Dalam sesebuah perkahwinan, setiap orang pasti mengimpikan untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga hingga ke akhir hayat.
Tiada siapa pun yang mahukan mahligai yang dibina bertahun-tahun runtuh sebegitu sahaja hanya disebabkan perkara remeh.
Tetapi kadangkala, perceraian mungkin merupakan penyelesaian terbaik buat pasangan tersebut sekiranya sudah tidak ada persefahaman lagi dan hubungan tersebut membawa kemudaratan.
Dengan kadar perceraian yang semakin meningkat saban tahun, adalah penting untuk setiap pasangan yang sudah berkahwin untuk mengetahui kos dan caj yang bakal dikenakan oleh peguam Syarie.
Caj Rundingan Perceraian Tidak Munasabah
Memang tidak dinafikan, apa sahaja kes yang memerlukan khidmat serta rundingan dari pihak peguam, seseorang itu perlu dikenakan caj.
Sehinggakan timbul banyak aduan mengenai yuran guaman yang didakwa membebankan dan tidak munasabah buat setiap pasangan yang mahu bercerai.
Disebabkan itu banyak yang mengatakan bahawa kos perceraian di Malaysia ini lebih tinggi berbanding kos untuk melangsungkan perkahwinan.
Mana tidaknya, sekiranya bercerai, kos untuk membuka fail tuntutan juga memerlukan bayaran yang tinggi menyebabkan ramai yang mengeluh terhadap caj yang dikenakan oleh setiap firma guaman di dalam negara.
Perkara tersebut memang tidak dapat dinafikan lagi memandangkan tiada garis panduan yang ditetapkan kepada firma guaman mengenai kadar yuran guaman yang dikenakan bagi kes syarie.
Disebabkan bayaran guaman tinggi itulah, ramai wanita yang diceraikan di luar sana membuat keputusan untuk tidak mendapatkan khidmat profesional dari peguam.
Anggaran Kos Perceraian Di Malaysia
Bagi pasangan Islam, sekiranya berlaku perceraian tanpa persetujuan bersama, kedua-dua pasangan tersebut sememangnya perlu mendapatkan khidmat rundingan daripada peguam syarie.
Bagi kes yang melibatkan perceraian, terdapat dua faktor yang perlu diambil kira oleh peguam untuk menentukan kos perceraian iaitu kos mahkamah dan juga kos yuran guaman.
Untuk kos mahkamah, pasangan yang mahu bercerai perlu mengemukakan permohonan atau petisyen perceraian terlebih dahulu sebelum proses perceraian diteruskan.
Berikut merupakan caj bayaran yang dikenakan bagi kos mahkamah:
- RM 160.00 – Pemfailan Petisyen Perceraian (Petisyen Persendirian atau Petisyen Bersama)
- RM 16.00 – Pemfailan Penyata mengenai Persetujuan bagi Anak-anak (Petisyen Persendirian atau Petisyen Bersama)
- RM 16.00 – Pemfailan Afidavit Menyokong Petisyen (Petisyen Persendirian atau Petisyen Bersama)
- RM 6.00 – Untuk setiap dokumen merujuk kepada afidavit, pernyataan, atau petisyen dan perlu ditanda.
Lain pula bagi kos yuran guaman, caj akan dikenakan pada kadar tinggi sekiranya kes perceraian tersebut rumit seperti isu tidak bersetuju dengan pembahagian aset, sama ada nafkah kewangan diperlukan atau tidak, dan juga hak penjagaan anak.
Bukan itu saja, caj bayaran guaman yang tinggi juga bergantung kepada pangkat dan juga pengalaman seseorang peguam juga.
- Bagi kes perceraian yang dipertikai, ia biasanya mengambil tempoh minima setahun, dengan kos sekurang-kurangnya RM 5,000 dan boleh mencecah RM 50,000 atau lebih.
- Bagi kes perceraian dipersetujui bersama, kes kebiasaanya akan mengambil tempoh 3 hingga 6 bulan yang boleh mencecah kos antara RM 3,000 – RM 6,000.
Besar bukan jumlah caj bayaran tersebut?
Oleh itu, walau macam mana banyak dugaan serta cabaran di alam rumah tangga, setiap pasangan perlu mempertimbangkan sebaik mungkin keputusan untuk bercerai yang mana kosnya mencecah hingga ribuan ringgit.
KATA ORANG
Puak2 lawyer syariah ni ke? Hurmmm
— Bawang Holland (@phantomofopera6) January 28, 2019