Dalam perkembangan terbaru, Kementerian Sumber Manusia mencadangkan majikan yang menggaji pekerja asing membuat pemotongan 20% daripada gaji asas bulanan pekerja masing-masing.

Sumber: RoketKini

Menterinya, M Kula Segaran berkata wang gaji pekerja asing yang dipotong akan disimpan di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebelum diserahkan kepada pekerja terbabit ketika mahu pulang ke negara asal selepas tempoh permit kerja mereka berakhir.

Kula berkata saranan itu antara lain bertujuan menghalang pekerja asing melarikan diri dan majikan tidak berdepan kerugian ke atas pelaburan untuk membawa masuk pekerja berkenaan.

 

Simpan Gaji Pekerja Juga Diamalkan Negara Maju

Sumber: koreabizwire.com

Dalam pada itu, Kula berkata cadangan itu bukan sesuatu yang baharu kepada industri kerana hal tersebut telah dilaksanakan di Jepun dan Korea Selatan dan ia berjaya dalam menangani isu pekerja asing melarikan diri.

Jadi ada baik dan buruknya melaksanakan cadangan tersebut, malah aliran wang keluar dari Malaysia pun akan berkurangan, kerana simpanan itu mengekalkan pulangan kepada Malaysia.

 

Potongan 20% Gaji, Tidak Mahu Pekerja Asing Lari

Sumber: Astro Awani

Isu pekerja asing melarikan diri merupakan antara bebanan besar yang dihadapi majikan dan cadangan itu dilihat relevan dalam menangani situasi tersebut.

Cadangan itu akan menjadi situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak.

Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan pekerja asing mempunyai sesuatu untuk dibawa pulang selepas mereka menyelesaikan kerja kontrak di sini.

Bagaimanapun, Jawatankuasa teknikal di Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) sedang mengkaji idea ini secara holistik dan sama ada ia boleh diluluskan atau sebaliknya.

 

Mendapat Sokongan MEF

Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menyokong cadangan menteri sumber manusia menahan 20% daripada gaji pekerja asing bagi menghalang mereka melarikan diri dari majikan.

Sumber: mtuc.org.my

Pengarah Eksekutif Datuk Shamsuddin Bardan mencadangkan potongan gaji itu diberi kepada satu badan untuk menguruskan bon berkenaan, dan bon itu diberi faedah dan dividen.

Langkah itu akan memastikan majikan tidak berdepan kerugian ke atas pelaburan untuk membawa masuk pekerja berkenaan dan cadangan tersebut tidak menganiaya pekerja asing.

Dari sudut undang-undang, pekerja yang melarikan diri daripada majikan akan dianggap pekerja asing tanpa izin. Majikan akan teraniaya jika pekerja ini melarikan diri ke negara asal mereka atau ke tempat kerja yang lain.

 

Dibantah Oleh MTUC

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak bersetuju dengan cadangan menteri sumber manusia itu.

Sumber: Free Malaysia Today

Setiausaha Agungnya J Solomon menyoal alasan Kula yang berkata langkah itu bertujuan memastikan pekerja asing akan pulang ke negara asal mereka dengan wang simpanan.

Solomon bagaimanapun berkata, jika kerajaan benar-benar prihatin mengenai simpanan pekerja terbabit, adalah lebih baik ia dimasukkan ke dalam skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menteri tidak perlu bebankan pekerja asing dengan membuat potongan itu, kerana beliau mengambil kira gaji minimum bermula Januari 2019 adalah sebanyak RM1,100 yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan jika potongan 20%, ia adalah sebanyak RM220.

Kecuali ia dicarum dalam KWSP, caruman yang patut dikongsi dengan majikan. Ini barulah keadaan menang-menang.

Tambahan pula fi untuk pekerja asing adalah tinggi. Menurut angka kerajaan, terdapat kira-kira 1.76 juta pekerja asing di negara ini. Mereka bagaimanapun tidak wajib mencarum kepada KWSP.

