Penurunan harga sawit yang sangat drastik ketika ini serta harga pasaran getah yang tidak berbaloi telah menyebabkan masyarakat luar bandar semakin terhimpit dengan ekonomi semasa. Ditambah dengan harga barangan yang semakin meningkat saban tahun.

Sumber: Myagri

Tanaman Sampingan Yang Lumayan

Ada juga yang beranggapan, tidak berbaloi buat masa ini mengerjakan kebun dan ladang memandangkan hasil yang tidak lumayan. Tetapi, tidak ramai yang mengetahui, terdapat tanaman sampingan yang boleh diusahakan oleh pekebun yang mampu memberikan pulangan lumayan. Cendawan jerami, merupakan cendawan yang sering mendapat permintaan di pasaran.

Perkara ini telah dibuktikan oleh Penolong Pengurus Rancangan FELDA Lui Timur, Eddy Rozaimi Fadirallah. Berdasarkan laporan Berita Harian, beliau telah mengusahakan tanaman tersebut sejak Disember tahun lalu secara percubaan, namun berjaya mengutip hasil sehingga kini sebanyak 40 kilogram dengan jualan hasil sekilogram sebanyak RM20.

Ada Yang Memandang Sinis

Pada awalnya, ramai yang menyangka aktiviti yang dilakukannya itu sebagai suatu yang gila, tetapi beliau telah membuktikan sebaliknya. Usaha ini dilakukan setelah melihat bapa saudaranya mengusahakan tanaman tersebut di Tasik Pedu.

Tanaman cendawan jerami atau nama saintifiknya volvariela volvace bukan sesuatu yang baru, malah sudah lama diusahakan di Kedah sejak tahun 2014. Pegawai Pertanian Daerah Padang Terap, Kedah, Mohamad Yuzaidi Azmi berkata, usaha itu dilakukan oleh pihak pertanian daerah bagi menambah sumber pendapatan pekebun kecil di Padang Terap memandangkan penurunan harga getah yang sangat ketara. Hari ini, perusahaan tanaman tersebut sudah mula meluas.

Sumber: Utusan

Sangat Mudah Diusahakan

Penanaman cendawan ini sangat mudah dan ringkas kerana petani tidak perlu kos yang tinggi selain proses pengurusan yang lebih mudah berbanding cendawan jenis lain. Cendawan ini mudah tumbuh di medium yang mempunyai sumber selulosa seperti jerami padi, sisa hampas sawit, sisa sagu, sisa kulit buah pala, sisa biji kopi, sisa kapas dan sisa kertas. Namun, kebanyakan orang lebih suka menggunakan sisa hampas sawit sebagai medium utama.

Menariknya, cendawan ini sangat mudah tumbuh dalam beberapa hari tanpa perlu menggunakan sebarang baja mahupun racun serangga. Setiap batas mampu menghasilkan dua kilogram cendawan sehari. Sekiranya pekebun mampu menyediakan 20 batas tandan sawit dijangka pekebun mampu menjana pendapatan sehingga RM2,700 sebulan memandangkan permintaan tinggi pada masa kini.

Manfaat Cendawan Jerami

Cendawan jerami dipercayai banyak manfaatnya antaranya mampu mencegah penyakit diabetis, kurang darah, bebas karbohidratserta mempunyai kesan anti kolestrol kepada yang mengamalkannya.

Cendawan ini dipercayai mampu menjadi penawar racun dan banyak mengandungi antibiotik yang berguna untuk pencegahan anemia.

Selain itu, ia turut mempunyai kandungan vitamin dan mineral yang tinggi.

Halangan

Sungguhpun begitu, tetap wujud kekangan kepada yang ingin mengusahakannya terutama bagi kawasan yang kerap berlaku banjir dan banjir kilat kerana mampu menenggelamkan kesemua batas cendawan sehingga musnah.

Sumber: Aimrun.blogspot

Selain ditanam di atas tanah, terdapat kaedah lain yang boleh dilakukan seperti menggunakan rak yang diletak di dalam bangsal bagi pembiakan benih cendawan.

Keenakan Rasanya

Bagi penggemar cendawan, cendawan jerami sangat sedap dimakan dalam bentuk telur. Ia boleh dimasukkan dalam pelbagai jenis masakan. Rasanya seperti bebola ikan tetapi mempunyai tekstur yang lebih pejal dan padat serta lebih manis.

Sudah tiba masanya, bagi pekebun-pekebun kecil di kawasan luar bandar didedahkan dengan tanaman cendawan ini kerana mampu menjana pendapatan lumayan secara sampingan selain menjadi tanaman integrasi.  

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa pandangan anda mengenai isu ini?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN