Hasrat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mewujudkan kampus cawangan universiti Jepun di Malaysia akhirnya berjaya direalisasikan melalui kata sepakat bersama Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dalam sesi lawatan kerja rasmi ke negara itu.
Melihat kepada apa yang dizahirkan oleh Dr Mahathir, beliau ternyata komited untuk terus laksanakan Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkannya sejak tahun 1982 semasa menjadi Perdana Menteri Keempat.
Cadangan untuk menubuhkan cawangan Universiti Jepun bukanlah satu cadangan baru malah sebelum ini juga Malaysia-Jepun pernah menyuarakan hasrat yang sama seiring dengan dasar tersebut yang dilihat mampu mengukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara di samping mendorong Malaysia untuk menjadi maju seperti negara Jepun.
Malah, apa yang disuarakan oleh Dr Mahathir dilihat mendapat sambutan positif netizen di media sosial yang rata-ratanya bersetuju dengan penubuhan universiti tersebut yang dilihat mampu memberi impak positif dalam sistem pendidikan negara serta perkongsian pemindahan teknologi.
Apa itu Dasar Pandang ke Timur?
Dasar Pandang ke Timur yang diumumkan Dr Mahathir sejak menjadi Perdana Menteri keempat merupakan satu dasar untuk mencontohi negara-negara Timur yang sedang pesat membangun seperti negara Jepun dan Korea Selatan.
Sebut sahaja negara matahari terbit itu, seluruh masyarakat dunia pasti tidak akan berhenti memuji negara tersebut yang kaya dengan budaya serta nilai-nilai positif hingga menjadikan negara tersebut maju berbanding negara yang lain.
Dahulu, selepas Dr Mahathir tidak lagi menjadi Perdana Menteri, kerajaan terdahulu dilihat tidak meneruskan dasar tersebut kerana mereka lebih mementingkan hubungan dua hala bersama negara China, tetapi kini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited meneruskan dasar tersebut yang dilihat mampu menjadikan Malaysia sama hebat seperti negara Jepun.
Jadi, tidak mustahil suatu hari nanti, Malaysia mampu mencapai kemajuan tersebut melalui sistem pendidikan kerana pastinya pelajar-pelajar Malaysia akan mencontohi dan menerapkan nilai-nilai murni yang diamalkan masyarakat Jepun di samping mempelajari budaya mereka.
Cawangan Universiti Jepun Mampu Mantapkan Sistem Pendidikan
Menerusi hasil perbincangan dua hala Malaysia-Jepun, dua buah universiti cawangan Jepun akan ditubuhkan di Malaysia yang mana operasi Nippon Designers School dijangka bermula tahun depan manakala University of Tsukuba pula dijangka memulakan operasinya pada tahun 2020 jika semua perancangan berjalan lancar.
Bagi pelajar yang bercita-cita tinggi untuk melanjutkan pengajian di luar negara, hasrat yang disampaikan kerajaan itu pastinya memberi lampu hijau kepada mereka untuk menyambung pengajian di universiti cawangan Jepun tanpa perlu keluar negara.
Bila dilihat semula penubuhan operasi cawangan itu, banyak sebenarnya kebaikan yang bakal diperoleh pelajar itu sendiri di mana mereka boleh mempelajari budaya masyarakat Jepun untuk melahirkan generasi yang mempunyai karakter yang baik.
Apabila Dasar Pandang ke Timur pertama kali digubal pada era 80-an, ia bukan setakat untuk menarik pelaburan dari Jepun atau pergi belajar ke negara matahari terbit itu.
Namun, ia lebih kepada usaha mempelajari sistem pengurusan dan organisasi Jepun yang boleh meningkatkan produktiviti serta menyumbang semula kearah kemajuan negara Malaysia.
Melalui kerjasama sistem pendidikan bermula dari peringkat tadika hingga ke peringkat pendidikan tinggi, selepas ini kerajaan pastinya boleh membentuk tenaga pekerja berkualiti dalam usaha memulihkan negara untuk lebih maju setanding dengan negara maju di Barat.
Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia, kita harus bersiap sedia untuk menerima perubahan ini kerana yang pastinya perubahan yang dibawa ini akan memberi kesan positif yang mendorong rakyat Malaysia untuk memajukan negara.
KATA ORANG
Satu cadangan yang sangat baik. Sekiranya sistem Pendidikan Jepun menjadi rujukan atau panduan untuk sistem Pendidikan Malaysia. Diharapkan Elemen Agama turut diterapkan dengan lebih mendalam. Kita bukan sahaja ingin anak2 berjaya didunia sahaja tetapi di akhirat juga.
— Kakitweet (@fazeerul) November 6, 2018
@chedetofficial @maszlee good approach but just don't make our education exam-based. Otherwise next generations are going to be just hardworking machines with high rate of karoshi (death from overwork) and jisatsu (suicide)
— Sharifah Shahirah (@shshahirah93) November 6, 2018
Betul. Mazlee perlu mula kan secepat mngkin... jika mahu maju... jepun amalkan prinsip yg baik...
— Azlan Isa (@IsaAzlan) November 6, 2018
Dengan melihat kemampuan Jepun dan sikap yang penuh adab dan berdisiplin majoriti masyarakat Jepun, saya fikir memang sistem pendidikan Jepun adalah model terbaik untuk kita pelajari dan diteladani demi masa depan negara ini.
— Ed Dev (@EdDev95) November 7, 2018
Sdra Maszlee harapan saya sebagai rakyat biasa minta kurikulum awal pendidikan kanak2 smpi pengajian tinggi beratkan budi pekerti..ambillah contoh pendidikan Jepun. Mereka berjaya mendidik bangsanya sendiri..Jepun menjadi ikon dunia terbaik darisegi kebersihan, etikakerja dll.
— Sya'[email protected] (@Sariat19) November 6, 2018