Solomon berkata, pekerja asing hanya mahu menghantar pulang setiap sen yang diperoleh untuk membantu keluarga di negara asal.

Cadangan ini bertentangan dengan hak asasi manusia dan menyebabkan buruh terikat dengan majikan.

Sumber: www.labourbulletin.com

Sementara itu, setiausaha MTUC Pulau Pinang, K Veeriah, berkata, idea itu dilihat “simplistik” dan mengabaikan punca pekerja asing melarikan diri, dan menambah idea itu mungkin menyalahi undang-undang buruh.

Pendekatan seperti itu menurutnya tidak mungkin mencapai matlamat memahami isu yang dihadapi pekerja asing.

Beliau turut memberi amaran menolak gaji pekerja boleh menyalahi Akta Kerja.

 

Faktor Pekerja Asing Lari

Dalam isu ini kita tidak harus terus menuding jari atas kesalahan kepada pekerja yang lari itu semata-mata.

Sumber: Relaks Minda

Kajian dan penilaian yang adil harus dibuat.Tidak mungkin seseorang pekerja asing bertindak semudah itu untuk melarikan diri. Tentu ada yang tidak kena hingga mereka terpaksa membuat pilihan amat berisiko dengan lari dari majikan.

Kebanyakan mereka yang bertindak lari kerana tidak berpuas hati dengan sikap dan layanan majikan. Mereka tidak tahu kemana dan bagaimana harus mengadu.

Sumber: RRI

Sebagai contoh, seorang pembantu rumah yang ditekan dengan bebanan kerja melampau tidak dapat mengadu kepada sesiapa kerana mereka tidak sekali-kali dibenarkan keluar rumah. Kalau mereka diikat bekerja selama 2 tahun, maka selama tempoh itu lah mereka akan cuba bertahan. Apabila tempoh kontrak mereka tamat, mereka akan terus dihantar pulang begitu sahaja. Soalnya siapa yang boleh memantau pekerja-pekerja ini ?.

Mampukah kerajaan menyediakan satu pasukan khas bagi memantau setiap pekerja asing yang bekerja dirumah ini ?

Itu baru satu sektor pekerjaan. Bagaimana dengan sektor pekerjaan lain? Dan dengan menahan gaji pula, adakah gaji itu akan diberi sepenuhnya tanpa sebarang potongan?

Dalam hal ini, jika seseorang pekerja asing lari dari majikan, majikan tidak rugi apa-apa pun. Mereka hanya perlu membuat laporan bahawa pekerja mereka telah lari. Dan mereka akan dengan mudah untuk mendapat pekerja baru daripada agensi pekerja asing.Begitu mudah !

Malah, majikan mungkin beruntung kerana setiap pekerja yang lari pasti akan meninggalkan baki gaji mereka. Dan tidak mustahil wang simpanan gaji bulanan mereka yang disimpan oleh majikan.

Jadi, dalam apa keadaan sekalipun, majikan tidak merasa banyak kerugian atau tak rugi walau sesen pun.

 

Kerajaan Yang Rugi

Sumber: Kosmo

Sudah pasti kerajaan dan rakyat akan menanggung beban ini. Mereka yang lari akan mengundang peningkatan jumlah pendatang tanpa izin (PATI) atau dalam kata lain pendatang haram.

Adakah semua PATI ini memang pendatang haram ? Mungkin ya, tetapi peratusannya mungkin dibawah 50 peratus, yang lain adalah yang asalnya Halal kemudian jadi PATI akibat lari dari majikan.

Lebih menjengkelkan kita, mereka yang lari ini menjadi penyumbang terbesar peningkatan penjenayah warga asing. Mereka jadi musuh rakyat dan negara.

Jadi kerajaan perlu meneliti cadangan ini dengan teliti supaya majikan tidak menbgambil kesempatan dari isu ini. Pekerja asing pun manusia juga.

KATA ORANG

KATA ANDA

Wajarkan majikan menyimpan 20% gaji pekerja asing?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN