebenarnya, China juga mempunyai matlamat dan bercita-cita untuk menguasai laluan Laut China Selatan. Ini dilakukan bagi memastikan konsep One Belt One Road (OBOR) berjaya. Memetik laporan Asia Times, Beijing telah melobi Kemboja sejak tahun 2017 untuk membina pangkalan tentera laut.

Inisiatif OBOR, telah direncanakan oleh pemerintah China pada tahun 2013 sebelum dirasmikan pada 1 Februari 2015. Ia merupakan strategi pembangunan global yang melibatkan 152 buah negara merangkumi Asia, Timur Tengah, Afrika dan Amerika. Fokus OBOR adalah pembangunan yang melibatkan infrastruktur dan pelabuhan yang akan menguntungkan China.

Ketenteraan Bukan Perkara Yang Perlu Dikhuatirkan AS

Persoalannya bukan soal penempatan pangkalan tentera yang perlu dirunsingkan oleh AS. Namun begitu, terma-terma perjanjian yang dilakukan oleh China terhadap negara yang dilabur. Ini memandangkan sudah banyak perjanjian pelaburan memberi keuntungan kepada China dengan kadar pinjaman yang agak panjang dan tinggi.

Sumber: World Today

Tergadainya pelabuhan di Sri Lanka, Lapangan Terbang di sebuah negara Afrika dan pelbagai lagi membuktikan bahawa, China tidak perlu meletakkan anggota tentera dalam usaha mengukuhkan penguasaan mereka. Cukup sekadar melalui perjanjian. Penjajahan ekonomi alaf baru inilah yang perlu dikhuatirkan oleh AS berbanding berbicara soal ketenteraan.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, adakah China mampu merealisasikan agenda OBOR untuk penguasaan ekonomi mereka?
3 votes · 3 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN